UPSA: Ujian Pertengahan Sesi Akademik

Murid-murid di sekolah bakal menghadapi peperiksaan atau ujian pertengahan bagi sesi akademik tahun ini iaitu Ujian Pertengahan Sesi Akademik (UPSA).

UPSA adalah ujian yang perlu dilalui oleh murid Tahun 4 hingga 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 1 hingga 3 di sekolah menengah sebelum mereka menduduki Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

Mata Pelajaran UPSA

Bagi sekolah rendah, murid-murid akan menduduki ujian ini melibatkan beberapa mata pelajaran yang telah ditetapkan seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Di peringkat sekolah menengah pula, mereka akan menjalani UPSA untuk subjek-subjek antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Ingggeris, Sejarah, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Pendidikan Islam, Sains Komputer, Reka Bentuk dan Teknologi serta Geografi.

Tarikh Pelaksanaan UPSA

Kebiasaannya, UPSA dilaksanakan pada penggal kedua sesi persekolahan dan untuk sesi persekolahan 2024/2025, ujian ini dijangka dilaksanakan pada bulan Ogos atau September 2024.

Tarikh UPSA tidak seragam seperti Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) kerana pelaksanaannya mengikut takwim semasa sekolah.

Format UPSA

Untuk kertas peperiksaan ujian ini pula, ia mengandungi soalan objektif dan subjektif bagi setiap subjek.

Bilangan soalan dan pemarkahan bergantung kepada panitia mata pelajaran sekolah masing-masing.

Antara contoh kertas soalan ujian ini adalah seperti berikut:

Penilaian UPSA

Penilaian ujian ini dibuat menerusi Tahap Penguasaan (TP) iaitu TP1 sehingga TP6:

TP1: Tahu – Pelajar boleh melaksanakan tugas asas, memiliki pengetahuan asas atau bertindak balas terhadap situasi mudah.

TP2: Tahu dan Faham – Pelajar menunjukkan pemahaman dengan menyesuaikan gaya komunikasi mereka atau dengan menterjemah dan menghuraikan apa yang telah mereka pelajari.

TP3: Tahu, Faham dan Boleh Buat – Pelajar menunjukkan pemahaman dengan menyesuaikan gaya komunikasi mereka atau dengan menterjemah, menghuraikan dan mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari.

TP4: Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab – Pelajar mempraktikkan sesuatu kemahiran dengan melalui proses atau secara berkaedah.

TP5: Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji – Pelajar menunjukkan bakat dalam suasana novel dengan mematuhi protokol atau bertindak secara teratur, konsisten dan positif.

TP6: Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali – Pelajar mampu bersikap optimistik; kreatif dan berimaginasi; mereka boleh menunjukkan contoh dengan menggunakan pengetahuan dan kebolehan mereka secara sistematik untuk situasi baharu.

Sumber: https://sinarbestari.sinarharian.com.my/skil-kerjaya/ujian-pertengahan-sesi-akademik-diukur-melalui-tahap-penguasaan-setiap-pelajar

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini: