Maksud STEM: Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik

STEM ialah akronim kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang terkandung dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Dalam erti kata lain, STEM merupakan satu bidang pembelajaran di sekolah dan bidang pengajian di peringkat tertiari seperti Sains, Kimia, Matematik, Asas Kelestarian, Grafik Komunikasi Teknikal, dan Sains Komputer.

Untuk meningkatkan minat dan pengukuhan murid dalam mata pelajaran ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan garis panduan khusus bagi pendidikan bidang-bidang ini.

Mengenai Pendidikan STEM

Pendidikan bidang ini merupakan pembelajaran bersepadu disiplin sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang mengaplikasikan konteks dunia sebenar dengan menghubungkan institusi pendidikan, komuniti dan industri untuk melahirkan bakat dan masyarakat ke arah memacu pembangunan ekonomi negara.

Dalam erti kata yang lain, pendidikan ini adalah berasaskan kepada konsep mendidik murid dalam empat bidang; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan mengintegrasikan dan mengaplikasikannya dalam konteks dunia sebenar.

Kelebihan STEM

STEM penting sebagai persediaan kepada murid untuk menghadapi cabaran dan berdaya saing di peringkat global.

Kebanyakan negara maju menekankan STEM kerana ia meliputi setiap aspek kehidupan masyarakat dan penyumbang kepada kemajuan ekonomi masa hadapan.

Modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang ini diperlukan untuk negara kekal berdaya saing dan dinamik di peringkat global.

Mata Pelajaran STEM

Dalam sistem persekolahan, murid menengah atas diberi peluang untuk memilih aliran mengikut kecenderungan.

Aliran yang ditawarkan ialah:

  • Sastera
  • Agama
  • STEM

Bagi murid yang mengambil aliran STEM mereka ditawarkan dengan pakej mata Pelajaran.

Ini berdasarkan surat siaran KPM Bil 1 Tahun 2021, Kriteria Pemilihan Pakej Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik Tingkatan 4 Sesi 2021.

Surat siaran ini dibaca Bersama SPI bil 6 Tahun 2019: Pelaksanaan KSSM (Men Atas) dan Pelaksanaan Pakej Mata Pelajaran Mulai Tahun 2020 bertarikh 14 Nov 2019.

Senarai mata pelajaran elektif STEM adalah seperti berikut:

i) Mata Pelajaran Sains Tulen dan Matematik Tambahan

  • Fizik
  • Kimia
  • Biologi
  • Matematik Tambahan

ii) Mata Pelajaran Sains Gunaan dan Teknologi

  • Sains Tambahan
  • Grafik Komunikasi Teknikal
  • Asas Kelestarian
  • Pertanian
  • Sains Rumah Tangga
  • Reka Cipta
  • Sains Komputer
  • Sains Sukan

iii) Mata Pelajaran Vokasional

  • Produksi Reka Tanda
  • Hiasan Dalaman
  • Gerontologi Asas dan Geriatik
  • Kerja Paip Domestik
  • Pendawaian Domestik
  • Pembinaan Domestik
  • Menservis Peralatan
  • Pembuatan Perabot Elektrik Domestik
  • Reka Bentuk Grafik
  • Menservis Automobil
  • Produksi Multimedia
  • Kimpalan Arka dan Gas
  • Katering dan Penyajian
  • Menservis Motosikal
  • Pemprosesan Makanan
  • Menservis Peralatan
  • Rekaan dan Jahitan
  • Penyejuk dan Penyaman Udara
  • Pakaian
  • Penjagaan Muka dan Penggayaan Rambut
  • Lanskap dan Nurseri
  • Tanaman Makanan
  • Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak
  • Akuakultur dan Haiwan Rekreasi

Contohnya yang lebih jelas untuk murid mengambil mata pelajaran ini boleh dilihat seperti di bawah:

Langkah Pengukuhan STEM

KPM telah menggariskan beberapa langkah pengukuhan bagi perkara ini:

  • Pelaksanaan pembelajaran STEM yang bermakna.
  • Pengupayaan kompetensi AKP, Guru, GBK dan pemimpin sekolah.
  • Pentaksiran pembelajaran STEM yang inovatif don holistik.
  • Pemerkasaan aktiviti kokurikulum bidang STEM.
  • Penyediaan ruang pembelajaran yang luas dan inklusif.
  • Pengukuhan kerjasama strategik bagi Melestarikan Ekosistem STEM.

KPM juga menjalankan intervensi bagi memperkukuhka STEM menerusi kaedah formal, bukan formal, dan tidak formal.

Sumber: https://www.moe.gov.my/pendidikan-sains-teknologi-kejuruteraan-dan-matematik

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini: