Petola : Jenis, Kandungan Nutrisi dan Potensi Khasiat

Negara kita terkenal dengan pelbagai jenis sayuran termasuklah petola.

Walaupun mempunyai rasa yang pahit, namun ia kekal menjadi salah satu sayur-sayuran kegemaran rakyat Malaysia khususnya bagi golongan yang lebih berumur.

Maklumlah, tak semua orang boleh terima rasa sayur yang pahit dan kelat, lebih-lebih lagi kanak-kanak!

Tanaman ini dipercayai berasal dari India, namun ia telah ditanam secara meluas di seluruh Asia Tenggara.  

Sayuran ini juga sesuai untuk disediakan dalam pelbagai juadah seperti sup, masak lemak, tumis air atau digoreng.

Bukan sahaja enak untuk dijadikan hidangan sampingan, malah sayuran ini juga popular sebagai sabut semulajadi.

Struktur sabutnya yang kukuh membuatkan ia sesuai digunakan sebagai span mandian atau berus mencuci pinggan.

Ayuh sama-sama kita kenali keistimewaan sayuran ini dengan lebih mendalam.

Jenis Petola dan Perbezaannya

Terdapat tiga jenis sayur petola yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu petola segi, petola ular dan petola bantal.

Mempunyai nama saintifik Luffa acutangula, petola segi merupakan antara pilihan sayuran yang cukup popular dalam kalangan warga tempatan.

petola

Ia mempunyai bentuk yang panjang dan sedikit melengkung di bahagian hujung.

Sayuran ini juga merupakan spesis petola dengan kepadatan sabut yang paling tinggi.

Ini membuatkan ia sesuai untuk digunakan sebagai span mandian atau span pencuci pinggan.

Kulitnya yang berwarna hijau tua ketika masak pula mempunyai permukaan yang keras, kasar dan bersegi.

Rasanya pula pahit dan kelat.

Sementara itu, petola ular atau snake gourd berbentuk panjang namun mempunyai kulit yang berwarna lebih terang berbanding petola segi dan kulitnya pula lebih licin.

Sumber : Ayur Times

Petola bantal pula mungkin lebih mudah dikenali kerana bentuknya yang lonjong membulat.

Rasanya dikatakan lebih manis berbanding dua petola segi dan petola ular.

petola
Sumber : IDN Medis

Kandungan Nutrisi

Berikut merupakan kandungan nutrisi yang terkandung dalam petola segi bagi setiap 100 gram.

KandunganJumlah
Air94.2 g
Protein0.5 g
Karbohidrat3.0 g
Lemak0.1 g
Serabut0.5 g
Kalsium40 mg
Zat besi1.6 mg
Fosforus40 mg
Kalium50 mg
Vitamin A56 I.U
Vitamin C5 mg

Potensi Petola Untuk Kesihatan

Baik Untuk Turunkan Berat Badan

Mempunyai kandungan air yang tinggi dan rendah lemak, sayur ini sangat sesuai untuk dinikmati bagi yang sedang berdiet.

Ia juga padat dengan pelbagai vitamin dan mineral penting untuk diamalkan selalu.

petola

Menyihatkan Kulit

Seperti yang kita tahu, isi petola yang telah kering sering digunakan sebagai span jenis loofah. Ia didapati mampu menyingkirkan sel kulit mati dan membuatkan kulit menjadi lembut.

Di samping itu, sayur ini juga dipercayai dapat mengurangkan bau badan dan masalah jerawat pada wajah.

Bersifat Antiradang

Beberapa kajian menunjukkan bahawa flavonoid dan phenolic acid yang tinggi dalam ekstrak biji sayuran ini mempunyai potensi untuk bertindak sebagai antiradang.

Mencegah Jangkitan Bakteria dan Virus

Sayuran ini merupakan ramuan yang popular dalam perubatan tradisional Ayurveda bagi merawat jangkitan fungus, virus dan bakteria.

Beberapa kajian mendapati ekstrak sayur petola mampu menghalang perkembangan beberapa jenis bakteria termasuk E.coli, S.aureus, B.subtilis dan P.aeruginosa.

Baik Untuk Penghadaman

Sayuran yang tinggi kandungan air juga dapat melancarkan sistem penghadaman dan mencegah masalah seperti sembelit dan buasir.

Berpotensi Untuk Merawat Demam Kuning

Sayuran ini telah digunakan secara tradisional untuk merawat jaundice atau demam kuning. Bagi mengatasi masalah ini, isi sayuran ini biasanya dikisar dan diminum.

Bagus Untuk Kesihatan Mata

Kandungan vitamin A yang tinggi dalam sayuran ini juga membuatkan ia baik untuk diamalkan bagi mengekalkan kesihatan mata.

Tambahan pula, zaman ini ramai yang menggunakan telefon bimbit dan laptop untuk tugas harian, jadi pengambilan vitamin A yang mencukupi adalah sangat penting.

Sesuai Untuk Pesakit Diabetes

Satu lagi kebaikan sayur petola yang ramai terlepas pandang adalah manfaatnya kepada pesakit diabetes.

Manganese yang terkandung dalam sayuran ini memainkan peranan dalam menghasilkan enzim pencernaan bagi menghasilkan insulin dan menguatkan mitokondria dalam tubuh.

Oleh itu, pengambilan sayur ini dilihat berpotensi dalam membantu mengawal paras gula dalam tubuh khususnya bagi pesakit kencing manis.

Tak sangka rupanya petola mempunyai pelbagai potensi dalam meningkatkan kesihatan tubuh.

Rasanya yang unik juga membuatkan ia menjadi hidangan yang menarik untuk dinikmati setiap hari.

Jadi, memang tak rugi untuk anda nikmati sayuran ini setiap hari bersama seisi keluarga kerana kandungan khasiatnya yang tinggi.

Sumber : doa.gov.my, healthbenefitstimes.com, Facebook Dr Rizal Abu Bakar

Baca Juga : Kandungan Nutrisi Dalam Sayur dan Keistimewaannya Mengikut Warna

Bantu kami share artikel ini: