Perut Lembu : Jenis, Khasiat, Cara Basuh dan Masak Paling Mudah

Perut lembu adalah antara bahagian yang sering menjadi rebutan setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha.

Walaupun tidak semua orang boleh terima rasa dan tekstur uniknya, perut lembu boleh diolah menjadi pelbagai hidangan yang menyelerakan seperti masak lemak, asam pedas dan sebagainya.

Juga merupakan sumber protein yang baik seperti daging lembu, mungkin sesetengah orang tak tahu bahawa perutnya juga mempunyai pelbagai khasiat untuk tubuh.

Sumber : Ahmad Humaizi

Jenis Perut Lembu

Perut lembu terdiri daripada empat bahagian yang berbeza dan mempunyai fungsi tersendiri dalam sistem pencernaan haiwan ini.

Empat bahagian tersebut adalah :

Retikulum : Mempunyai tekstur dan rupa seakan sarang lebah, bahagian perut ini juga dikenali sebagai honeycomb tripe. Bahagian ini dikatakan paling enak untuk dimakan kerana lembut dan mampu menyerap rasa hidangan.

Omasum : Bahagian perut ini juga dipanggil sebagai perut kitab (Book Tripe) kerana mempunyai struktur berlipat-lipat seperti helaian buku atau kitab. Berbanding retikulum, omasum dikatakan lebih liat dan memerlukan tempoh yang lebih lama untuk dimasak.

Rumen : Dikenali dengan nama lain seperti perut tuala atau Blanket Tripe, bahagian perut dengan permukaan halus dan ‘berbulu’ ini pula sering ditemui dalam hidangan sup.

Abomasum : Juga mempunyai tekstur yang halus, abomasum digelar sebagai Reed Tripe atau perut masam.

Khasiat

Sumber Protein Yang Baik

100 gram daripada bahagian lembu ini mampu membekalkan sehingga 12 gram protein, menjadikan ia sesuai untuk dimakan bagi membina otot dan meningkatkan kesihatan secara menyeluruh.

Kaya Vitamin B12

Siapa sangka perut lembu mempunyai khasiat vitamin B12 yang tinggi? Vitamin ini memainkan peranan penting dalam sistem saraf tubuh, membantu meningkatkan metabolisma dan membantu dalam penghasilan sel darah merah serta DNA yang sihat.

Menyokong Sistem Pertahanan Tubuh

Perut haiwan ini juga mengandungi kebaikan selenium, iaitu salah satu elemen yang menyokong sistem pertahanan badan.

Pada masa yang sama, ia juga membantu melindungi tubuh dengan mencegah keradangan serta stres oksidatif.

Baik Untuk Kesihatan Tulang

Turut diperkaya dengan fosforus dan zat besi, perut lembu turut berpotensi dalam menyokong kesihatan tulang serta gigi.

Fosforus serta kalsium memainkan peranan dalam membina serta membaiki pembentukan tulang. Sementara itu, zat besi pula menyokong perkembangan tisu tulang secara sihat.

Makan Perut Secara Memadai

Walaupun perut mempunyai banyak khasiat, namun ia juga perlu diambil secara berpada-pada khususnya bagi yang mempunyai masalah kesihatan.

Ini disebabkan oleh kandungan kolesterol yang agak tinggi dalam perut lembu.

Selain itu, teksturnya yang kenyal dan liat juga mungkin tidak sesuai bagi sesetengah golongan seperti kanak-kanak dan warga emas.

Oleh itu, anda perlulah berhati-hati ketika sediakan hidangan perut di rumah. Mungkin anda boleh sediakannya dalam potongan kecil dan direbus sehingga lembut supaya ia lebih mudah dihadam.

Cara Bersihkan Perut

Ada kalanya, sesetengah orang mengelak untuk masak perut lembu kerana baunya busuk, warnanya pula hitam dan susah untuk basuh.

Sebenarnya, ada cara bersihkan perut yang boleh dicuba menggunakan kapur makan. Ayuh kita ikuti cara-caranya.

  • Letakkan perut ke dalam bekas.
  • Rendamkannya di dalam air yang bercampur kapur makan dan biarkan selama 15 minit.
  • Kemudian, basuh perut dengan menggunakan pisau seperti video di bawah.
  • Hasilnya, kotoran dan warna hitam pada perut hilang dengan mudah. Yang tinggal hanya perut putih bersih yang sedia untuk dimasak.
Sumber : Facebook Zarini Jaafar
perut lembu

Cara Masak / Rebus Perut Supaya Lembut

Untuk merebus perut, caranya juga mudah.

  • Potong kecil perut yang telah dibersihkan dan masukkan ke dalam periuk.
  • Masukkan air dan letakkan serai yang telah diketuk, lada hitam dan bawang merah yang telah dihiris.
  • Anda juga boleh gunakan pressure cooker untuk lembutkan perut dengan lebih pantas.
  • Perut sedia untuk dinikmati bersama kuah air asam atau dimasak mengikut resepi cita rasa masing-masing.
perut lembu

Siapa sangka perut mempunyai pelbagai kandungan nutrisi yang bermanfaat untuk tubuh? Bila anda sudah tahu cara untuk membasuh dan merebusnya, anda juga boleh sediakan masakan perut yang enak di rumah. Selamat mencuba!

Sumber : Healthline, Facebook Ini Sains Beb, Facebook Zarini Jaafar

Bantu kami share artikel ini: