10 Nama Sahabat Nabi yang Dijamin Syurga – Siapakah Mereka?

10 Nama Sahabat Nabi yang Dijamin Syurga – Siapakah Mereka?

Para sahabat Nabi Muhammad SAW merupakan individu-individu yang mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah Islam. 

Mereka adalah orang-orang yang telah berjuang dan berkorban demi menyebarkan agama Islam. Dengan sebab pengorbanan yang telah mereka lalui bersama Nabi SAW, maka mereka selayaknya diberikan khabar gembira jaminan syurga oleh Nabi SAW.

Berikut dikongsikan nama-nama sahabat nabi yang dijamin syurga beserta ringkasan kisah mereka. 

BACA JUGA: Kisah Nabi: Kompilasi Kisah-Kisah Nabi

Siapakah yang Dimaksudkan Dengan ‘Sahabat Nabi SAW’?

10 Nama Sahabat Nabi yang Dijamin Syurga - Siapakah Mereka?

Merujuk penjelasan dalam laman sesawang Mufti WP, sahabat Nabi SAW adalah merupakan orang yang pernah melihat Nabi SAW dan beriman dengan Baginda dan risalah yang dibawanya. 

Mereka merupakan generasi terbaik yang mendapat didikan terus daripada Nabi SAW. Bahkan di dalam Al-Quran Allah SWT mengiktiraf kedudukan dengan gelaran ‘redha ke atas mereka’.

Nabi SAW seringkali menyebut kelebihan-kelebihan para sahabat baginda, antaranya; 

Daripada Abdullah Bin Mas’ud bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya : “ Sebaik-baik manusia adalah manusia yang berada di kurun aku (para sahabat), kemudian orang yang menuruti mereka kemudian orang yang menuruti mereka…”

Riwayat Al-Bukhari (3651)

Hadis Mengenai Nama Sahabat Nabi yang Dijamin Syurga

Berdasarkan riwayat Al-Nasaie di dalam Al-Sunan Al-Kubra; 

أخبرنا محمد بن المثنى قال أنا يحيى بن سعيد قال أنا صدقة بن المثنى قال حدثني جدي رباح بن الحارث أن سعيد بن زيد قال اشهد على رسول الله صلى الله عليه وسلم بما سمعت أذناي ووعاه قلبي وإني لم أكن لاروي عليه كذبا يسألني عنه إذا لقيته أنه قال أبو بكر في الجنة وعمر في الجنة وعلي في الجنة وعثمان في الجنة وطلحة والزبير في الجنة وعبد الرحمن بن عوف في الجنة وسعد بن مالك في الجنة وتاسع المؤمنين لو شئت أن أسميه لسميته فرج أهل المسجد يناشدونه يا صاحب رسول الله صلى الله عليه وسلم من التاسع قال ناشدتموني بالله العظيم أنا تاسع المؤمنين ورسول الله صلى الله عليه وسلم العاشر أبو عبيدة بن الجراح رضي الله تعالى عنه

Maksudnya: 

“Muhammad Bin Al-Muthanna mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : Yahya Bin Sa’id mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata: Sadaqah Bin Al-Muthanna mengkhabarkan kepada kami. 

Beliau berkata : Datuk aku, Rabah Bin Al-Harith menceritakan bahawa Sa’id Bin Zaid berkata: 

Aku bersaksi atas nama Rasulullah SAW  yang mana aku dengar dengan kedua telingaku dan aku peliharanya dengan hatiku. Aku tidak akan meriwayatkan benda yang bohong. 

Nabi SAW bersabda: Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Ali di syurga, Uthman di syurga, Talhah di syurga, Zubair di syurga, Abdurrahman Bin ‘Auf di syurga dan Sa’ad Bin Malik di syurga. 

Dan orang yang kesembilan jika kalian mahu akan aku namakan. Lalu kesemua orang yang berada di masjid memintanya menamakan orang yang kesembilan. 

Mereka berkata : wahai sahabat Rasulullah, siapakh orang yang kesembilan?

Sa’id berkata : Demi Allah, akulah orang yang kesembilan dan orang yang kesepuluh adalah Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah.”

Riwayat Al-Nasaie (8193) di dalam Al-Sunan Al-Kubra

NOTA: Sa’ad Bin Malik yang disebutkan di dalam hadis ini ialah Sa’ad Bin Abi Waqqas. Kerana nama sebenar Abu Waqqas ialah Malik bin Ahib Bin Abd Manaf Bin Zuhrah Bin Kilab Bin Murrah Bin Ka’ab Bin Luayy. 

10 Nama Sahabat Nabi Yang Dijamin Syurga

Kredit: DRGRAPHIC REHAN
  1. Abu Bakar As-Siddiq
    Abu Bakar adalah sahabat karib dan juga ayah mertua Nabi Muhammad SAW. Beliau adalah khalifah pertama selepas kewafatan Nabi dan terkenal dengan gelarannya “As-Siddiq” yang bermaksud “yang membenarkan”.
  1. Umar bin Al-Khattab
    Umar adalah khalifah kedua dan terkenal dengan sifatnya yang tegas dan adil. Beliau banyak memperluas wilayah Islam dan memperkenalkan banyak reformasi dalam pemerintahannya.
  1. Uthman bin Affan
    Uthman adalah khalifah ketiga dan dikenali dengan sifatnya yang pemurah. Beliau juga terkenal kerana mengumpulkan dan menyusun Al-Quran dalam satu mushaf yang standard.
  1. Ali bin Abi Talib
    Ali adalah sepupu dan menantu Nabi Muhammad SAW. Beliau merupakan khalifah keempat dan terkenal dengan keberaniannya serta kepandaiannya dalam ilmu agama.
  1. Talhah bin Ubaidillah
    Talhah adalah seorang pahlawan Islam yang terkenal kerana keberaniannya dalam Perang Uhud. Beliau adalah salah seorang yang awal memeluk Islam dan sangat setia kepada Nabi.
  1. Zubair bin Awwam
    Zubair adalah salah seorang dari sepuluh sahabat yang dijamin syurga. Beliau juga adalah sepupu Nabi dan terkenal sebagai pahlawan yang berani.
  1. Abdurrahman bin Auf
    Abdurrahman adalah seorang sahabat yang sangat kaya dan dermawan. Beliau sering menggunakan hartanya untuk kepentingan umat Islam dan membantu mereka yang memerlukan.
  1. Saad bin Abi Waqqas
    Saad adalah seorang panglima perang yang hebat dan memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Parsi. Beliau juga adalah salah seorang yang pertama memeluk Islam.
  1. Sa’id bin Zaid
    Sa’id adalah salah seorang sahabat yang awal memeluk Islam. Beliau turut serta dalam banyak pertempuran dan sangat setia kepada Nabi Muhammad SAW.
  1. Abu Ubaidah bin Al-Jarrah
    Abu Ubaidah adalah seorang panglima yang sangat dipercayai oleh Nabi Muhammad SAW. Beliau terkenal dengan kepimpinannya yang baik dan sikapnya yang sederhana.

NOTA

Walaupun Nabi SAW menjamin sepuluh orang sahabat dengan syurga, ianya tidak menafikan jaminan bagi Sahabat yang lain. Al-Munawi menyebut :

“Jaminan Nabi SAW terhadap sepuluh orang sahabat tidak menafikan jaminan terhadap para sahabat yang lain. Ini kerana secara zahirnya mereka yang dijamin syurga disebutkan dari kalangan 10 orang para sahabat adalah kerana nama-nama mereka disebutkan secara serentak. Adapun para sahabat lain disebutkan secara berasingan.” - (Rujuk Faidh Al-Qadir Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 1/91).

Rujukan:

  1. TASHIH AL-MAFAHIM #18 : KESEMUA SEPULUH ORANG PARA SAHABAT YANG DIJANJIKAN SYURGA ADALAH DARI KETURUNAN QURAISY.ADAKAH NABI SAW RASIS? – Mufti WP
  2. Senarai Sahabat Nabi Muhammad – MYHADITH 
Bantu kami share artikel ini: