Maksud Red Flag Serta Tandanya Dalam Perhubungan

Adakah anda sedang mencari maksud red flag? Memang benar terma tersebut banyak digunakan sejak beberapa tahun ini terutamanya dalam konteks hubungan yang tidak sihat dengan pasangan.

Dalam berhubungan, semua orang pasti mengharapkan pasangan yang baik, memahami dan sentiasa memberi sokongan.

Namun, tidak semua perhubungan adalah indah malah sesetengahnya boleh memberikan kesan buruk kepada mental, fizikal, emosi serta kehidupan seseorang.

Oleh itu, adalah penting untuk anda kenali red flag demi hubungan yang sihat dan kekal berpanjangan.

maksud red flag

Maksud Red Flag

Memetik Collins Dictionary, maksud red flag adalah sesuatu yang memberikan isyarat tentang perkara buruk atau situasi berbahaya. Ia juga seringkali membawa isyarat berhenti atau amaran bagi sesuatu.

Dalam konteks hubungan pula, red flag merupakan tanda bahawa terdapat tingkah laku atau hubungan yang tidak sihat antara anda dan pasangan.

Lebih teruk lagi, seseorang mungkin tidak menyedari atau menidakkan red flag ini kerana kabur dengan rasa cinta terhadap orang yang disayangi.

10 Tanda Red Flag Dalam Perhubungan Yang Perlu Dijauhi

1. Suka Bertindak Ganas

Seseorang yang suka bersikap ganas terhadap anda, orang sekeliling atau haiwan sekalipun merupakan red flag yang perlu dipandang serius.

Ini boleh menjadi petanda bahawa pasangan anda belum mampu menyalurkan emosi dengan cara yang baik.

Bagi sesetengah individu, tingkah laku ini juga boleh menandakan bahawa mereka kurang rasa empati terhadap orang lain.

2. Suka Mengawal atau Mengongkong

Sesetengah orang juga sering melabel maksud red flag kepada pasangan yang suka mengawal atau mengongkong.

Sekiranya pasangan anda sering ingin tahu dengan siapa anda berjumpa, ke mana anda pergi, berapakah jumlah wang yang anda belanjakan, apa yang anda pakai, kemungkinan besar anda perlu pertimbangkan semula hubungan yang anda jalani.

Individu sebegini juga cenderung untuk mengongkong sehinggakan anda tidak boleh berjumpa dengan rakan atau keluarga anda sendiri.

Mereka juga biasanya tidak akan membiarkan anda membuat keputusan sendiri.  

maksud red flag

3. Cemburu Berlebihan

Cemburu secara berlebihan dan sukar mempercayai pasangan adalah satu lagi red flag yang umum dalam hubungan.

Dalam kes ini, pasangan anda mungkin kerap memerlukan perhatian atau mudah rasa insecure sehingga timbul rasa tidak percaya.

Mereka juga cenderung untuk selalu hubungi atau hantarkan mesej sehingga anda rimas.

Sesetengah orang mungkin tidak kisah sekiranya pasangan mereka berkelakuan sebegini.

Namun, jika anda rasa tidak selesa, anda perlu lakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

4. Suka Mengelak Untuk Berkomunikasi

Adalah penting bagi sebuah pasangan untuk mampu berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain.

Sekiranya pasangan anda sering mengelak untuk berkomunikasi lebih-lebih tentang perasaan atau konflik hubungan, ini boleh menjadi satu petanda yang tidak baik.

Habit ini mungkin berakar daripada trauma akibat kesilapan masa lalu atau kesukaran mereka untuk membuka hati kepada orang lain setelah dilukai oleh pasangan lama.

5. Cenderung Untuk Memanipulasi / Gaslighting

Adakah pasangan anda sering memanipulasi sehingga membuatkan anda tertanya tentang tindakan anda sendiri?

Inilah situasi gaslighting yang mungkin ramai tidak sedari dalam perhubungan. Pasangan yang suka gaslighting sering mengatakan atau membuat sesuatu untuk mengawal tindakan anda.

Mereka mungkin akan menipu, mengatakan anda sering terlupa, menuduh anda bersikap keterlaluan atau melakukan sesuatu untuk membuatkan mental anda terganggu.

maksud red flag

6. Tiada Kawan

Sekiranya pasangan anda tidak mempunyai kawan, ini mungkin disebabkan oleh pelbagai perkara.

Pertama, mereka mungkin tidak mampu atau tidak mahu menjalin persahabatan dengan orang lain. Ini mungkin disebabkan mereka tiada kemahiran bersosial atau mempunyai personaliti yang negatif.

Ada juga individu yang tidak mempunyai kawan kerana mereka memerlukan perhatian daripada pasangan mereka semata-mata.

Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ini boleh menandakan bahawa mereka juga boleh mengalami kesukaran untuk teruskan hubungan dengan anda pada tempoh yang lama.

7. Love Bombing

Mungkin terma ini jarang didengari, namun pasti ada yang pernah mengalaminya. Sekiranya pasangan anda sering memberikan hadiah yang mahal dan memuji anda secara berlebihan, kemungkinan terdapat agenda yang mereka sembunyikan.

Tindakan love bombing ini mungkin adalah salah satu strategi mereka untuk bina kepercayaan dengan pantas.

Dengan menunjukkan sisi ‘baik’ mereka, pasangan anda juga mungkin mengharapkan bahawa anda boleh bertolak ansur apabila mereka bertindak negatif kepada anda pada masa akan datang.

8. Suka Merendahkan

Jangan memandang remeh pada sikap pasangan yang suka mengkritik dan merendahkan anda.

Pakar psikologi mengatakan bahawa tingkah laku ini merupakan salah satu bentuk penderaan emosi yang perlu dipandang serius.

Ini bukan sahaja boleh menjejaskan keyakinan diri anda, malah ia juga boleh mencetus anxiety dan rasa insecure dalam perhubungan.

Antara contoh kata-kata yang mungkin dilemparkan adalah :

“Nasib baik awak masih dengan saya. Jika tidak, tiada siapa mahukan awak”.

“Awak suka cakap benda merepek, saya pun tak tahu awak sedang serius atau melawak”

Sebuah kajian mencadangkan bahawa penderaan emosi boleh memberikan kesan yang sama seperti penderaan fizikal.

Oleh itu, pasangan anda perlulah bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka terhadap anda.

9. Tidak Komited Dalam Mengekalkan Hubungan

Komitmen serta sokongan merupakan antara eleman yang paling penting dalam mengekalkan kestabilan hubungan.

Untuk memastikan sesebuah hubungan itu kekal, kedua-dua pasangan perlulah terlibat secara aktif dalam menunjukkan sokongan serta memberikan komitmen.

Jadi, jika pasangan anda tidak menunjukkan sokongan atau berusaha secara aktif, ia boleh menjadi red flag dalam hubungan tersebut.

10. Tidak Mahu Bertolak Ansur

Sesetengah orang turut melabel maksud red flag kepada pasangan yang tidak mahu bertolak ansur walaupun dalam perkara kecil.

Sekiranya pasangan anda sering bersikap tidak adil dan tidak mahu bertoleransi, anda sendiri yang akan kecewa dan tidak berpuas hati.

Sedangkan, hubungan yang sihat memerlukan perhatian serta tolak ansur antara satu sama lain.

Kesimpulannya, jika pasangan anda menunjukkan red flag seperti yang disenaraikan, sudah tiba masanya untuk anda berdua duduk dan bincang bersama.

Jujurlah antara satu sama lain dan dapatkan bantuan daripada pakar kaunseling sekiranya perlu.

Sekiranya dia masih tidak mahu berubah atau bertanggungjawab terhadap tindakan negatif yang dilakukan, anda mungkin perlu pertimbangkan semula hubungan anda.

 Seperkara lagi, ingatlah bahawa keselamatan, kebahagiaan dan kesihatan mental anda perlu diutamakan walaupun anda sedang menjalinkan hubungan.

Sumber : verywellmind.com, today.com, businessinsider.com

Bantu kami share artikel ini: