Khasiat Kerang Rebus dan Tips Merebus Untuk Dapatkan Isi Cantik

Selain ikan, udang dan ketam, kerang juga merupakan antara makanan laut yang tak kurang ramai penggemarnya.

Lebih-lebih lagi jika direbus. Enak dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan air asam, sos Thai atau kicap pedas.

Selain itu, kerang juga sesuai untuk dijadikan ramuan dalam masakan seperti rendang, kerabu, dan char kuey teow.

Biasanya kita dengar kerang sebagai antara makanan yang wajib diamalkan bagi yang ingin tambahkan darah.

Sebenarnya terdapat pelbagai lagi khasiat yang terkandung dalam kerang. Ayuh kita semak bersama-sama.

Sumber : Facebook Azie Kitchen

Khasiat Kerang Rebus

1. Padat Dengan Nutrisi Penting

Antara kebaikan penting yang terkandung dalam makanan laut ini adalah vitamin B2, B3, B6, B12, vitamin C, folate, choline, selenium, kuprum dan manganese.

Secara keseluruhannya, 100 gram kerang boleh membekalkan sehingga 40% keperluan harian zat besi, selenium, kuprum dan vitamin B6.

2. Baik Untuk Turunkan Berat Badan

Kerang rebus sesuai untuk dinikmati bagi yang sedang berdiet kerana kadar kalorinya yang rendah iaitu 79 kalori bagi setiap 100 gram.

Makanan yang tinggi kandungan protein sebegini juga boleh membantu seseorang rasa lebih kenyang pada tempoh yang lama.

kerang rebus

3. Menyokong Sistem Pertahanan Tubuh

Dengan pelbagai kebaikan vitamin dan mineral, kerang rebus dapat memainkan peranan dalam menyokong sistem imuniti yang baik.

Vitamin A, B12 dan C dapat membantu menghasilkan sel darah putih dan antibodi bagi melindungi tubuh daripada jangkitan serta penyakit.

Selenium juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan sistem pertahanan antioksidan tubuh bagi menghalang kerosakan sel dan tisu.

4. Untuk Tambah Darah

Seperti yang ramai tahu, kerang merupakan antara makanan yang paling disyorkan untuk tambah darah. Sebenarnya, semua jenis kerang-kerangan padat dengan kebaikan zat besi untuk pembentukan darah.

Kekurangan pengambilan zat besi juga boleh menyebabkan masalah anemia.

Cara Rebus Kerang Supaya Tak Kecut

Memang lazat kalau dapat nikmati kerang rebus pada makan tengah hari atau makan malam. Namun, selera boleh putus kalau dapat isi kerang yang kecut!

Sebenarnya ada cara rebus isi kerang supaya tak kecut dan cantik isinya. Di sini kami ingin kongsikan satu tips daripada Emma Kctv di Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN).

Jom kita tengok cara-caranya langkah demi langkah.

Cara-cara :

  • Basuh kerang dan tapis sehingga bersih.
  • Ketuk 2 batang serai, 3 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih.
  • Kemudian, panaskan air di dalam periuk. Masukkan bahan-bahan tadi bersama ½ sudu serbuk perasa dan 1 sudu besar garam.
  • Bila sudah menggelegak, masukkan kerang yang sudah dibasuh tadi.
  • Tutup periuk dan masak selama 1 minit dengan api besar. kemudian, tutup api.
  • Toskan kerang. Dalam bekas lain, masukkan 2 sudu besar cuka ke dalam bekas air batu.
  • Gaulkan kerang selama satu minit dan toskan.
  • Kerang dengan isi cantik sedia untuk dinikmati.
kerang rebus
Sumber : Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN)

Rupanya terdapat pelbagai khasiat yang terkandung dalam kerang, bukan sekadar sebagai makanan penambah darah semata-mata.

Nak hasilkan kerang rebus dengan isi cantik pun tidaklah susah seperti yang disangka.

Yang penting, anda perlulah masak kerang sepenuhnya dan jangan sesekali makannya mentah kerana ia boleh menyebabkan jangkitan virus atau bakteria yang tak diingini.

Pada masa yang sama, jangan makan kerang yang tidak boleh dibuka cengkerangnya. Ini menunjukkan bahawa ia telah mati sebelum dimasak lagi.

Bau dan rasanya juga tidak enak, jadi jangan pula anda bersusah payah ketuk cengkerangnya semata-mata untuk dapatkan isi yang sudah tak elok.

Jika anda alami gejala seperti muntah, cirit-birit, bengkak atau gatal-gatal berhenti makan kerang serta merta dan jumpalah dengan doktor untuk dapatkan ubat alahan.

Sumber : Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN), mayoclinic.org, wildexplained.com, nutritionadvance.com

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!