Jambu Batu : Kandungan Nutrisi dan Manfaatnya Untuk Kesihatan

Jambu batu merupakan salah satu buah-buahan kegemaran rakyat Malaysia dan cukup mudah didapati di pasaran.

Walaupun ia tidak tergolong sebagai buah tempatan, namun rasanya yang segar, rangup dan tidak terlalu manis membuatkan ia sesuai dimakan sebagai kudapan buat seisi keluarga.

Ada juga yang suka nikmatinya bersama serbuk asam atau kuah rojak.

Sebenarnya, buah ini sangat sesuai untuk dinikmati setiap hari kerana kandungan nutrisinya yang tinggi khususnya vitamin C.

Ayuh kita kenali manfaat buah jambu ini dengan lebih dekat.

Kandungan Nutrisi dan Kalori Jambu Batu

1 sajian iaitu setengah biji jambu batu tanpa biji mengandungi nutrisi seperti berikut :

Tenaga : 69 kcal

Kalori : 37 kalori

Karbohidrat : 15 g

Protein : 1.7 g

Lemak : 0.3 g

Serat 8.0 g

Kalsium : 49.5 mg

Ferum : 1.8 mg

Natrium : 34.5 mg

Kalium : 43.5 mg

Vitamin C : 228.0 mg

jambu batu
Sumber : Nutritionist KKM

Kelebihan Jambu Batu untuk Kesihatan Tubuh

Sumber Vitamin C Yang Baik

Orang dewasa hanya memerlukan 70 mg vitamin C sehari bagi menguatkan sistem imun badan, membantu penyembuhan luka, meningkatkan penyerapan zat besi serta menjaga sel dalam tubuh.

Namun, anda tidak perlulah bersusah payah mengambil supplemen vitamin C.

Makan sahaja setengah biji jambu batu kerana ia mampu membekalkan sehingga 228 mg vitamin C! Ini melebihi 10 kali ganda kandungan vitamin C dalam sebiji limau mandarin.

Pada masa yang sama, vitamin C juga dapat membantu melindungi kerosakan kulit daripada sinaran matahari, melambatkan proses penuaan dan mengekalkan kelembapan serta kecantikan kulit.

jambu batu
Sumber : Facebook Nutritionist KKM

Kaya Dengan Serat

Selain padat dengan kebaikan vitamin C, buah ini juga tinggi kandungan serat.

Sebiji jambu batu mampu membekalkan 12% daripada keperluan serat harian.

Seperti yang kita tahu, pengambilan serat yang mencukupi dapat melancarkan sistem penghadaman serta merawat masalah sembelit.

Baik Untuk Kesihatan Jantung

Vitamin C yang terkandung dalam buah ini didapati berpotensi untuk mencegah tubuh daripada pelbagai risiko penyakit seperti penyakit jantung koronari dan strok.  

Selain itu, sebuah kajian turut menunjukkan pengambilan jambu batu sebagai alas perut dapat membantu penurunan keseluruhan tekanan darah sebanyak 8 hingga 9 point, pengurangan jumlah kolesterol sehingga 9.9% dan peningkatkan kolesterol baik (HDL) sehingga 8%.

Menyokong Penurunan Berat Badan

Dengan hanya 37 kalori dalam sebiji jambu, buah ini didapati sesuai untuk diamalkan sebagai sebahagian hidangan utama atau snek bagi yang ingin mengurangkan berat badan.

Tidak seperti kebanyakan snek lain, jambu padat dengan vitamin dan mineral penting untuk kesihatan tubuh.

Selain itu, kandungan seratnya yang tinggi dapat membuatkan seseorang rasa lebih kenyang pada tempoh yang lebih lama.

jambu batu

Berdasarkan Panduan Diet Malaysia, anda juga disarankan untuk mengambil 3 sajian sayur dan 2 sajian buah setiap hari.

Jadi, anda bolehlah banyakkan pengambilan jambu batu serta buah-buahan dan sayur-sayuran lain untuk kesihatan.

Anda tak perlu bersusah payah ambil suplemen atau pil vitamin. Jika tersilap langkah ia boleh menambah beban kepada organ-organ dalaman dan boleh mengakibatkan pelbagai kesan sampingan serta kerosakan buah pinggang dan jantung.

Lebih penting lagi, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran juga adalah cara yang terbaik untuk melengkapi keperluan vitamin dan mineral dalam tubuh.

Namun, jangan pula anda ambilnya dengan perasa tambahan yang terlalu banyak seperti serbuk asam dan sebagainya.

Maklumlah, perasa tambahan ini mengandungi garam dan gula yang tinggi sehinggakan kudapan sihat boleh jadi kurang berkhasiat.

Sumber : Science Direct, PubMed, Nutritionist KKM

Baca Juga : Buah Markisa: 8 Khasiat Pada Kesihatan & Cara Makan

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!