Ikan Buntal : Risiko dan Gejala Keracunan

Walaupun ramai yang tidak pernah makan atau melihatnya sendiri, namun pasti ramai yang kenal dengan ikan buntal.

Ikan ini dikenali dengan ciri-ciri seperti kulit berduri, badan yang boleh mengembang dan mengandungi racun.

Sejak 1985 hingga Mac 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan sebanyak 58 kes keracunan dan 18 kematian akibat pengambilan ikan ini.  

Negara kita juga telah mengawal penjualan ikan buntal di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972.

Bagaimana ikan ini mampu memudaratkan kesihatan manusia dan apakah gejala keracunan yang perlu diketahui?

Ayuh kita kenali ikan ini dengan lebih lanjut.

ikan buntal
Sumber : The Guardian

Ikan buntal berasal dari keluarga Tetraodontidae. Terdapat sekurang-kurangnya 185 spesis yang boleh dikenalpasti di perairan Malaysia.

Spesis yang biasa ditangkap di negara kita adalah ikan buntal pisang emas (Lagocephalus wheeleri), buntal pisang muda (Lagocephalus spadiceus), dan buntal pisang kasar (Lagocephalus lunaris).

Walaupun ikan ini beracun dan ada yang berduri, ia merupakan salah satu hidangan khusus terutamanya di Jepun.  

Hidangan ikan buntal hanya akan disediakan oleh tukang masak yang berkemahiran tinggi dan terlatih.

Kerajaan Jepun juga telah mewajibkan sistem dan latihan khas untuk mengendalikan ikan ini.

Di negara tersebut, ikan ini turut disebut sebagai ikan fugu dan sering menjadi sebahagian ramuan bagi hidangan sushi dan sashimi.

ikan buntal
Sumber : web-japan.org

Risiko Makan Ikan Buntal

Tidak seperti di Jepun, buntal bukanlah spesis ikan yang biasa dimakan oleh rakyat Malaysia. Namun, ia masih mendapat permintaan bagi segelintir penggemarnya.

Yang menjadi masalah apabila makan ikan ini ialah apabila ia dicemari oleh racunnya sendiri.

Oleh itu, masyarakat perlulah peka akan risiko sebelum bercadang untuk makan ikan buntal.

Seekor ikan buntal mempunyai toksin yang boleh membunuh sehingga 30 orang dewasa!

Racun yang dikenali sebagai Tetrodoxin (TTX) ini dikatakan 1,200 kali lebih kuat daripada racun sianida.

TTX dihasilkan oleh bakteria yang hidup dalam ikan beracun ini.

Sumber Infografik : Bernama

Racun ini biasa ditemui dalam telur, hempu, hati, usus dan kulit ikan ini.

Bahagian bertoksin tinggi ini perlu dibuang dengan berhati-hati sebelum ikan selamat untuk dimakan.

Jika bahagian-bahagian ini terluka atau terpotong, ia boleh mencemari ikan buntal dan membawa mudarat kepada si pemakan.

Racun TTX ini juga tidak akan musnah walaupun dimasak pada suhu yang tinggi.

TTX boleh mengancam manusia kerana ia boleh menyerang saraf serta menyebabkan kelumpuhan otot-otot penting seperti otot pernafasan yang boleh membawa maut.

Di samping memberi peringatan kepada orang ramai, Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menghalang penjualan ikan ini disebabkan risiko keracunan yang tinggi.

Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Gejala Keracunan Ikan Buntal

Gejala keracunan ikan ini biasanya akan muncul kira-kira setelah 20 minit hingga 3 jam selepas racun masuk ke dalam tubuh.

Memetik Berita Harian, terdapat empat tahap bagi gejala keracunan iaitu :

Tahap 1

  • Kawasan sekitar mulut terasa kebas atau mati rasa
  • Sistem pencernaan terganggu
  • Mual atau muntah
  • Sakit perut yang biasa muncul 10 hingga 45 minit selepas makan ikan ini.

Tahap 2

  • Mati rasa di wajah
  • Sukar untuk bercakap
  • Hilang keseimbangan
  • Tubuh terasa lemah
  • Sukar bergerak

Tahap 3

  • Tubuh menjadi lumpuh
  • Pupil mata membesar

Tahap 4

  • Kegagalan untuk bernafas
  • Kadar oksigen dalam tubuh berkurangan (hypoxia)
  • Jantung berdegup lebih lambat daripada asal (bradikardia)
  • Tekanan darah menurun (hipotensi)
  • Kurang kesedaran

Bagi mengelakkan masalah kesihatan yang tidak diingini orang ramai dinasihatkan supaya mengelak makan ikan buntal yang tidak diketahui jenisnya kerana hampir semua jenis ikan ini mengandungi toksin.

Pengguna yang membeli ikan ini secara atas talian khususnya dalam bentuk filet perlulah peka dengan jenis serta spesis ikan yang dibeli.  

Orang juga ramai dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan kecemasan sekiranya mengalami gejala keracunan akibat makan ikan buntal.

Sumber : penawaracun.usm.my, Berita Harian, Facebook KKM, Sinar Harian, Astro Awani

Baca Juga : Ikan Bandaraya : Asal-Usul, Ciri-Ciri Unik dan Kesan Pada Ekosistem

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!