Bukan Sekadar Penyeri Masakan, Ini Potensi Daun Sup Untuk Kesihatan

Mempunyai bau yang harum dan sedikit tajam, daun sup sering menjadi pilihan untuk membangkitkan aroma masakan khususnya hidangan sup dan lauk pauk.

Ia biasanya dicincang halus sebelum dimasukkan ke dalam masakan.

Daun ini juga jarang dijadikan ulam kerana ia mempunyai rasa dan aroma yang lebih kuat berbanding daun saderi (celery) biasa.

Selain hidangan Asia, ia juga merupakan ramuan sampingan yang popular di beberapa negara termasuk Perancis, Amerika Syarikat, Mediterranean dan Eropah.

daun sup
Sumber : kelabmama.com

Walaupun daun ini terkenal sebagai penyeri hidangan, namun ia sering digunakan secara tradisional bagi mengatasi sakit perut serta masalah pembuangan air kecil.

Selain itu, ia juga digunakan sebagai ramuan untuk menurunkan tekanan darah dan merawat masalah sendi secara semulajadi.  

Ayuh kita semak bersama-sama.

Kandungan Nutrisi

Setiap 100 gram daun sup mempunyai sekitar 16 kalori, 3 gram karbohidrat, 3.4 gram protein serta 1 gram lemak.

Selain itu, ia turut mengandungi beberapa mineral dan vitamin penting seperti vitamin C, vitamin K, serat, kalium, sodium dan flavonoid.

daun sup

Manfaat Daun Sup Untuk Kesihatan

Berpotensi Untuk Menstabilkan Tekanan Darah

Beberapa negara seperti China, Indonesia dan Afrika telah menggunakan daun sup sejak dahulu lagi untuk menurunkan tekanan darah secara tradisional.

Sebuah kajian dalam Journal of Traditional Chinese Medicine telah membuktikan potensi secara saintifik.

Dua komponen aktif dalam daun ini iaitu 3-n-butylphthalide (NBP) dan apigenin didapati berpotensi untuk membantu menurunkan tekanan darah.

Pada masa yang sama, kedua-dua komponen ini juga didapati mampu menurunkan paras kolesterol dalam darah serta menghalang pembentukan plak.

Baik Untuk Kesihatan Tulang

Padat dengan khasiat vitamin K, daun sup juga sering dikaitkan sebagai salah satu sayuran yang mampu menyokong kesihatan tulang.

Vitamin ini membantu pembentukan sel-sel tulang yang dipanggil osteoblas serta berperanan untuk mengaktifkan protein tertentu bagi meningkatkan ketumpatan mineral dalam tulang.

Bersifat Antibakteria

Sebuah kajian tabung uji menunjukkan bahawa ekstrak daun sup mampu menghalang jangkitan bakteria seperti S.aureus.

Kajian lain turut mendapati ekstrak daun ini mampu menghalang pertumbuhan bakteria berbahaya seperti Listeria dan Salmonella. Seperti yang kita tahu, kedua-dua bakteria ini sering menjadi punca kepada keracunan makanan.

Namun, kajian mendalam mengenai potensi antibakteria daun sup masih diperlukan kerana ia belum lagi diuji pada manusia.

Membantu Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Dalam sebuah kajian terhadap tikus, estrak biji daun sup didapati telah menunjukkan beberapa sifat antidiabetik dan berupaya untuk menyokong kestabilan gula dalam darah secara berkesan.

Namun, kajian terhadap manusia masih diperlukan bagi mengesahkan keberkesanannya.

daun sup

Berpotensi Sebagai Antikanser

Berdasarkan kajian daripada Universitas Airlangga, daun ini juga menunjukkan potensi yang tinggi sebagai antikanser.

Khasiatnya terletak pada bahan aktif dalam tumbuhan ini iaitu phtalides yang melindungi sel daripada kanser, kolesterol dan tekanan darah tinggi.

Kajian ini turut mendedahkan kompaun phtalides yang paling aktif iaitu sedanolide yang mampu melawan tumor dalam kalangan pesakit kanser.

Daun sup yang tinggi kandungan antioksida juga didapati berpotensi tinggi untuk melawan radikan bebas yang mengakibatkan pembiakan sel kanser dalam tubuh.

Rupa-rupanya terdapat pelbagai potensi khasiat yang terkandung dalam daun sup. Jadi, memang tak rugi jika anda menggunakannya setiap hari sebagai pembangkit selera dalam masakan.

Sumber :

Baca Juga : 8 Kelebihan Daun Pudina Untuk Kesihatan Dalaman dan Luaran

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!