Chloramine Ubat Apa, Kegunaan dan Kesan Sampingannya 

Adakah anda ingin tahu Chloramine ubat apa dan fungsinya pada kesihatan? Sebenarnya, Chloramine adalah tergolong dalam kumpulan ubat jenis antihistamine.

Secara ringkasnya, ubat ini akan berfungsi dengan menyekat kesan histamine (bahan kimia yang dihasilkan oleh badan semasa tindak balas alahan), mengurangkan tindak balas alahan serta meredakan gejala alahan.

Ubat yang mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai Chlorpheniramine Maleate ini boleh dijumpai dalam tablet berbentuk bulat atau sirap berwarna jingga atau kuning.

Chloramine Ubat Apa
Chloramine Ubat Apa

Chloramine Ubat Apa dan Kegunaannya

Seperti yang dinyatakan di atas, Chloramine merupakan salah satu ubat antihistamine. Ia digunakan bagi mencegah serta merawat beberapa masalah kesihatan seperti :

• rinitis (radang membran mukus dalam hidung/ selsema)

• alergi perenial (sepanjang tahun) dan bermusim

• rinitis vasomotor (bukan alergi)

demam alergi

• alahan konjunktivitis (keradangan mata)

• bersin dan hidung berair berkaitan dengan selesema

Di samping itu, ubat ini turut digunakan bagi melegakan :

• gatal-gatal

• urtikaria (ruam gatal dan merah yang timbul pada kulit)

• angioedema (bengkak dalam lapisan bawah kulit)

• dermatografisme (kemerahan kulit akibat goresan atau tekanan pada kulit)

Panduan Pengambilan

Sebelum Mengambil Chloramine

Jangan mengambil ubat ini jika :

  • Anak atau kanak-kanak di bawah jagaan berusia 2 tahun ke bawah.
  • Anda mempunyai alahan kepada Chlorpheniramine Maleate atau ubat histamin lain.
  • Anda dalam 3 bulan pertama kehamilan atau menyusukan anak.
  • Anda sedang menerima antikoagulan.

Selain itu, anda juga perlu maklumkan kepada doktor jika mengalami mana-mana penyakit seperti berikut :

  • Peningkatan tekanan dalam mata
  • Ulser perut atau usus
  • Halangan gastrik dan duodenum
  • Penyumbatan pada pundi kencing
  • Peningkatan aktiviti kelenjar tiroid
  • Penyakit jantung dan saluran darah
  • Tekanan darah tinggi
  • Asma

Sila maklumkan kepada doktor sekiranya anda mengambil ubat-ubatan di bawah, kerana anda mungkin perlu menghentikannya :

  • Ubat-ubatan yang menyebabkan mengantuk (ubat penenang, barbiturat, ubat pelali dan ubat depresan sistem saraf pusat yang lain)
  • Antikoagulan – digunakan untuk menghalang darah beku.
  • Perencat Monoamine Oxidase (MAO)

Semasa Pengambilan

  • Ambil ubat mengikut dos dan kekerapan yang diarahkan oleh doktor dan periksa label dengan teliti.
  • Sekiranya terlupa ambil satu dos, ambil dos tersebut sebaik sahaja anda mengingatinya dan teruskan seperti biasa.
  • Jika anda tidak mengambil ubat untuk satu hari, ambil dos biasa pada hari seterusnya, jangan ambil dos berganda untuk menggantikan dos yang telah dilupa.
  • Ubat ini boleh menyebabkan rasa mengantuk. Elakkan daripada memandu atau mengendalikan jentera setelah mengambil ubat ini.

Kesan Sampingan

Seperti semua ubat, Chloramine juga mungkin boleh memberikan kesan sampingan.

Kesan sampingan yang paling lazim terjadi adalah mengantuk.

Anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor sekiranya mengalami kesan sampingan seperti di bawah :

  • Tekanan darah rendah, sakit kepala, debaran jantung laju atau tidak normal.
  • Kekurangan sel darah merah sihat.
  • Gangguan pada sistem saraf pusat seperti rasa mengantuk, pening, keletihan, gangguan koordinasi, kegelisahan, gementar, sukar untuk tidur, radang saraf dan sawan.
  • Penglihatan kabur dan penglihatan berganda.
  • Hilang selera makan, loya, muntah, ciri-tbirit dan sembelit.
  • Kerap membuang air kecil atau sukar membuang air kecil.
  • Sesak dada, semput atau hidung tersumbat.
  • Seram sejuk, kekeringan mulut, hidung dan tekak.

Seperkara lagi, anda juga perlu ingat bahawa ubat ini tidak boleh dikongsikan kepada orang lain dan hanya boleh didapati menerusi preskripsi doktor.

Jika anda alami sebarang kesan sampingan yang membimbangkan, segera dapatkan rawatan daripada pakar perubatan.

Sumber : National Pharmaceutical Regulatory Agency (NRPA) (1), (2)

Bantu kami share artikel ini: