Cacing Dalam Perut : Jenis, Gejala dan Rawatan

Cacing dalam perut merupakan antara isu kesihatan yang sering mendapat perhatian khususnya bagi para ibu bapa.

Ia juga mudah berjangkit melalui pelbagai cara dan dalam sesetengah kes, kanak-kanak juga boleh menunjukkan gejala berbeza bergantung kepada jangkitan jenis cacing.

Tanpa melengahkan masa, ayuh kita kenali penyakit cacing dengan lebih lanjut.

Jenis Jangkitan Cacing Dalam Perut

Mungkin ada yang tidak tahu sebenarnya terdapat tiga jenis jangkitan cacing dalam perut yang boleh dialami oleh kanak-kanak dan dewasa iaitu :

1. Cacing Rambu / Cacing Cambuk

cacing dalam perut
Sumber : Klinik Dr Asmah

Cacing rambu atau cacing cambuk pula sering membenamkan hujung badan pada dinding usus besar manusia.

Cacing rambu betina boleh menghasilkan lebih daripada 10,000 telur dalam masa sehari dan dikeluarkan dalam najis manusia.

Jangkitan yang disebabkan oleh cacing ini dikenali sebagai trichurisasis.

Jangkitan cacing rambu boleh berlaku apabila kanak-kanak makan makanan atau minum air yang tercemar dengan telur cacing.

Selain itu, jangkitan juga boleh berlaku apabila kanak-kanak memasukkan jari ke dalam mulut selepas bermain dengan tanah tercemar.

2. Cacing Gelang

cacing dalam perut
Sumber : Health Jade

Cacing gelang merupakan antarapunca utama jangkitan cacing dalam kalangan manusia. Jangkitan ini juga turut dinamakan ascariasis.

Cacing gelang dewasa boleh tinggal di dalam usus kecil dan telur-telur cacing juga boleh didapati pada najis pesakit.

Lazimnya, cacing gelang berjangkit apabila kanak-kanak bermain di tempat lembab dan kotor.

Telur-telur cacing ini juga boleh berjangkit melalui tangan yang tidak bersih dan dimasukkan ke dalam mulut. Di samping itu makanan serta minuman yang dicemari dengan telur-telur cacing gelang juga boleh mengakibatkan jangkitan.

3. Cacing Jarum

Sumber : Klinik Dr Asmah

Cacing jarum atau cacing benang adalah sejenis cacing yang sangat halus dan tinggal di dalam usus.

Cacing jarum betina akan keluar dari dubur pada waktu malam dan bertelur berhampiran kulit dubur.

Juga biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak, jangkitan cacing ini dikenali sebagai enterobiasis.

Seorang kanak-kanak boleh mendapat jangkitan telur cacing melalui sentuhan dengan kanak-kanak yang dijangkiti atau melalui pakaian tidur, cadar atau persekitaran kanak-kanak lain yang telah dijangkiti.

Kanak-kanak juga boleh berjangkit apabila makan tanpa mencuci tangan dengan sempurna kerana telur cacing boleh melekat di celah kuku.

Tanda-Tanda Jangkitan Cacing

Bergantung kepada jenis cacing yang terdapat dalam perut dan tahap jangkitan, pesakit boleh menunjukkan beberapa gejala seperti berikut.

Gejala Cacing Rambu

Untuk jangkitan ringan (kurang daripada 100 cacing) :

  • Mungkin tiada sebarang gejala
  • Kembung perut
  • Cirit-birit
  • Perut rasa tidak selesa

Untuk Jangkitan Teruk (melebihi 100-1000 cacing) :

  • Sakit perut
  • Muntah
  • Cirit-birit (kemungkinan mengandungi darah)
  • Muka pucat
  • Hilang selera makan
  • Susut berat badan
  • Bahagian akhir usus besar terkeluar
  • Pembesaran terencat

Gejala Jangkitan Cacing Jarum

  • Pesakit cenderung untuk menggaru pada kawasan dubur kerana gatal.
  • Cacing boleh dijumpai dalam najis anak.
  • Telur cacing pula hanya boleh dilihat menerusi saringan lanjut di klinik keranan saiznya yang sangat kecil.

Gejala Jangkitan Cacing Gelang

  • Sesetengah kanak-kanak tidak menunjukkan gejala
  • Sakit perut
  • Najis yang mengandungi cacing gelang atau telur cacing.
  •  Jangkitan yang teruk menyebabkan saluran usus tersumbat dan sakit perut yang teruk serta muntah
cacing dalam perut
Sumber : Kids Clinic

Kaedah Rawatan

Ubat yang biasa diberikan adalah Albendazole untuk satu hari sementara Mebendazole untuk 3 hari. Ia kemudiannya perlu diulang selepas 2 minggu.

Anda boleh juga sapukan petroleum jelly di kawasan yang gatal untuk menghilangkan kegatalan (di sekeliling kawasan dubur atau vagina).

Tips Mencegah

  • Basuh tangan dengan sempurna sebelum menyediakan makanan atau selepas ke tandas.
  • Basuh makanan yang mungkin tercemar dengan telur cacing dengan bersih.
  • Elakkan dari makan makanan tercemar atau dari sumber air yang dicemari.
  • Jauhi anak daripada bermain di tanah tercemar dengan telur cacing
  • Buang lampin pakai buang di tempat yang sesuai
  • Kerap mandi

Bagi mengelakkan jangkitan cacing dalam perut, anda perlulah menjaga kebersihan dan memastikan makanan serta minuman yang diambil daripada sumber yang bersih.

Bagi yang mempunyai anak di rumah, pastikan mereka mencuci tangan, menjaga kebersihan dan tidak bermain di kawasan tercemar.

Sekiranya anda atau anak menunjukkan gejala-gejala yang disenaraikan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera daripada doktor.

Sumber : myhealth.gov.my (1), (2), (3)

Baca Juga : Ubat Cacing Budak: Jenis dan Waktu Sesuai Untuk Diambil

Bantu kami share artikel ini: