Bunga Kekwa : Nama Saintifik dan Khasiat Teh Bunga

Bunga kekwa atau Chrysanthemum dalam bahasa Inggeris merupakan bunga yang cukup terkenal kerana ia sering dijadikan minuman teh bunga.

Mungkin ramai yang kenali variasi bunga ini yang berwarna kuning.

Hakikatnya, terdapat pelbagai jenis kekwa dengan pelbagai warna seperti ungu, jingga, merah dan sebagainya.

Ia juga popular sebagai tanaman hiasan khususnya di kawasan beriklim dingin seperti di Cameron Highlands.

Pokok bunga ini juga merupakan antara tanaman bunga tertua di dunia yang berasal dari negeri China dan Jepun.

Sumber : Dawsons Garden World

Nama Saintifik Bunga Kekwa

Nama saintifik bagi spesis kekwa yang paling popular adalah Chrysanthemum morifolium.

Kekwa merupakan bunga komposit di mana bunga-bunga kecil (florets) terbentuk menjadi satu bunga besar.

Di samping itu, kekwa juga mempunyai 2 jenis pembentukan bunga iaitu jenis standard yang mempunyai sekuntum bunga pada satu tangkai batang dan jenis pompom yang memiliki beberapa kuntum bunga pada satu tangkai batang.

Kekwa jenis pompom dilihat lebih digemari ramai berbanding jenis standard kerana ia lebih menarik untuk digunakan dalam gubahan.

Selain bunga sakura, kekwa juga merupakan bunga kebangsaan bagi negara Jepun.

Di Jepun terdapat kira-kira 350 jenis kekwa, manakala terdapat hampir 200,000 variasi yang wujud di seluruh dunia.

Bunga kekwa dipercayai melambangkan umur yang panjang dan kelahiran semula.

Oleh sebab itulah bunga ini turut mengiringi upacara keagamaan bagi beberapa negara termasuk di Jepun dan China.

bunga kekwa
Sumber : nippon.com

Khasiat Teh Kekwa

Selain tehnya mempunyai aroma dan rasa yang segar, bunga ini turut mengandungi pelbagai khasiat penting buat tubuh.

Bunga kekwa kuning atau putih yang dikeringkan dan dijadikan teh merupakan salah satu ramuan yang digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional Cina sejak dahulu lagi.

Antara komponen penting untuk kesihatan yang ditemui dalam bunga ini adalah antioksidan, antimikrob, antiradang dan antialahan.

Ia juga didapati mampu kesan yang positif kepada individu yang mempunyai penyakit seperti obesiti, salur kencing dan masalah imuniti.

Di samping itu, teh bunga ini turut mengandungi kalium yang penting untuk kesihatan jantung dan buah pinggang.

Paras kalium yang optimum dapat mencegah tubuh daripada pelbagai masalah kesihatan seperti sakit jantung, strok, kanser dan masalah penghadaman.

Di samping itu, teh bunga ini juga boleh menjadi sumber zat besi yang baik bagi membantu peredaran oksigen yang baik dalam tubuh serta membantu meningkatkan kesihatan secara menyeluruh.

bunga kekwa
Sumber : healthiersteps.com

Bunga ini ternyata bukan sahaja indah di mata, malah tehnya yang segar dan beraroma harum juga mengandungi pelbagai manfaat pada kesihatan.

Maka, tidak hairanlah mengapa ia merupakan antara bunga yang cukup popular.

Sumber : MYAgro, WebMD

Baca Juga : Bunga Tulip : Nama Saintifik dan Maksud Mengikut Warna

Bantu kami share artikel ini: