Kelebihan Membaca 2 Ayat Terakhir Surah Al Baqarah

Kelebihan Membaca 2 Ayat Terakhir Surah Al Baqarah

Surah Al Baqarah adalah merupakan surah yang kedua di dalam Al-Quran. Ia juga merupakan surah yang terpanjang.

Terdapat banyak pengajaran di dalam surah ini, termasuklah kelebihan membaca 2 ayat terakhir surah Al Baqarah.

Ini adalah berdasarkan sebuah hadis, 

Daripada Abu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.”

[Riwayat al-Bukhari (5009)]

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

BACA JUGA: Surah Yusuf: Ringkasan Surah & Kelebihan Membacanya

2 Ayat Terakhir Surah Al Baqarah

(Surah al-Baqarah: 285-286) – 2 ayat terakhir surah Al Baqarah

Maksudnya:

“Rasulullah telah beriman terhadap apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya.

(Mereka berkata): Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada kalangan rasul-rasulnya. Mereka berkata lagi:

Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jualah tempat kembali.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata):

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami!

Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami. Oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Bila Perlu Membacanya?

Dua ayat terakhir surah Al Baqarah ini dianjurkan untuk dibaca setiap malam. 

Hadis Yang Berkaitan 

Daripada Abu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.” [Riwayat al-Bukhari (5009)]

Berdasarkan sebuah hadis (rujuk hadis diatas), Rasulullah SAW mengajar kita antara bacaan yang boleh diamalkan pada setiap malam ialah dengan membaca 2 ayat terakhir surah Al Baqarah iaitu ayat 285 dan 286. 

Kelebihan Membaca 2 Ayat Terakhir Surah Al Baqarah

Kelebihan 2 Ayat Terakhir Surah Al Baqarah

Menurut hadis tersebut, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengulas bahawa hadis ini terbahagi kepada beberapa makna.

  • Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah)
  • Telah cukup baginya untuk membaca al-Quran sama ada di dalam atau di luar solat.
  • Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan aqidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
  • Telah cukup baginya (terselamat) daripada segala keburukan.
  • Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan
  • Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
  • Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.

Imam al-Nawawi menjelaskan makna cukup bagi orang yang membaca 2 ayat terakhir surah Al Baqarah, cukup baginya mendirikan malam tersebut, cukup baginya agar terpelihara daripada kejahatan syaitan dan daripada kebinasaan-kebinasaan serta boleh jadi ia membawa makna ke semuanya sekali.

Akhir kata, marilah kita amalkan 2 ayat ini sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Semoga dengan itu, kita mendapat manfaatnya. Amin. 

Sumber:

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-419: Kelebihan Membaca Dua Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. JAKIM
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!