Pernahkah anda dengar tentang urut batin? Ada yang melakukannya sebelum berkahwin, malah ramai yang turut mengamalkannya selepas berkahwin bagi menjamin kepuasan seksual bersama isteri.
Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah bagi meningkatkan ketahanan dan memulihkan tenaga batin demi mencapai kepuasan seksual yang maksimum.
Urut batin juga telah menjadi satu amalan tradisional sejak beratus tahun lamanya. Namun, ia perlulah dilakukan oleh premis dan tukang urut yang berdaftar.
Namun benarkah semua manfaat ini dibuktikan secara saintifik? Jika tidak kena dengan caranya, ia boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan lelaki yang lebih teruk.
Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Maksud Urut Batin
Urut batin merupakan rawatan utama bagi memulihkan lemah syahwat dalam kalangan lelaki. Biasanya rawatan akan dilakukan mengikut masalah yang dialami oleh individu tersebut.
Selain masalah fungsi anggota kelamin, kaum lelaki juga sering terdedah kepada masalah tenaga batin, iaitu merujuk kepada kurang keupayaan dan kekuatan ketika berjimak.
Meskipun masalah ini jarang dibincangkan, namun ia menjadi satu isu utama bagi para lelaki yang sudah mendirikan rumah tangga kerana seorang suami perlu memberi suatu kepuasan kepada isteri dalam setiap senggama.
Kaedah Rawatan
Dalam urutan batin, terdapat enam bahagian badan yang akan diurut iaitu:
- Bahagian ari-ari
- Tapak kaki kiri dan kanan
- Celah-celah jari kaki kiri dan kanan
- Jantung betis
- Urat sebelah dalam paha
- Bahagian kemaluan lelaki
Ketika mengurut, ia juga biasanya diselangi dengan bacaan doa pemulih saraf dan zikir pemulih tenaga batin.
Urut batin juga selalunya menggunakan ramuan minyak khusus seperti minyak lenga (sesamum indicum) dan campuran biji lobak (Daucus carota) yang telah dilumatkan.
Di samping itu, tukang urut juga mungkin akan gunakan minyak campuran akar gaharu (Aquilaria malaccensis) dan akar ketapang (Terminalia catappa) yang dimasak dengan minyak kelapa.
Petua Mengatasi Masalah Lemah Tenaga Batin
Bagi memulihkan tenaga batin, terdapat pelbagai ramuan tradisional yang sering dugunakan antaranya :
- Akar panah arjuna (Tectaria singaporiana) dibersihkan, dicincang halus, dikeringkan dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum dua kali sehari selama seminggu.
- Akar Tongkat Ali (Eurycoma longifolia) direbus bersama ubi rancang besi (Smilax calophylla), ubi rancang tembaga (Smilax sp.), ubi mentua binasa (Alternanthera brasiliana) dan pokok Kacip Fatimah (Marantodes pumilum). Air rebusan ini diminum tiga kali sehari selama seminggu.
Selain itu, terdapat juga petua pemakanan lain bagi mengekalkan kesihatan anggota kelamin lelaki seperti :
- Memakan telur ayam rebus untuk menguatkan zakar
- Biji rambutan untuk memekatkan air mani
- Minum air rebusan biji selasih untuk menambahkan kuantiti air mani.
Manfaat Urutan Batin
Berdasarkan kaedah urutan yang khusus, urut batin dipercayai dapat membantu mengatasi pelbagai masalah kesihatan lelaki antaranya :
- Mengatasi masalah ereksi
- Membantu merawat masalah ejakulasi (ejakulasi pramatang, sakit ketika ejakulasi dan sebagainya)
- Membantu mengatasi masalah prostat
- Merawat masalah salur kencing
- Membantu lelaki tahan lebih lama di ranjang
Risiko Urut Batin
Disebabkan perkhidmatan urut batin lelaki ini turut ditawarkan oleh tukang urut atau premis yang tidak berdaftar dengan KKM, dikhuatiri ia juga boleh memberikan kesan sampingan berbahaya.
Jika dilakukan dengan cara yang salah, urutan tersebut boleh memberikan kesan buruk seperti berikut :
- Kerosakan kekal pada zakar
- Jangkitan penyakit kelamin akibat tukang urut atau premis yang tidak mengambil berat keselamatan seksual dan faktor kebersihan.
- Pemberi serta penerima urutan batin yang tidak berdaftar boleh dikenakan hukuman kompaun serta penjara.
Sekiranya anda ingin menggunakan perkhidmatan urutan batin, buat semakan dan pastikan pengamal perubatan tradisional tersebut telah berdaftar dengan KKM.
Selain itu, anda juga disarankan untuk merujuk kepada doktor sebelum mengamalkan ramuan tradisional kerana ia mungkin tidak sesuai bagi sesetengah lelaki.
Pada masa yang sama, anda juga mungkin masih memerlukan rawatan klinikal atau pengambilan ubat bagi mengatasi masalah kesihatan yang dialami.
Untuk keterangan lanjut, anda boleh layari portal rasmi Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sumber : pemetaanbudaya.jkkn.gov.my, Hellodoktor
Baca Juga : Onani : 6 Fakta Melancap Bagi Lelaki & Wanita