Untuk individu yang disyaki mempunyai masalah prakanser dan kanser pada serviks, individu tersebut adalah dinasihatkan untuk melakukan Ujian Pap Smear.
Ujian ini penting bagi memastikan rawatakan awal dapat dijalankan sebelum berlakunya kanser pada serviks individu terbabit.
Tambahan pula, Kanser Serviks merupakan kanser di antara yang tertinggi di kalangan wanita di Malaysia dan ianya berlaku apabila sel di serviks bertindak secara tidak normal dan berkembang menjadi kanser.
Mengenai Ujian Pap Smear
Pap Smear (atau ujian pap) ialah ujian saringan untuk mengesan perubahan sel yang tidak normal dalam serviks (lubang antara faraj dan rahim).
Dalam erti kata lain, Pap Smear adalah ujian yang mengambil sedikit sampel sel daripada serviks untuk mengesan masalah prakanser dan kanser pada serviks.
Ia juga dianggap sebagai alat saringan utama untuk kanser serviks.
Kepentingan Ujian Pap Smear
Ujian ini merupakan salah satu cara terbaik untuk melindungi diri daripada kanser serviks.
Untuk wanita berumur 30 tahun ke atas, sampel yang diambil daripada serviks akan diuji untuk kehadiran papilomavirus manusia (HPV) yang tertentu.
Jangkitan HPV adalah jangkitan hubungan jenis yang menambahkan risiko mendapat kanser serviks dalam kalangan ramai wanita.
Kekerapan Ujian
Wanita dinasihatkan untuk mula membuat saringan pada umur 21 tahun, tidak kira bila melakukan hubungan seks pertama.
Namun wanita adalah dinasihatkan untuk mengikuti kekerapan ujian berikut:
- Wanita berumur 21 hingga 29 tahun perlu menjalani ujian pap smear setiap tiga tahun.
- Wanita berumur 30 dan 65 tahun mempunyai tiga pilihan ujian:
– Menjalani ujian pap dan ujian HPV (ujian bersama) setiap lima tahun.
– Menjalani ujian pap setiap tiga tahun.
– Menjalani ujian HPV sahaja setiap lima tahun sekali.
Namun, doktor anda mungkin akan meyarankan ujian Pap smear yang lebih kerap jika mempunyai faktor risiko seperti berikut:
- Sistem imun yang lemah disebabkan oleh pemindahan organ, kemoterapi, penggunaan steroid yang kronik
- Diagnosis kanser serviks
- Keputusan ujian yang menunjukkan kehadiran sel prakanser
- Positif HIV
- Pendedahan kepada dietilstilbestrol (DES) sebelum lahir – sejenis estrogen sintetik
Persediaan Sebelum Ujian
Dalam 2 hari sebelum melakukan ujian ini, individu perlu melakukan persediaan-persediaan berikut:
- Elakkan krim pencegah kehamilan, jeli atau buih
- Elakkan douche (mencuci vagina dengan air atau cecair lain)
- Elakkan ubatan vagina atau krim
- Elakkan hubungan seks
- Elakkan penggunaan tampon
Cara Ujian Dilaksanakan
Ujian lazimnya dilakukan dalam pejabat doktor semasa pemeriksaan pelvis dan akan mengambil masa beberapa minit sahaja.
Doktor akan menjelaskan langkah-langkah ujian sebelum prosedur dimulakan dan akan memasukkan satu instrumen yang dipanggil spekulum ke dalam vagina untuk melebarkannya supaya boleh melihat serviks dan bahagian atas vagina.
Bahagian bawah serviks akan dicalit perlahan-lahan menggunakan spatula (spatula Ayre) untuk mengambil sampel sel, sementara berus (cytobrush) pula akan digunakan untuk mengambil sel daripada bahagian dalam serviks.
Sampel yang diambil akan diletakkan dalam cecair pengawet dan dihantar ke makmal untuk diperiksa.
Keputusan Ujian Pap Smear
Keputusan ujian ini adalah sama ada normal, tidak normal atau tidak jelas.
i) Normal
Keputusan normal atau negatif menunjukkan tiada perubahan sel di dalam serviks anda.
Tiada ujian lanjutan diperlukan sehingga ujian pada jadual seterusnya.
ii) Tidak Normal
Keputusan yang tidak normal menunjukkan perubahan sel telah dikesan dalam serviks, walaupun ini tidak semestinya bermakna individu terbabit menghidap kanser serviks.
Perubahan tidak normal mungkin disebabkan oleh HPV dan perubahan itu mungkin sederhana (gred-rendah) atau teruk (gred-tinggi).
Perubahan sederhana mungkin akan kembali normal dengan sendirinya.
Perubahan yang teruk di panggil “prakanser” kerana ia belum menjadi kanser, tetapi berpotensi untuk menjadi kanser lama-kelamaan.
Dalam situasi yang jarang ditemui, keputusan Pap smear yang tidak normal mungkin menunjukkan kehadiran malignansi (kanser).
Ujian tambahan perlu dilakukan untuk mengesahkan diagnosis tersebut.
Lebih awal kanser serviks dikesan, lebih baik peluang untuk merawatnya.
iii) Tidak Jelas
Jarang sekali, keputusan mungkin tidak jelas dan doktor akan menasihati individu untuk mengulangi ujian dalam 12 minggu.
Info Lanjut
Info lanjut mengenai ujian ini, sila baca pautan berikut: