Tonsil Bengkak : Punca, Gejala & Kaedah Rawatan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Masalah tonsil bengkak bukanlah suatu perkara yang asing bagi semua. Ia boleh berlaku akibat jangkitan virus atau bakteria.

Tonsil berfungsi untuk menyaring makanan atau udara yang masuk melalui kerongkong. Sekiranya terdapat virus atau bakteria, sel imun di tonsil akan menghapuskan kuman tersebut dan menghasilkan antibodi untuk tubuh.

Dalam situasi ini, sel darah putih akan berkumpul di bahagian tekak sehingga membuatkan kawasan tersebut menjadi sakit dan bengkak.

Inilah yang mengakibatkan tonsil mula membengkak atau tonsilitis. Ia juga boleh disertai dengan rasa sakit, tompok putih dan nampak kemerahan.  

Tonsil Bengkak

Punca Tonsil Menjadi Bengkak

Punca utama penyakit ini adalah disebabkan oleh jangkitan kuman daripada virus atau bakteria.

Faktor lain seperti keadaan persekitaran yang sesak atau kurang pengambilan nutrisi secukupnya juga boleh mengakibatkan jangkitan tonsil.

Tonsil Bengkak

Gejala Tonsilitis

Gejala ini sering dialami oleh kanak-kanak berumur 3 hingga 6 tahun. Namun, ia masih boleh terjadi dalam kalangan pesakit dewasa.

Antara simptom yang berlaku akibat jangkitan tonsil sehingga menyebabkannya bengkak adalah :

  • Rasa sakit ketika menelan makanan
  • Sakit tekak
  • Demam panas
  • Tompoh putih muncul di permukaan tonsil
  • Tonsil membengkak atau besar
  • Mulut berbau busuk
  • Sakit leher
  • Kelenjar limfa (lymph node) yang terletak di bawah rahang dan leher bengkak.

Untuk bayi atau anak kecil yang masih belum boleh bercakap, mereka mungkin boleh menunjukkan beberapa simptom tonsil bengkak seperti :

  • Tidak mahu makan atau kurang selera makan
  • Sering menangis atau mood tidak baik
  • Demam bersuhu tinggi
  • Air liur sering meleleh

Bila Perlu ke Klinik?

Pesakit perlulah dibawa ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan rapi serta rawatan lanjut sekiranya menunjukkan simptom-simptom berikut :

  • Kurang makan dan minum
  • Sesak nafas
  • Demam masih tidak reda setelah 3 hari
  • Demam panas
  • Cirit-birit dan muntah
  • Pesakit lesu dan kelihatan letih

Kaedah Rawatan Tonsil Bengkak

Rawatan bagi mengatasi masalah tonsil adalah bergantung kepada tahap jangkitan.

Rawatan di Rumah (Bagi Sakit Yang Tidak Terlalu Teruk)

  • Dapatkan rehat secukupnya
  • Minum air secukupnya
  • makan ubat sakit tekak (lozenge, cecair atau semburan)
  • Gunakan pelembab udara (air humidifer)
  • Berkumur dengan air garam
  • Sekiranya alami sakit tekak teruk, pesakit boleh ambil ubat demam atau ubat tahan sakit.
Tonsil Bengkak

Rawatan Menggunakan Antibiotik

Antibiotik hanya akan diberikan oleh doktor kepada pesakit yang disyaki mengalami jangkitan bakteria. Cara ini dapat membantu badan membina sistem imun untuk melawan jangkitan.

Beberapa gejala yang boleh menunjukkan jangkitan tonsil berlaku akibat jangkitan bakteria adalah :

  • Sel darah putih yang tinggi
  • Demam panas bersuhu tinggi iaitu melebihi 38.5 °C.
  • Kelenjar limfa bengkak pada bahagian leher
  • Tompok putih kelihatan di permukaan tonsil

Rawatan Melalui Pembedahan

Doktor hanya akan mengesyorkan pembedahan (tonsillectomy) sekiranya pesakit kerapa mengalami tonsil bengkak. Ia biasanya dilakukan ketika pesakit tidak mengalami jangkitan tonsil.

Sekiranya pesakit menunjukkan kekerapan jangkitan tonsil seperti di bawah, doktor akan menyarankan pembedahan untuk membuang tonsil :

  • Tonsil bengkak berlaku 7 kali dalam setahun
  • Tonsil bengkak berlaku 4 hingga 5 kali setahun dalam masa 2 tahun
  • Tonsil bengkak berlaku 3 kali setahun dalam masa 3 tahun

Di samping itu, doktor juga mungkin akan mengesyorkan pembedahan tonsil sekiranya :

  • Pesakit mempunyai masalah sukar bernafas
  • Pesakit alami kesukaran untuk menelan
  • Saluran pernafasan tersumbat ketika tidur
  • Nanah pada tonsil tidak sembuh walaupun selepas diberikan antibiotik.

Setelah mengenalpasti gejala, sesetengah kes jangkitan tonsil boleh dirawat di rumah. Namun bagi kes yang lebih teruk, pesakit perlulah mendapatkan rawatan daripada doktor.

Sumber : The Diagnosa

Baca Juga : 6 Ubat Sakit Tekak Yang Anda Boleh Cuba Untuk Kelegaan Segera

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut