PENGECUALIAN TOL SEMPENA KRISMAS 2024 – WAKTU & TARIKH TOL PERCUMA HARI NATAL
Kerajaan Madani telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja selaras aspirasi “MADANI di hati, Rakyat Disantuni” sempena Perayaan Hari Krismas 2024. Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM38juta.
Pengecualian tol ini diharap dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia Madani yang berbilang kaum, budaya, kaum dan agama untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Krismas 2024 terutama kepada yang beragama Kristian.
Berikut dikongsikan butiran berkenaan tol percuma sempena Hari Krismas 2024 ini.
Waktu & Tarikh Tol Percuma Sempena Hari Krismas 2024
Pengecualian tol bermula pada jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan berakhir pada jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).
Peringatan Mesra Untuk Pengguna Lebuh Raya
Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pemberian pengecualian tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa musim cuti.
Pengguna juga dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan untuk meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sambutan perayaan kali ini.
Penting untuk pemandu menjaga kesihatan dan kesegaran tubuh badan bagi pengalaman pemanduan yang selamat, memastikan kondisi kenderaan dan tayar kenderaan sentiasa baik serta baki kad Touch ‘n Go serta eWallet yang mencukupi.
Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smart Lane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa.
Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik). Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk memperoleh keadaan trafik terkini atau bantuan. Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik.
Penunggang motosikal juga dinasihatkan untuk berhati-hati terutama semasa trafik tinggi di lebuh raya. Pastikan berhenti di tempat teduhan yang telah disediakan di lokasi terpilih di sepanjang lebuh raya serta sentiasa peka dan berwaspada apabila menghampiri laluan Smart Lane yang diaktifkan.
Selamat merancang perjalanan anda! Semoga anda selamat sampai ke destinasi bersama yang tersayang.
Baca juga: