Berita baik bagi penyimpan Tabung Haji (TH), kini anda dah boleh menyemak baki akaun dan penyata Tabung Haji online tanpa perlu ke kaunter melalui portal rasmi THiJARI.
Kalau sebelum ini mungkin kita hanya akan dapat mengetahui baki dengan menyemaknya di ATM atau secara manual dengan hadir ke kaunter TH.
Kini, Tabung Haji dah ada pun portal sendiri iaitu THiJARI yang membolehkan kita melakukan pelbagai urusan dengan mudah dan cepat seperti juga MyASNB.
Baca juga : MyASNB: Pendaftaran, Pengeluaran ASB Online, Semakan Baki & Dividen
Perkhidmatan Tabung Haji Online Yang Ditawarkan Di THiJARI
Rangkaian perkhidmatan digital THiJARI menyediakan pelbagai perkhidmatan Tabung Haji online yang amat memudahkan seperti:
1. Semakan Penyata, Urusan Simpanan & Pindahan
Pelanggan Tabung Haji online boleh melakukan semakan ringkasan, butiran akaun dan rekod transaksi serta baki akaun terkini dengan mudah melalui THiJARI.
Di samping itu, kita boleh melakukan pindahan simpanan dari akaun TH ke akaun TH (akaun tanggungan dan pihak ketiga).
Had amaun pindahan simpanan sehari yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:
- Pindahan ke Akaun TH Persendirian (ke akaun TH anak bawah jagaan) – RM15,000.00 sehari
- Pindahan ke Akaun TH Pihak Ketiga (termasuk akaun TH yang telah di “favourite” kan) – RM5,000.00 sehari
Pengemaskinian profil juga boleh dilakukan.
Pendeposit boleh mendapatkan penyata akaun Tabung Haji online bagi enam (6) bulan terkini.
Penyata akaun boleh dimuat turun dan dicetak selain penetapan akaun kegemaran (favourite account).
Anda juga boleh buat semakan pengkreditan dividen secara online.
2. Urusan Haji
Bagi mempermudahkan urusan Haji, pelanggan Tabung Haji Online boleh membuat semakan status pendaftaran Haji dan memuat turun slip pendaftaran Haji dengan lebih cepat tanpa perlu hadir ke kaunter.
Bagi urusan tawaran Haji pula, surat tawaran dan semakan status tawaran Haji juga boleh didapati melalui portal ini.
Pelanggan THiJARI boleh menyemak dan memuat turun jadual penerbangan pergi dan balik.
Bagi program Kursus Asas Haji, pelanggan boleh membuat semakan lokasi dan tarikh kursus di samping memuat turun nota Kursus Asas Haji.
Memang cukup memudahkan!
3. Kelab TaHa
Pendaftaran Kelab Taha / Taha@U boleh dilakukan melalui THiJARI.
Bagi ahli Kelab TaHa / TaHa@U, penyemakan status pendaftaran, E-kad keahlian kelab di samping semakan senarai Rakan Kelab TaHa/TaHa@U boleh dilakukan melalui portal THiJARI.
Cara Daftar Tabung Haji Online Di Portal THiJARI
Untuk mendaftar dan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji online ini, sila ikuti langkah berikut:
1. Kemaskini Maklumat Ahli
Pertama sekali, pendeposit perlu memastikan mereka telah mengemaskini semua maklumat ahli di kaunter TH (paling penting adalah maklumat nombor telefon bimbit).
Ini kerana nombor pengesahan (TAC) akan dihantar melalui nombor telefon bimbit yang telah didaftarkan.
Maka, pastikan nombor telefon bimbit yang didaftarkan adalah nombor telefon terkini bagi mengelakkan masalah semasa proses log in sistem THiJARI.
*MAKLUMAN: Bagi mereka yang telah mengemaskini maklumat, capaian ke perkhidmatan ini boleh dibuat melalui www.thijari.com.my tanpa perlu ke kaunter TH.
2. Layari Laman Web THiJARI
Dapatkan capaian internet dan pergi ke laman web rasmi ThiJARI di www.thijari.com.my.
Anda boleh menggunakan telefon pintar / komputer / laptop dan lain-lain.
3. Isikan Maklumat Peribadi
Pendeposit hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan nombor akaun TH.
Seterusnya, pendeposit perlu memasukkan nombor telefon bimbit yang telah didaftarkan.
Pendeposit diminta memasukkan maklumat peribadi.
4. Cara Semak Akaun Tabung Haji Online Sendiri & Anak
Sebaik selesai mengisi maklumat peribadi, pendeposit boleh login semula dan terus menggunakan perkhidmatan THiJARI.
Hanya akaun TH dewasa sahaja yang boleh mendaftar THiJARI.
Namun, akaun TH anak bawah jagaan adalah secara automatik akan dipaparkan setelah penjaga berjaya mendaftar THiJARI.
Untuk menyemak akaun anak melalui THiJARI, penjaga boleh menekan pada menu “Ringkasan Akaun”.
5. Semakan Penyata
Untuk membuat semakan penyata, tekan pada nama pemegang akaun.
Kemudian klik pada pilihan Penyata Akaun seperti di atas.
Klik muat turun PDF.
Penyata anda akan dipaparkan.
Pendaftaran Kelab TaHa / TaHa@U
Jika ibu ayah mempunyai anak-anak yang berusia antara 7-17 tahun, anda boleh mendaftarkan Kelab TaHa untuk mereka melalui portal Tabung Haji online ini.
Pendaftaran Kelab TaHa@U pula dibuka bagi anak-anak berusia 18 hingga 25 tahun dan masih menuntut di IPTA/IPTS atau yang setaraf dengannya.
Ahli kelab ini mempunyai banyak manfaat oleh Tabung Haji.
Mereka juga akan diberi keutamaan serta berpeluang untuk menyertai :
- Latihan amali/praktikal
- Program-program kemasyarakatan.
- Sukarelawan musim haji di dalam operasi haji tanah air
- Menyertai aktiviti kelab seperti sukan dan riadah.
- Diskaun harga di rangkaian Rakan Kelab TaHa di seluruh malaysia.
Menarik kan?
Jadi, jangan lupa daftarkan anak-anak sekali untuk Kelab TaHa / Kelab TaHa@U ini setelah anda berjaya mendaftar ThiJARI.
Dividen Tabung Haji 3.25%
Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25% bagi tahun kewangan 2024. Ini menjadikannya kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Jumlah keseluruhan agihan keuntungan adalah sebanyak RM2.92 bilion, meningkat daripada RM2.72 bilion pada tahun sebelumnya.
Faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini termasuk prestasi pelaburan yang lebih baik, pertumbuhan ekonomi yang positif, serta kawalan kos operasi yang berkesan.
Pendeposit boleh menyemak dividen yang dikreditkan ke akaun mereka mulai 23 Mac 2025 melalui platform THiJARI, kaunter TH, serta bank rakan strategik seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
Cara Semak Dividen Tabung Haji Melalui THiJARi (Online)
Untuk menyemak dividen Tabung Haji (TH) melalui portal THiJARI, ikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web THiJARI: Pergi ke www.thijari.com.my.
- Log masuk ke akaun: Masukkan ID pengguna dan kata laluan anda.
- Pilih akaun Tabung Haji: Setelah berjaya log masuk, pilih akaun simpanan TH yang ingin disemak.
- Semak jumlah dividen: Klik pada menu “Ringkasan Akaun” untuk melihat jumlah dividen yang telah dikreditkan. Untuk melihat agihan keuntungan, anda boleh melihat pada Sejarah Transaksi atau Penyata Akaun.
- Muat turun penyata tahunan: Jika perlu, anda boleh memuat turun penyata tahunan untuk melihat butiran lengkap agihan keuntungan.
Maklumat Lanjut
Sebarang kemusykilan dan pertanyaan lanjut berkaitan THiJARI, sila kunjungi Pejabat Cawangan TH yang berdekatan atau hubungi:
Tabung Haji Contact Centre (THCC)
- Telefon : +603 – 6207 1919
- E-mel : [email protected]
Waktu Operasi : 8:00 pagi – 6:30 petang (Beroperasi pada hari Isnin hingga Ahad. Kecuali pada cuti umum mengikut Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur)
Follow media sosial Tabung Haji untuk update terkini di Facebook Official : Lembaga Tabung Haji