Tepung Ubi : Kegunaan dan Bezanya Dengan Tepung Kentang

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Tepung ubi merupakan antara jenis tepung yang mempunyai fungsi khusus dalam masakan.

Meskipun ia tidak sepopular tepung gandum atau tepung jagung, teksturnya yang unik menjadikan ia antara tepung yang wajib ada di setiap rumah.

Tepung ini juga merupakan pilihan tepat bagi individu yang alahan kepada kekacang, kelapa dan bijirin kerana ia bebas gluten.

Selain baik untuk diamalkan bagi yang sedang mengamalkan diet bebas gluten, ia juga dilihat sesuai bagi pesakit celiac.

Tepung Ubi Dalam Bahasa Inggeris

Tepung ini turut dikenali dengan nama lain seperti tepung kanji dan tepung tapioka.

Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai Tapioca Starch atau Tapioca Flour.

Secara umumnya, tepung ini diperbuat daripada akar ubi kayu yang dibersihkan, dikupas lalu diparut atau dikisar.

Setelah dikeringkan di bawah matahari, ia akan ditumbuk sehingga halus sehingga terhasilnya tepung.

tepung ubi
Sumber : Nutrabay

Kegunaan

Untuk Cantikkan Adunan Kuih

Adunan kuih khususnya kuih lapis yang menggunakan tepung ubi dikatakan mempunyai tekstur yang kenyal dan lembut.

Selain membuatkan permukaan kuih lapis lebih bersinar, ia juga dapat membuatkan setiap lapisan kuih ini mudah untuk disiat.

Selain kuih lapis, beberapa kuih tradisional lain turut menggunakan tepung ini seperti kuih kaswi, kuih lompang, cendol dan keropok lekor.

kuih lapis tepung ubi

Boba atau bijian pearl berwarna hitam yang sering dijumpai dalam minuman Milk Tea juga diperbuat daripada tepung ubi kayu.

Untuk Pekatkan Adunan

Disebabkan teksturnya yang likat setelah dicampurkan air, tepung ini juga sesuai untuk digunakan bagi memekatkan adunan termasuk kuah.

Fungsi ini dikatakan sama dengan tepung jagung dan tepung beras.

Untuk menggunakannya, anda hanya perlu larutkan tepung ini dalam air mendidih. Jangan guna air sejuk kerana ia tidak akan larut.

Walau bagaimanapun, tepung ini tidak sesuai untuk hidangan yang dimasak lama kerana ia boleh mengeras.

Oleh itu, ia lebih sesuai untuk dicampurkan dalam masakan tumis atau sup.

Beza Tepung Ubi dan Tepung Kentang

Mungkin sesetengah orang keliru akan fungsi tepung tapioca dan tepung kentang kerana kedua-duanya berasaskan kanji namun jenis ubinya berbeza.

Secara asasnya, kedua-dua tepung ini diperbuat daripada bahan yang dinyatakan iaitu ubi kayu untuk tepung tapioca dan ubi kentang untuk tepung kentang.

Cara penghasilannya pula adalah sama iaitu dengan diparut atau dikisar sehingga menjadi tepung halus.

Dari segi harga, tepung kentang dilihat lebih mahal berbanding tepung ubi kayu.

Kita juga jarang menggunakan tepung kentang dalam masakan harian mahupun kuih muih.

Dari segi tekstur pula, kedua-dua tepung ini mempunyai tekstur halus yang mirip dengan tepung jagung.

Berbeza dengan tepung kentang yang akan memberikan rasa kentang, tepung ubi kayu tidak mempunyai sebarang rasa jika dicampurkan dalam adunan atau masakan.

Berbanding tepung ubi kayu yang banyak digunakan dalam kuih muih tradisional, tepung kentang pula biasanya digunakan untuk membuat roti, biskut dan bingka.

Tepung kentang juga dikatakan mampu memberikan tekstur biskut yang rapuh dan cair di dalam mulut.

Sumber Infografik : Facebook Pesan Berpesan Sesama Kita

Kini anda sudah tahu apa itu tepung ubi kayu dan perbezaannya dengan satu lagi tepung kanji iaitu tepung kentang.

Jadi, lebih mudahlah untuk anda rancang penggunaan ramuan dalam masakan dan kuih muih!

Sumber : rasa.my, Facebook Pesan Berpesan Sesama Kita

Baca Juga : Tepung Jagung: Kelebihan dan Fungsi-Fungsinya

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut