20+ Tempat Menarik Di Penang, Sesuai Untuk Percutian Keluarga!
Pulau Pinang, atau lebih dikenali sebagai Penang adalah merupakan salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia.
Ia terletak di utara Semenanjung Malaysia dan boleh diakses dengan mudah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Berikut dikongsikan beberapa tempat menarik di Penang yang anda wajib masukkan ke dalam senarai untuk dilawati apabila merancang percutian ke sana.
Jom baca!
20+ Tempat Menarik Di Penang
Klook.com1. George Town – Tapak Warisan Dunia UNESCO
George Town adalah ibu negeri Pulau Pinang yang dikenali dengan kepelbagaian seni bina kolonialnya yang megah, seni jalanan yang menakjubkan, serta kehidupan komuniti yang kaya dengan budaya.
Bandaraya bersejarah ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pengiktirafan ini menjadikannya salah satu tarikan utama untuk pelancong dan penyelidik budaya dari seluruh dunia.
Salah satu jalan yang paling menarik di Georgetown ialah Armenian Street. Di sekitar jalan ini terdapat tempat menarik seperti Muzium Peranakan, bekas Bangunan MPH, Pencawang, Bible House dan Perpustakaan Bersatu Cina.
Ia dikenali sebagai Armenian Street kerana kemasukan pedagang Armenia yang tinggal di sepanjang jalan ini pada suatu masa dahulu. Apabila ke sini, jangan lupa cuba makanan tempatan yang ada dijual di sepanjang jalan ini.
2. Kek Lok Si Temple
Kek Lok Si Temple adalah kuil Buddha terbesar di Malaysia dan menampilkan seni bina yang menarik serta pemandangan indah dari ketinggian Bukit Air Itam.
Salah satu mercu tanda utama kuil ini adalah Pagoda Tujuh Tingkat yang dihiasi dengan ribuan patung Buddha dan patung Kuan Yin setinggi 30.2 meter.
3. Bukit Bendera
Untuk melihat pemandangan bandaraya Georgetown dan seluruh Pulau Pinang yang menakjubkan, anda boleh berkunjung ke Bukit Bendera.
Selain menikmati pemandangan panorama 360 darjah Pulau Pinang, anda juga boleh menghidu udara segar hutan hujan yang telah pun berusia 130 juta tahun!
Untuk sampai ke puncak, anda boleh menaiki Funikular Bukit Bendera. Sekiranya anda sukakan cabaran, anda boleh mendaki trek yang disediakan. Aktiviti ini sangat sesuai dijadikan aktiviti riadah bersama rakan-rakan atau keluarga.
4. Tropical Spice Garden
Tropical Spice Garden adalah destinasi menarik yang wajib dilawati bagi pencinta alam dan tumbuhan. Terletak di Teluk Bahang, taman ini menawarkan lebih daripada 500 jenis rempah, herba dan tumbuhan eksotik untuk diterokai.
Dengan latar belakang pemandangan indah ke Selat Melaka, anda boleh menikmati ketenangan alam semulajadi sambil mempelajari kepelbagaian rempah-ratus dan tumbuhan herba yang ada di Malaysia.
5. Pantai Batu Ferringhi
Batu Ferringhi adalah destinasi yang popular dengan pantai pasir putihnya. Di pantai ini, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti air seperti jet ski, parasailing dan sebagainya.
Untuk yang inginkan aktiviti santai, anda boleh berjalan-jalan menelusuri pantai, memerhati deruan ombak dan menikmati angin laut yang menyegarkan. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati keindahan matahari terbit okay!
6. Taman Burung Penang
Taman Burung Penang ini terletak di Seberang Jaya dan merupakan destinasi menarik di Pulau Pinang yang menampilkan kepelbagaian spesies burung dari serata dunia.
Taman ini menawarkan pengalaman yang berharga bagi pengunjung yang ingin mengamati pelbagai spesis burung dalam habitat semulajadi mereka.
Dengan reka bentuk landskap yang mesra pengunjung, Taman Burung Penang adalah tempat yang ideal untuk keluarga dan peminat burung untuk menikmati keindahan alam serta belajar perkara baru mengenai kepelbagaian biologi burung.
7. Fort Cornwallis
Fort Cornwallis atau Kubu Cornwallis adalah salah satu mercu tanda bersejarah Malaysia. Kubu ini telah dibina oleh penjajah British, Captain Francis Light pada tahun 1786. Pada zaman dahulu, kubu ini digunakan sebagai benteng pertahanan.
Lawatan ke kubu ini menawarkan pengunjung peluang untuk memahami sejarah awal kolonial British di Malaysia, melihat meriam dengan lebih dekat serta struktur kubu pertahanan yang masih utuh.
8. Clan Jetties
Clan Jetties atau Jeti-Jeti Penang sebenarnya adalah merupakan sebuah kampung nelayan yang sangat unik. Ia terdiri daripada jambatan-jambatan kayu yang menghubungkan rumah-rumah tradisional.
Untuk pengetahuan anda, setiap jeti mewakili klan atau keluarga yang berbeza, dan masih dihuni oleh keturunan mereka sehingga kini.
Apabila berkunjung ke sini, pengunjung dapat melihat kehidupan harian penduduk tempatan yang tinggal di kawasan ini disamping mendalami sejarah dan warisan kaum Hokkien. Menarik sangat!
9. Penang Street Art
Seni jalanan di Pulau Pinang merupakan salah satu daya tarikan yang berjaya menarik pengunjung dari serata dunia.
Terkenal dengan mural-muralnya yang kreatif, seni jalanan ini memperkaya landskap bandar GeorgeTown dengan karya-karya yang beraneka ragam, termasuk lukisan dinding yang menginspirasi, instalasi seni yang interaktif, dan patung-patung jalanan yang menghidupkan suasana.
Setiap karya mengandungi cerita dan makna yang mendalam, menggambarkan sejarah, budaya, dan identiti tempatan. Pesanan penting, jangan lupa bawa kamera!
10. Masjid Kapitan Keling
Masjid Kapitan Keling adalah salah satu masjid tertua di Malaysia dengan seni bina Islamik yang menakjubkan dan kaya dengan warisan sejarah.
Dibina pada awal abad ke-19, masjid ini menggabungkan elemen seni Islam dan Tamil. Memang unik sangat. Inilah yang menjadikannya salah satu mercu tanda seni bina di Penang.
Dengan menara tinggi dan kubah yang megah, masjid ini tidak hanya berfungsi sebagai tempat ibadah tetapi juga sebagai simbol kepelbagaian budaya dan harmoni di Pulau Pinang.
Pengunjung dapat menikmati keunikan seni binanya sambil menghayati kehidupan komuniti Islam di sekitar kawasan ini.
Klook.com11. Taman Botani Pulau Pinang
Taman Botani Pulau Pinang adalah destinasi yang ideal untuk keluarga dan individu yang ingin melarikan diri daripada kesibukan bandar. Ia terkenal dengan keindahan alam semulajadinya dan pelbagai koleksi tumbuhan.
Terletak di jantung bandar Georgetown, taman ini menawarkan pengunjung peluang untuk berjalan-jalan santai di sekitar tasik, melawat rumah kaca yang menempatkan pelbagai jenis bunga dan tanaman tropika serta tumbuhan yang jarang dijumpai.
12. Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang
Rumah Agam Peranakan adalah merupakan sebuah replika kediaman yang berfungsi sebagai muzium. Ia menampilkan gaya seni bina unik yang mencerminkan perkahwinan budaya antara masyarakat Cina dan Melayu.
Di Rumah Agam Peranakan ini, anda boleh melihat lebih 1,000 koleksi barangan antik dan artifak berharga yang menggambarkan gaya hidup keluarga Peranakan pada zaman dahulu.
Bukan itu sahaja, terdapat juga pameran pakaian tradisional, hiasan, perabot dan perkakas yang ditempah khas dan diwarisi turun-temurun oleh keluarga Baba dan Nyonya.
13. Muzium Terbalik
Muzium Terbalik adalah destinasi yang menarik di Penang di mana anda akan mengalami dunia yang benar-benar terbalik. Daripada pintu masuk hingga ke bilik-bilik pameran, segala-galanya dibina dengan terbalik!
Anda akan merasai sensasi unik berjalan di atas siling, bersama dengan meja dan perabot yang diletakkan secara terbalik. Sangat sesuai untuk bawa anak-anak meneroka setiap ruang yang ada.
14. The TOP Komtar
The Top adalah merupakan salah satu tarikan yang wajib anda cuba di Pulau Pinang. Ia terletak di tingkat paling atas bangunan pusat membeli belah, KOMTAR. Ia menawarkan pemandangan yang sangat menakjubkan terutamanya pada waktu malam.
Selain itu, antara tarikan yang utama di sini ialah Rainbow Skywalk, iaitu laluan gantung berlantaikan kaca pada ketinggian 244.6 meter dari aras laut. Inilah masanya untuk menguji keberanian anda!
15. Muzium Perang Penang
Tahukah anda, Muzium Perang Penang sebenarnya adalah bekas kubu pertahanan tentera British ketika menakluki Tanah Melayu dan dibina menggunakan tenaga banduan.
Muzium ini menampilkan koleksi yang kaya termasuk artifak, gambar dan dokumentasi yang memaparkan peristiwa-peristiwa penting semasa peperangan berlaku di Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang.
Apabila berada di muzium ini, anda akan dapat merasai suasana sejarah yang memberi gambaran zaman peperangan yang telah berlaku.
Ia merupakan destinasi yang sesuai untuk pengunjung yang ingin melihat sejarah dan warisan khususnya berkaitan dengan Perang Dunia Kedua.
16. Entopia by Penang Butterfly Farm
Entopia by Penang Butterfly Farm adalah merupakan taman rama-rama terbesar di Malaysia.
Ia menempatkan lebih kurang 15 000 rama-rama dari 60 spesies. Anda akan berpeluang melihat ribuan kupu-kupu dan serangga lain dalam persekitaran semula jadi mereka.
Terdapat juga bahagian interaktif di mana pengunjung boleh belajar tentang kitaran hidup serangga dan usaha pemuliharaan yang dilakukan.
17. Muzium WonderFood
Muzium Wonderfood Penang menawarkan pengalaman yang unik dalam meneroka sejarah dan kepelbagaian makanan tempatan Malaysia.
Di muzium ini, anda boleh melihat dan bergambar dengan replikasi makanan nasional dalam bentuk yang menarik. Sekilas pandang sebijik macam makanan sebenar!
Selain itu, di muzium ini juga terdapat peta dan juga cadangan tempat terbaik untuk menikmati hidangan lokal yang popular di Malaysia. Bolehlah buat ‘food hunting’ nanti.
18. Penang 3D Trick Art Museum
Penang 3D Trick Art Museum menawarkan pengalaman yang menyeronokkan untuk pengunjung daripada pelbagai lapisan usia.
Menariknya, pameran karya seni yang adalah dalam bentuk 3D membuatkan pengunjung kelihatan seperti masuk ke dalam lukisan itu sendiri.
Lukisan-lukisannya dicipta dengan perspektif unik yang memberikan ilusi optik, menjadikan pengalaman fotografi yang menyeronokkan dan kreatif.
Muzium ini sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan sambil mencipta kenangan yang tidak terlupakan.
19. Penang Toy Museum
Sekiranya anda ingin mengembara kembali ke zaman kanak-kanak, jangan lupa berkunjung ke muzium ini. Ia merupakan salah satu muzium mainan terbesar di dunia dan menampilkan lebih daripada 100,000 mainan dari pelbagai negara dan era.
Pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dijamin akan terpesona dengan koleksi mainan yang dipamerkan. Kemungkinan besar mainan daripada zaman kanak-kanak anda turut berada disini. Menggamit memori sungguh!
20. Escape Theme Park
Escape Theme Park adalah taman tema luar yang menawarkan pengalaman pengembaraan yang mencabar untuk semua peringkat usia.
Terdapat pelbagai aktiviti lasak seperti flying fox, hiking, pengembaraan di hutan dan sebagainya, yang boleh dilakukan disini.
Taman tema ini menggalakkan pengunjung untuk berinteraksi dengan alam semula jadi sambil menikmati cabaran fizikal yang menyeronokkan.
21. Audi Dream Farm
Audi Dream Farm adalah destinasi yang sesuai untuk keluarga yang ingin meluangkan masa bersama-sama sambil belajar tentang kehidupan haiwan dan pertanian secara interaktif. Memang wajib singgah!
Di sini, pengunjung boleh berinteraksi dengan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan sebagainya. Bukan itu sahaja, anda juga boleh memetik buah-buahan dan sayur-sayuran yang ditanam di kawasan ini.
Penutup
Dengan kepelbagaian budaya, sejarah, makanan tempatan dan keindahan alam semulajadi yang menakjubkan, Penang sememangnya menawarkan pengalaman percutian yang unik untuk semua lapisan pengunjung.
Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Penang dan masukkan tempat-tempat menarik di atas dalam senarai perjalanan anda. Selamat bercuti!
Rujukan:
- Penang Global Tourism – MyPenang