Kalau bercakap pasal menu asam pedas, selain daging tetel dan ikan pari, telur ikan mayong juga menjadi salah satu pilihan utama kita dalam memasak atau memakan hidangan ini.
Namun begitu, tahukah anda apa itu telur ikan mayong?.
Haa, kalau tidak tahu, pastikan anda terus membaca artikel ini sehingga ke penghujung. Akan kami terangkan semua tentang telur ikan ini. Kami juga ada sediakan resipi asam pedas popular untuk anda cuba.
Apa itu Telur Ikan Mayong?
Ikan mayong merupakan salah satu ikan di bawah spesis ikan duri. Ikan ini mempunyai banyak nama tempatan antaranya:
- Ikan Bedukang
- Ikan Blotan
- Ikan Duri
- Ikan Gagok
- Ikan Jahan
- Ikan Lundu
- Ikan Otek
Nama saintifik bagi ikan ini pula merupakan Arius maculatus. Ikan mayong ini boleh mencecah kepanjangan 25cm sehingga 80cm. Habitat hidup ikan ini selalunya berada berhampiran dengan terumbu karang.
Ikan mayong ini sangat sesuai digunakan dalam masakan Malaysia. Namun apa yang lebih menarik berkenaan ikan mayong ini adalah telurnya.
Telur ikan mayong ini berada dalam kantung bewarna putih dan telurnya pula bewarna oren. rasanya yang berlemak menjadikan ia antara pilihan masyarakat dalam menyajikan hidangan melayu. Berikut merupakan gambaran telur ikan ini:
Khasiat & Keistimewaan
Untuk pengetahuan anda, telur ikan mayong ini sangat bagus untuk diri kita. Hal ini demikian kerana, telur ikan mempunyai kandungan vitamin (Vitamin D, B12, dan A) dan asid lemak yang baik seperti Omega-3, DHA dan EPA.
Kandungan asid lemak yang tinggi ini akan memberi kesan positif kepada kesihatan tubuh kita. Antara kesan positif tersebut ialah:
- Menggalakkan perkembangan otak
- Meningkatkan kesihatan tulang dan gigi
- Menyokong kesihatan mata
- Mampu mengurangkan tekanan darah tinggi
- Mampu mengatasi Anemia
- Mengurangkan risiko cancer usus
Harga Terkini
Seperti harga bahan basah yang lain, harga telur ikan ini juga ada turun naiknya dan bergantung pada permintaan dan faktor-faktor lain, seperti berat, musim, saiz, jenis dan sebagainya.
Perbezaan penjual juga mungkin memberi kesan kepada harga telur ikan. Walaupun berat telur ikan adalah sama, terdapat kemungkinan besar harga telur ikan di pasar raya besar dan peruncit adalah berlainan.
Bagi memudahkan anda yang berminat untuk membeli telur ikan mayong ini, anda boleh melakukan semakan dan perbandingan harga terkini telur ikan mengikut berat yang anda inginkan di laman BigGoMY
Baca juga: Beras Wangi : Harga, Khasiat dan Cara Masak
Cara Masak Lauk Telur Ikan Mayong
Antara menu popular yang menggunakan telur ikan payong sebagai bahan utama adalah masak asam pedas. Berikut merupakan resipi yang menggunakan asam pedas telur ikan mayong yang boleh anda ikuti:
Bahan-bahan:
- 4/5 ketul telur ikan mayong
- 1 sudu teh halba
- Daun kesum
- Bendi
- Air asam jawa
- Garam
- Gula
- Minyak
Bahan kisar:
- 3 biji bawang merah
- 1 biji bawang putih
- 2 cm halia
- 1 mangkuk cili kering kisar
- belacan
- sedikit kunyit hidup
- 1 sudu besar lada hitam
Cara memasak:
- Panaskan minyak dan masukkan halba.
- Tumis halba sehingga kekuningan dan kemudian masukkan bahan kisar.
- Tumiskan bahan kisar sehinga masak dan masukkan gula (secukup rasa).
- Masukkan daun kesum dan gaul rata.
- Kemudian, masukkan telur ikan mayong dan kacau perlahan-perlahan.
- Masukkan air asam jawa mengikut kepekatan rasa masam yang anda kehendaki.
- Akhir sekali, masukkan bendi dan perasakan asam pedas anda dengan garam.
- Biarkan ia mendidih dan kemudian anda boleh hidangkan. Selamat menjamu selera!
*TIPS: Untuk menghilangkan bau hanyir telur ikan mayong ini, anda boleh rendamkan telur ikan bancuhan air asam jawa dan kapur buat seketika. Setelah itu cuci bersih telur ikan sebelum anda mula memasak.