TSPKS 2.0: Skim Tanam Semula Kelapa Sawit

tanam semula kelapa sawit
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Pengusaha sawit atau pekebun kecil persendirian yang menjalankan aktiviti penanaman semula kelapa sawit adalah dialu-alukan memohon Skim Tanam Semula Kelapa Sawit atau TSPKS 2.0.

Dengan adanya skim ini, ia akan membantu meringankan kos bagi kerja-kerja penanaman semula sawit yang diusahakan mereka.

Mengenai Skim Tanam Semula Kelapa Sawit

Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah menyediakan dan memperkenalkan dana khusus untuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula bagi kerja-kerja penanaman semula sawit untuk pengusaha sawit khususnya pekebun kecil persendirian.

Dana yang disediakan adalah terdiri daripada komponen geran (50%) dan sebahagian lagi adalah pembiayaan (50%) kepada pekebun kecil persendirian.

Penyaluran dana bagi kedua-dua komponen geran dan pembiayaan ini akan disalurkan sepenuhnya oleh pihak Agrobank.

Walau bagaimanapun, bayaran balik oleh pemohon hanya melibatkan 50% (termasuk 2% faedah) daripada jumlah keseluruhan dana yang disalurkan.

Objektif TSPKS 2.0

Antara objektif skim ini dilaksanakan adalah untuk:

  • Memberi insentif geran dan pembiayaan mudah pada kadar keuntungan yang rendah (2% setahun) untuk pekebun kecil menebang sawit tua (usia sawit melebihi 25 tahun) atau sawit yang tidak lagi produktif dan menanam semula dengan sawit yang lebih berkualiti.
  • Membantu meringankan beban kewangan pekebun kecil sawit dalam melaksanakan aktiviti penanaman semula sawit.
  • Meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) pekebun kecil.
  • Meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan negara.

Skop TSPKS 2.0

Skop pembiayaan skim ini adalah melibatkan:

  • Nilai pembiayaan adalah RM14,000/hektar untuk pekebun kecil sawit di Semenanjung manakala RM18,000/hektar pekebun kecil sawit untuk Sabah dan Sarawak dalam bentuk kombinasi geran dan pembiayaan untuk aktiviti berikut:
    – Penyediaan kawasan tanaman.
    – Pembelian anak benih sawit berkualiti.
    – Penyelenggaraan kebun sehingga umur sawit tiga tahun (36 bulan) selepas tanam.
  • Tempoh pembiayaan 12 tahun.
  • Bayaran ansuran bermula pada bulan ke-49 selepas tarikh tandatangan dokumen perjanjian bersama Agrobank.
  • Jumlah bayaran semula kepada pihak Agrobank adalah 50% daripada jumlah keseluruhan dana yang disalurkan kepada pekebun kecil.

Syarat Permohonan

Syarat permohonan skim ini adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun hingga 69 tahun pada tarikh permohonan. Bagi pemohon yang berumur 70 tahun ke atas, permohonan perlu dibuat secara akaun bersama (joint loan) bersama anak/suami/isteri.
  2. Pekebun kecil sawit persendirian dengan jumlah pemilikan tanah bertanam sawit tidak melebihi 10 hektar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
  3. Had maksimum kelulusan keluasan bagi insentif pembiayaan adalah 6.5 hektar sahaja di Seluruh Malaysia.
  4. Tanaman sawit berusia 25 tahun dan ke atas atau sawit yang sudah tidak lagi produktif.
  5. Mempunyai lesen MPOB bagi aktiviti menjual dan mengalih BTS.
  6. Menunjukkan bukti pemilikan atau penguasaan tanah yang sah mengikut undangundang dan peraturan pihak berkuasa tanah negeri masing-masing.
  7. Kawasan tanaman adalah sesuai seperti kecerunan kurang daripada 25°, bukan kawasan air bertakung dan mempunyai kemudahan akses untuk pengeluaran dan jualan hasil sawit.
  8. Pekebun kecil yang diluluskan perlu menandatangani dokumen perjanjian bersama Agrobank terlebih dahulu sebelum dana disalurkan secara berperingkat.

Syarat Pelaksanaan

Syarat pelaksnaan skim ini adalah seperti:

  1. Pemohon yang diluluskan hendaklah menyediakan kawasan tanaman yang bersesuaian, menanam anak benih sawit yang dibekalkan, melakukan pembajaan dan pengawalan rumpai/perosak mengikut Amalan Pertanian Baik (APB).
  2. Pemohon yang diluluskan perlu menyertai Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di bawah Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam pensijilan MSPO.
  3. Anak benih sawit perlu diperoleh dari tapak semaian yang dipersijilkan di bawah pensijilan MPOB Code of Good Nursery Practice for Oil Palm Nurseries (CoPN) dan status sijil yang masih aktif.
  4. Sekiranya maklumat yang dinyatakan oleh pemohon dalam mana-mana peringkat pelaksanaan skim ini didapati tidak benar, memberikan dokumen maklumat palsu atau menyalah guna pembiayaan ini bagi tujuan selain daripada program tanam semula ini, maka permohonan atau penyertaan dalam skim ini boleh ditolak atau kelulusan ditarik balik selain tindakan undang-undang boleh diambil.
  5. Tanaman secara bawahan (underplanting) tidak dibenarkan.

Cara Memohon

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada cawangan MPOB/Agrobank berhampiran.

Dokumen Yang Diperlukan

Dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan adalah seperti berikut:

  1. Borang permohonan yang diisi lengkap dan ditandatangan.
  2. Salinan kad pengenalan.
  3. Salinan lesen MPOB.
  4. Salinan dokumen pemilikan tanah; geran tanah/carian rasmi/carian persendirian bagi lot kebun yang dipohon. Bagi pekebun kecil yang tidak memiliki geran tanah, perlu surat pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri atau Jabatan yang berkaitan.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai Skim Tanam Semula Kelapa Sawit ini, sila layari laman web https://mpob.gov.my/uncategorized-ms/skim-pembiayaan-mudah-tanam-semula-pekebun-kecil-sawit-tspks?lang=ms&fbclid=IwY2xjawJkFzxleHRuA2FlbQIxMAABHjSL-eQvUgcuVoro3iWWcXmy3VpxnUHowIhEF_lxMIoHJbnFYwXvI9KNKoWU_aem_SNEfmpWTaVJAaP1j8RaEvw

Baca juga: Tahun Baru Cina 2026: Tarikh Cuti Umum & Cuti Sekolah

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut