Bermula semalam, 1 Julai 2025, penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang dan pemandu bas ekspres dan persiaran telah dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).
Langkah ini telah diambil setelah beberapa kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan awam jenis ini (bas) yang berlaku sejak kebelakangan ini dan telah menyebabkan kehilangan nyawa. Berikut kami kongsikan serba sedikit tentang penguatkuasaan ini buat maklumat bersama.
Tali Pinggang Keledar Bas
Tali Pinggang Keledar merujuk kepada tali keselamatan yang dipasang pada tempat duduk dalam kenderaan, bertujuan untuk melindungi penumpang semasa berlaku kemalangan atau perlanggaran.
Sejak tahun 2019, kerajaan Malaysia telah mewajibkan semua bas ekspres untuk memasang tali pinggang keledar di setiap tempat duduk. Namun, penguatkuasaan pemakaian oleh penumpang masih rendah kerana kurang kesedaran dan pemantauan.
Pada tahun 2025 ini, JPJ telah mewajibkan pemakaian tali pinggang ke atas semua penumpang dan pemandu bas ekspress dan persiaran. Hal ini berikutan peningkatan jumlah kemalangan yang meragut nyawa melibatkan kenderaan awam ini.
Tarikh Kuat Kuasa
Penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang dan pemandu bas ekspress dan persiaran ini telah pun bermula semalam iaitu pada 1 Julai 2025 (Selasa).
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, penguatkuasaan ini hanya terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar.
Bagi anda yang ingin menggunakan perkhidmatan bas ini, anda boleh dapatkan tiket bas anda dengan mudah di Shopee
Denda dan Penalti
Bermula 1 Julai 2025, JPJ akan menjalankan penguatkuasaan penuh di seluruh negara. Mereka yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar sama ada di tempat duduk penumpang atau pemandu boleh dikenakan denda sebanyak RM300.
Pemandu bas yang yang gagal memberikan peringatan kepada penumpang untuk memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak juga akan dikenakan saman bersama syarikat pengendali bas yang terlibat.
Namun begitu, jika pemandu sudah memberi peringatan kepada penumpang, namun penumpang masih berdegil untuk memakai tali pinggang keledar, saman hanya akan diberikan kepada penumpang.
Semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) akan dilakukan untuk mengesahkan sama ada peringatan sudah dibuat atau sebaliknya
Baca juga: Cara Beli Tiket Bas Online Ke Seluruh Negeri Di Semenanjung Malaysia