Takbir Raya ialah laungan kebesaran Allah SWT yang disunatkan untuk dibaca oleh umat Islam menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri (dan juga Hari Raya Aidiladha).
Ia merupakan cara untuk mengagungkan dan membesarkan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran kepadaNya setelah berjaya menunaikan ibadah berpuasa sebulan pada bulan Ramadan.
Rujuk lafaz & maksud takbir raya Aidilfitri yang dikongsikan oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) di bawah.
Ringkasan Takbir Raya Aidilfitri
Takbir Raya ialah laungan memuji kebesaran Allah SWT yang disunatkan bagi umat Islam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan simbol kesyukuran dan syiar Islam.
Takbir Aidilfitri bermula Maghrib malam 1 Syawal hingga sebelum solat raya (takbir mutlak sahaja).
Apa Itu Takbir Hari Raya Aidilfitri?
Takbir Hari Raya Aidilfitri ialah laungan kebesaran Allah SWT yang dilaungkan oleh umat Islam bermula pada malam sehungga pagi 1 Syawal.
Ia merupakan sebagai tanda syukur dan kegembiraan setelah berjaya menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan.
Bertakbir pada hari raya merupakan perkara yang disunatkan berdasarkan firman Allah SWT:
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur. – [Al-Baqarah (185)]
Bila Boleh Mula Bertakbir Raya?
Umat islam disyariatkan supaya melaungkan takbir bermula apabila terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadan dengan suara yang lantang bagi menggambarkan kegembiraan dan menunjukkan syiar islam.
Imam al-Khatib al-Syirbini menyebutkan di dalam karyanya:
وَهَذَا كُلُّهُ فِي التَّكْبِيرِ الَّذِي يَرْفَعُ بِهِ صَوْتَهُ وَيَجْعَلُهُ شِعَارَ الْيَوْمِ
Maksudnya: Ini semuanya berkaitan hukum pada takbir yang dilaungkan dengan suara yang lantang dan dijadikannya sebagai syiar pada hari itu (hari raya).
Begitu juga umat islam disunatkan untuk melakukannya tanpa mengira waktu dan tempat bermula terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadan sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan solat Aidilfitri.
Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:
وقال الجمهور: يكبر في المنازل والمساجد والأسوق والطرق أي عند الغدو إلى الصلاة جهراً، إلى أن تبدأ الصلاة
Maksudnya: Menurut pandangan jumhur ulama: Melaungkan takbir ketika di rumah, masjid, pasar dan jalan. Iaitu pada hari sebelum solat (solat sunat hari raya) secara lantang sehinggalah hendak memulakan solat (solat sunat hari raya).
Oleh itu, jelas bahawa sunat melaungkan takbir raya dengan suara yang lantang untuk menunjukkan kegembiraan dan syiar islam serta ianya disyariatkan pada hari raya dan juga hari tasyriq sahaja.
Selain Takbir Raya, kita juga digalakkan untuk bertahlil, takbir, tahmid dan taqdis. Ini berdasarkan hadis daripada riwayat Anas:
“Hiasilah kedua hari raya kamu dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis.” (Riwayat Abu Nuaim)
Selain itu, terdapat hadis lain riwayat Anas seperti yang bermaksud:
“Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.” (Riwayat al-Tabarani)
Untuk nas-nas lain berkaitan galakan bertakbir, boleh rujuk halaman Mufti Wilayah Persekutuan.

Tempoh Masa Bertakbir
Takbir Raya juga dikategorikan sebagai Takbir Mursal (juga dikenali sebagai Takbir Mutlak) kerana pelaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat.
Takbir ini boleh dimulakan pada malam Hari Raya Aidilfitri iaitu selepas terbenamnya matahari (masuk waktu Maghbir) 1 Syawal sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya Aidilfitiri.
Kita digalakkan bertakbir sepanjang malam antara dua waktu ini.
Tempoh Takbir Raya Aidilitri ini adalah berbeza daripada tempoh Takbir Raya bagi Hari Raya Aidiladha.
Namun begitu, tujuan keduanya adalah sama yakni untuk mengagungkan Allah SWT pada hari-hari kebesaran dan perayaan bagi orang Islam.
Lafaz Takbir Hari Raya Aidilfitri
Lafaz takbir raya aidilfitri yang biasa dibacakan adalah seperti berikut:
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ
اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Maksudnya:
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan untuk Allah segala pujian.”
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا
وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ, صَدَقَ وَعْدَهُ, وَنَصَرَ عَبْدَهُ
وَأَعَزَّ جُنْدَهُ
وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ
اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Maksudnya: “Allah Maha Besar dengan sebenar-benar Kebesaran-Nya, dan pujian bagi Allah sebanyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti Agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janjinya, membantu hambanya dan memuliakan tenteranya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian”

Takbir Raya Aidilfitri (Rumi)
Allahu Akbar, Allahu Akbar ,Allahu Akbar,
La illaha il Allah , Allahu Akbar,
Allahu Akbar walilahil Hamd,
Allahu Akbaru Kabeera wal-Hamdulilahi katheera wa Subhan allahi bukratan wa aseila,
La illaha il Allah ,wa laa na’budu illa iyyah, mukhlessena lahud-deena ,walaw karehal-Kafiiruun,
La illaha il Allahu wahdah, sadaqa wa’dah ,wa nasara abda,
Wa a’azza jundahu wa hazamal-ahzaaba wahdah,
La illaha il Allahu wallahu Akbar, Allahu Akbar walillahil Hamd
Video Takbir Syawal
Takbir Raya Radio Televisyen Malaysia – Dibawah pimpinan Ustaz Mohd Firdaus Muhamad
Semoga lafaz takbir dan maksudnya ini dapat membantu kita menghayati lebih mendalam maksud disebalik takbir ini dan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Amalan di Malam Raya & Kelebihannya
1. Menghidupkan malam raya dengan qiamulail.
Hal ini berdasarkan hadis riwayat Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْعِيدِ مُحْتَسِبًا لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَومَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “Siapa yang mendirikan malam raya dengan penuh penghisaban, nescaya tiada mati hatinya pada hari matinya segala hati.” – Riwayat Ibn Majah
2. Bertakbir pada malam raya dan pagi hari raya sehingga solat raya.
Hal ini berdasarkan hadis riwayat Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
زَيَّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيرِ
Maksudnya: “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.” – Riwayat al-Tabarani
3. Bertahlil, bertakbir, bertahmid, dan bertaqdis.
Ini berdasarkan hadis daripada Anas, sabda Rasulullah SAW:
زَيِّنُوا الْعِيْدَيْنِ بِالتَّهْلِيْلِ وَالتَّكْبِيْرِ وَالتَّحْمِيْدِ وَالتَّقْدِيْسِ
Maksudnya: “Hiasilah kedua hari raya kamu dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis” – Riwayat Abu Nuaim
Perbezaan Takbir Raya Aidilfitri & Aidil Adha
Walaupun lafaz takbir bagi kedua-dua hari raya adalah sama, terdapat perbezaan ketara dari segi hukum waktu, tempoh pelaksanaan, dan kategori takbir mengikut syariat Islam.
Berikut adalah perbezaan utama antara Takbir Raya Aidilfitri dan Aidiladha:
| Aspek | Takbir Raya Aidilfitri | Takbir Raya Aidiladha |
|---|---|---|
| Waktu mula takbir | Maghrib malam 1 Syawal. | Subuh 9 Zulhijjah (Hari Arafah) atau sekurang-kurangnya dari Maghrib malam 10 Zulhijjah. |
| Waktu tamat takbir | Sebelum solat sunat Aidilfitri bermula. | Selepas Asar 13 Zulhijjah (akhir Hari Tasyrik). |
| Tempoh takbir | Pendek, sekitar kurang 24 jam (malam raya hingga pagi raya). | Panjang, sekitar 5 hari (9–13 Zulhijjah). |
| Jenis takbir | Takbir mutlak/mursal sahaja (tidak terikat dengan solat). | Takbir muqayyad (selepas solat fardhu). |
| Penekanan syiar | Lebih ditekankan pada malam dan pagi raya sebagai penutup Ramadan. | Lebih luas penekanannya kerana berkait haji, korban dan hari Tasyrik. |
| Kaitannya dengan ibadah | Menutup ibadah puasa Ramadan dan zakat fitrah. | Berkait rapat dengan ibadah haji, wukuf Arafah dan ibadah korban. |
Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Takbir Raya
Untuk membaca lebih banyak persoalan dan jawapan mengenai Takbir Raya, sila rujuk:
- AL-KAFI #1805: BOLEHKAH TAKBIR RAYA SELAIN DARIPADA HARI RAYA DAN BENARKAH MAYAT MENANGIS APABILA MENDENGAR TAKBIR RAYA SELAIN DARIPADA HARI RAYA
- Jabatan Mufti Selangor (Jenis-jenis Takbir)
- KELEBIHAN MENGHIDUPKAN MALAM RAYA – MUFTI W
Hukum bertakbir raya ialah sunat muakkad (sangat dituntut).
– Mula: Selepas Maghrib malam 1 Syawal (sebaik matahari terbenam hari terakhir Ramadan).
– Tamat: Sebelum imam mengangkat takbiratul ihram solat sunat Aidilfitri.
Boleh bertakbir di mana-mana: di rumah, masjid, surau, tempat terbuka, atau dalam perjalanan ke tempat solat raya; yang penting dilafazkan dengan adab dan tidak mengganggu orang lain.
Wanita juga disunatkan bertakbir, tetapi digalakkan merendahkan suara, terutama di tempat terbuka. Di rumah bersama keluarga, boleh dibaca dengan suara yang lebih jelas mengikut kesesuaian.
– Aidilfitri: Takbir bermula malam 1 Syawal dan berakhir sebelum solat sunat Aidilfitri; hanya takbir mutlak (tidak khusus selepas solat fardhu).
– Aidiladha: Takbir bermula Subuh 9 Zulhijjah (Hari Arafah) hingga Asar 13 Zulhijjah, merangkumi takbir mutlak dan takbir muqayyad selepas solat fardhu.
Menghidupkan syiar Islam, menyatukan umat melalui zikir yang sama, menambah pahala dengan mengagungkan Allah, serta menjadi tanda syukur atas nikmat ibadah yang telah disempurnakan.
Tidak wajib, tetapi sunat. Anda boleh bertakbir walaupun dalam keadaan berhadas kecil. Walau bagaimanapun, berada dalam keadaan suci (berwuduk) adalah lebih beradab dan afdal ketika berzikir memuji Allah.
Boleh.




