Surah As Sajadah: Ringkasan Surah & Kelebihan Membacanya
Surah As-Sajadah adalah merupakan surah ke-32 dalam Al-Quran yang terdiri daripada 30 ayat. Ia tergolong di antara surah Makkiyah, iaitu surah yang diturunkan di Makkah.
Surah ini dinamakan As Sajadah kerana terdapat perkataan “Sajdah” yang disebutkan di dalam surah ini, iaitu pada ayat yang ke-15.
Berikut dikongsikan lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Surah Al Falaq ~ Bacaan, Rumi & Terjemahan (Beserta Audio)
Maksud As Sajadah
As-Sajdah” secara harfiah bermaksud “sujud ” atau “penyerahan diri”.
Sujud merupakan salah satu perbuatan atau pergerakan dalam solat yang menunjukkan pengabdian kepada Allah.
Di mana seorang muslim meletakkan dahinya ke tanah / lantai sebagai tanda kerendahan hati dan pengakuan akan kebesaran Allah.
Bacaan Surah As Sajadah
Ringkasan
Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:
1. Tauhid (keimanan)
- Ayat 3: Menyatakan bahwa Nabi Muhammad SAW itu benar-benar seorang rasul dan menjelaskan bahawa kepada musyrikin Mekah belum pernah diutus seorang rasul pun sebelumnya.
- Ayat 5-7: Menegaskan bahawa Allah Maha Esa, bahawa Dia-lah yang menguasai alam semesta dan Dialah yang mengaturnya dengan aturan yang paling sempurna.
- Ayat 27-29: Menyatakan bahawa hari kebangkitan benar-benar akan terjadi.
2. Hukum (anjuran solat malam)
- Ayat 16: Anjuran melakukan solat malam (Solat Tahajud dan Solat Witr).
3. Lain-lain:
- Ayat 7-9: Keterangan mengenai kejadian manusia di dalam rahim dan fasa-fasa yang dilaluinya sampai ia menjadi manusia.
- Ayat 15-17: Penjelasan bagaimana keadaan orang-orang mukmin di dunia dan nikmat serta pahala-pahala yang disediakan Allah bagi mereka di akhirat.
- Ayat 12-14: Kehinaan yang menimpa orang-orang kafir di akhirat dan mereka pada waktu itu meminta supaya dikembalikan saja ke dunia untuk bertaubat dan berbuat kebaikan, tetapi keinginan ini ditolak.
- Ayat 10: Keingkaran kaum musyrikin terhadap hari berbangkit dan mereka menganggap bahawa hal itu adalah mustahil.
Kelebihan Surah As Sajadah
Daripada Jabir ibn ‘Abdillah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak akan tidur sehingga baginda membaca Surah Sajadah dan Surah al-Mulk.
(Sunan Tirmidhi, Hadis: 2892, Mustadrak Hakim, jilid 2 ms 412)
Maka jelaslah surah As Sajadah ini mempunyai kedudukan yang besar di sisi Rasulullah SAW sehingga bagina tidak pernah meninggalkan untuk membacanya setiap kali sebelum tidur.
Pelaksanaan Sujud Sajadah & Hukum
Sujud sajadah atau juga dikenali sebagai sujud tilawah dilakukan apabila seseorang itu membaca ayat Sajadah dalam Al-Quran.
Pelaksanannya adalah bertujuan sebagai simbolik rasa penghambaan kita terhadap Allah SWT atas kebesaran Nya.
Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abdullah Bin Umar RA bahawa beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَ سَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَ نَسْجُد
Maksudnya: “Pada satu ketika, Rasulullah SAW membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajdah, maka Baginda SAW pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.”
(Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)
Dalam hadis yang lain pula, diriwayatkan daripada Zaid Ibn Thabit RA, bahawa beliau berkata:
قَرَأْتُ عَلَى النَبِيّ وَ النَجْم فَلَم يَسْجُد فِيهَا. وَ فِي رِوَايَةٍ : فَلَمْ يَسْجُدْ منَّا أَحَدٌ
Maksudnya: “Aku (Zaid Ibn Thabit RA) membacakan kepada Rasulullah SAW Surah al-Najm (yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya), dan Baginda SAW tidak sujud padanya. Dalam riwayat yang lain pula: Maka kami pun ikut tidak sujud juga.”
(Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:554)
Hukum sujud sadajah adalah sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan).
Justeru itu, adalah sangat digalakkan untuk kita melakukannya jika tiada halangan.
Sungguhpun begitu, ketika dalam solat berjemaah misalnya, sebagai makmum kita mestilah mengikut segala pergerakan imam.
Sekiranya imam melakukan sujud sajadah dalam solatnya, maka makmum wajib untuk sujud juga. Begitu juga jika imam tidak melakukannya, maka makmum tidak perlu untuk sujud.
Dari Umar RA: Pada suatu hari Jumaat, baginda (Rasulullah) membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, baginda lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada hari Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah baginda berkata:
“Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi barangsiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan barangsiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Senarai ayat dalam Al-Quran mengandungi tanda sajadah
Tanda simbol kubah masjid dalam mana-mana ayat Al-Quran menandakan kita disunatkan untuk sujud sajadah.
Dalam Al-Quran dikatakan terdapat 15 ayat yang mempunyai tanda yang disebutkan itu, iaitu:
- Surah Al-A’raaf, ayat 206
- Surah Ar-Ra’d, ayat 15
- Surah An-Nahl, ayat 50
- Surah Al-Isra’, ayat 109
- Surah Maryam, ayat 58
- Surah Al-Hajj, ayat 18
- Surah Al-Hajj, ayat 77
- Surah Al-Furqan, ayat 60
- Surah An-Naml, ayat 26
- Surah As-Sajdah, ayat 15
- Surah Saad, ayat 24
- Surah Fussilat, ayat 38
- Surah An-Najm, ayat 62
- Surah Al-Insyiqaq, ayat 21
- Surah Al-‘Alaq, ayat 19
Diharapkan semoga artikel ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam beribadah setiap hari.
Sumber:
- Al-Quran dan Terjemahan
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-215: Membaca Surah Al Sajadah dan Al Insan Pada Pagi Jumaat. Mufti Wilayah Persekutuan
- Asbabun Nuzul Surah As-Sajdah. Jalaluddin As-Suyuthi