Subsidi Petrol RON95 Mulai 2025 – Harga & Tarikh Pelaksanaan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 hari ini, Kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan.

Berikut dikongsikan ringkasan dan perincian bagi penyasaran tersebut.

Penyasaran Subsidi RON 95 Mulai 2025

  • Kerajaan cadang laksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan 2025, penjimatan akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat
  • Subsidi petrol RON 95 bakal dipotong sebanyak RM 8 bilion untuk golongan T15.
  • Harga RM 2.05/liter akan kekal buat 85% rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan yang dicapai itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat seperti dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan.

“Bagi mengelak kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk rakyat terbabit.

“Maknanya kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion bagi keperluan 85 peratus rakyat,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2025 di Parlimen di sini, hari ini.

Kerajaan Terus Mempertahan Kepentingan Rakyat

Untuk rekod, harga RON95 ketika ini adalah RM2.05 berbanding Thailand (RM5.85), Indonesia (3.38), Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66).

Harga yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun lalu mencecah RM20 bilion.

Mengulas lanjut, beliau berkata, subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan yang membawa penjimatan RM4 bilion memberi manfaat kepada rakyat menerusi bantuan tunai Budi Madani berjumlah RM200 sebulan selain sektor logistik terpilih, nelayan dan pengangkutan awal kekal menikmati diesel bersubsidi.

“Penyasaran subsidi diesel terbukti berjaya mengekang ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan oleh sektor perniagaan tidak layak.

“Sejak dilaksanakan, jualan diesel bersubsidi menurun 30 peratus dengan penjimatan lebih RM600 juta sebulan meskipun subsidi masih disediakan untuk pengangkutan awam, nelayan dan sektor logistik,” katanya.

Justeru, katanya, rakyat tidak harus musykil dengan pendekatan kerajaan yang akan mempertahankan kepentingan rakyat terbanyak.

Tambahnya, setiap penyasaran subsidi adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit dan warga asing.

Baca juga : Intipati Belanjawan 2025

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut