Sistem saraf manusia mengawal semua pergerakan harian tubuh termasuk bernafas, berjalan dan melakukan pelbagai aktiviti harian.
Ayuh kita kenali sistem saraf fungsi serta kepentingannya pada tubuh badan.
Jenis Sistem Saraf Manusia dan Fungsinya (Sistem Saraf Manusia Tahun 6)
1. Sistem Saraf Pusat
Sistem saraf pusat terdiri daripada otak dan saraf tunjang.
Ia berfungsi sebagai pusat untuk menerima maklumat dari organ deria dan mengkoordinasi gerak balas.
Otak mengkoordinasi tindakan terkawal dan tindakan luar kawalan.
Contoh tindakan terkawal adalah menari, menulis dan makan.
Sementara itu, contoh tindakan luar kawalan adalah degupan jantung, pernafasan dan pencernaan.
Saraf tunjang yang bersambung dengan otak mempunyai tiga fungsi iaitu :
- Membawa maklumat dari seluruh tubuh ke otak.
- Membawa maklumat dari otak ke seluruh tubuh.
- Mengawal sebahagian daripada tindakan refleks.
Tindakan refleks merupakan tindakan tanpa disedari yang berlaku dengan pantas. Contohnya adalah :
- Bersin apabila hidung dimasuki habuk
- Mata tertutup apabila terdedah kepada cahaya terang
- Batuk apabila saluran tekak dimasuki bendasing
2. Sistem Saraf Periferi
Terdiri daripada rangkaian saraf dan dikawal oleh sistem saraf pusat.
Sistem saraf periferi pula mempunyai dua fungsi utama iaitu :
- Menghantar isyarat dari bahagian tubuh ke sistem saraf pusat.
- Menghantar isyarat sistem saraf pusat ke bahagian tubuh.
Kegagalan Fungsi Sistem Saraf Periferi
Kerosakan pada sistem saraf periferi boleh menyebabkan perjalan isyarat dari otak dan saraf tunjang ke bahagian tubuh terganggu.
Ia seterusnya boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti berikut :
Bell’s Palsy
Bell’s palsy adalah keadaan yang berlaku apabila saraf periferi di bahagian otot muka rosak.
Kawalan otot muka mengalami gangguan. Akibatnya, separuh daripada bahagian muka menjadi herot. Pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk menutup mata dan senyum.
Masalah Keseimbangan Tubuh
Saraf yang rosak pada bahagian kaki boleh menyebabkan tubuh hilang keseimbangan ketika berdiri atau berjalan.
Cara Menjaga Sistem Saraf
Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengekalkan kesihatan sistem saraf adalah :
- Makan makanan yang seimbang
- Elakkan minuman beralkohol
- Dapatkan tidur mencukupi
- Pakai alat pelindung tubuh seperti topi keledar dan tali pinggang keledar bagi mengelakkan kecederaan otak dan anggota tubuh lain.
- Lakukan aktiviti harian dengan postur betul.
Nota Sistem Saraf Manusia Tingkatan 3
Ayuh kita fahami sistem saraf secara lebih spesifik.
Seperti yang kita tahu, sistem saraf manusia terdiri daripada tiga komponen utama iaitu :
- Otak
- Saraf tunjang (dilindungi oleh tulang belakang atau vertebrata)
- Saraf periferi
Pada masa yang sama, terdapat juga bahagian-bahagian lain dalam sistem saraf dengan fungsi tersendiri iaitu :
- Afektor (reseptor) yang menukar rangsangan kepada impuls
- Efektor (otot) yang menukar impuls kepada gerakbalas
- Neuron iaitu bahagian atas sistem saraf yang menjadi laluan impuls atau isyarat elektrik
Fungsi dan Kepentingan Sistem Saraf
Antara kepentingan sistem saraf adalah untuk :
- Menghantar maklumat ke otak semasa seseorang melakukan aktiviti.
- Menerima rangsangan dari luar dan dalam badan.
- Mengkoordinasi gerakbalas terhadap rangsangan dari seluruh tubuh seperti sentuhan, haba, bunyi, kadar pernafasan dan denyutan jantung.
- Mengelakkan dari kecederaan
- Untuk kemandirian dan kelangsungan hidup manusia
Bagaimana Sistem Saraf Berfungsi?
Seperti yang dinyatakan, sistem saraf mengawal dua jenis tindakan iaitu :
- Tindakan terkawal (contoh : membaca, berjalan, menari)
- Tindakan luar kawalan (contoh : peristalsis, bernafas, denyutan jantung)
Pada masa yang sama, tindakan refleks juga tergolong dalam tindakan luar kawalan. Tindakan refleks adalah tindakan yang automatik dan cepat.
Contoh tindakan refleks adalah mengalihkan kaki apabila terpijak sesuatu yang tajam.
Aliran Impuls Dalam Tubuh
Untuk fahami bagaimana sistem saraf berfungsi, kita perlulah faham konsep aliran impuls dari rangsangan kepada gerakbalas.
- Impuls adalah isyarat berbentuk elektrik yang mengalir melalui saraf.
- Ia bermula apabila rangsangan dikesan melalui afektor.
- Afektor akan menukar rangsangan kepada impuls.
- Impuls yang dihasilkan dihantar ke sistem saraf pusat melalui satu neuron yang dipanggil neuron aferen.
- Di sistem saraf pusat, impuls akan ditafsirkan.
- Impuls dari sistem saraf akan keluar melalui neuron eferen kepada efektor.
- Efektor adalah otot, di mana ia akan mengecut untuk menghasilkan gerakbalas.
Secara ringkasnya, pengaliran impuls adalah seperti berikut :
Rangsangan -> afektor -> neuron aferen -> sistem saraf pusat -> neuron eferen -> eferen -> gerak balas.
Kini anda sudah faham fungsi serta kepentingan sistem saraf tubuh kita. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan sistem saraf demi mengekalkan kualiti hidup yang baik.
Semoga perkongsian nota sistem saraf ini dapat membantu adik-adik membuat ulangkaji dengan lebih mudah.
Sumber : Youtube iTTV Education, Youtube Cikgu Zoul, anyflip.com
Baca Juga : Maksud STEM: Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik