PUNCA SAKIT TAPAK KAKI, KAEDAH DAN RAWATAN UNTUK MENGATASINYA
Kaki merupakan salah satu anggota badan yang sangat penting untuk aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari dan melompat.
Disebabkan kita menggunakannya setiap hari, ada kalanya sakit tapak kaki boleh terjadi.
Sebenarnya terdapat beberapa masalah tapak kaki sakit yang boleh berlaku. Maklumlah, kaki kita yang terdiri daripada 36 tulang ini merupakan salah satu bahagian tubuh yang paling kompleks.
Ingin tahu masalah sakit tapak kaki apakah yang anda alami? Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Punca Sakit Tapak Kaki
1. Plantar Fasciitis
Plantar fasciitis boleh mengakibatkan rasa sakit di bahagian bawah tumit atau pada bahagian tengah tapak kaki.
Rasa sakit ini juga mungkin berbeza mengikut individu dan boleh menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa.
Rasa sakitnya juga berbeza daripada ringan hingga sakit menyucuk.
Ia berlaku disebabkan oleh keradangan pada bahagian ligamen halus yang menghubungkan tumit dengan jari-jari kaki di tapak kaki.
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan ketegangan plantar fascia antaranya kerap berdiri, berat badan berlebihan atau masalah kaki yang lain.
Bagi mengatasi masalah ini di rumah, anda boleh menggunakan tuam ais, mengambil ubat tahan sakit atau buat regangan setiap hari.
Doktor juga mungkin boleh mencadangkan beberapa kaedah perubatan seperti suntikan kortikosteroid, terapi fizikal, ortotik atau pembedahan bagi meredakan kesakitan.
2. Kematu (Corn)
Penggunaan kasut yang tak bersesuaian, hammer toe atau bunion boleh menjadi penyebab kematu.
Jika dibiarkan ia boleh menjadi semakin teruk. Ia boleh muncul di jari kaki atau tapak kaki.
Penggunaan plaster kematu boleh mengurangkan tekanan dan membantu untuk cepat sembuh.
Sekiranya perlu, doktor mungkin akan mengesyorkan pembedahan untuk membuangnya.
3. Sakit Tumit
Sakit tumit boleh terjadi akibat lebihan tulang yang tumbuh secara tidak normal di bahagian bawah tumit.
Lebihan tulang tersebut akan menyebabkan tapak kaki terasa sakit ketika berjalan atau berdiri.
Antara punca sakit tumit kaki adalah penggunaan kasut tumit tinggi, banyak berjalan dan sindrom terowong tarsal.
Untuk mengatasi masalah sakit tumit, anda boleh gunakan kasut yang lebih selesa, turunkan berat badan dan lakukan regangan di rumah.
4. Lepuh
Lepuh iaitu gelembung dipenuhi cecair yang muncul di kaki juga boleh menjadi punca sakit tapak kaki.
Ia merupakan masalah umum terutamanya bagi pejalan kaki atau pelari yang sering memakai kasut tidak sesuai atau mempunyai kaki yang berpeluh.
Pada kebanyakan masa, lepuh boleh dirawat dari rumah dengan mengeringkannya, sapukan krim antibiotik pada kawasan bermasalah dan menutupnya dengan pembalut.
5. Kaki Atlet (Kaki Makan Air)
Kaki atlet atau nama asalnya Tinea Pedis adalah satu jangkitan kulat berjangkit yang mempengaruhi kulit pada bahagian kaki.
Antara punca utama berlakunya athlete’s foot ini adalah keadaan kaki yang panas dan sentiasa tertutup dan berada dalam persekitaran lembap. Ini merupakan keadaan yang cukup optimum untuk perkembangan kulat.
Tidak hanya terhad pada kawasan kaki, malah ia boleh merebak ke kuku kaki dan tangan. Ia juga boleh berjangkit melalui sentuhan dengan kulit atau memakai pakain tercemar.
Untuk mengatasi masalah ini, pesakit perlu sentiasa menjaga kebersihan kaki dan memastikannya kekal bersih dan kering.
Selain itu, pesakit juga boleh gunakan ubat sapuan anti kulat dalam bentuk losen atau semburan.
6. Stone Bruise
Sone bruise atau metatarsalgia ini merupakan sakit tapak kaki yang boleh muncul akibat senaman berimpak tinggi atau pemakaian kasut yang tak sesuai.
Antara simptom yang boleh dialami pesakit adalah rasa kebas kaki dan sakit yang menyucuk seakan sedang memijak batu.
Antara kaedah rawatan yang boleh dilakukan adalah banyakkan berehat, gunakan tuam ais dan gunakan kasut yang sesuai.
Sekiranya keadaan masih berlarutan, anda perlu dapatkan rawatan daripada doktor kerana ia boleh jadi semakin teruk dari semasa ke semasa.
7. Ketuat Plantar
Ketuat plantar (verruca) pula sering mula muncul di tapak kaki dan boleh tertumpu di kawasan yang menampung berat badan seperti tumit.
Ia boleh menjadi punca sakit tapak kaki kerana tekanan daripada aktiviti berjalan dan berdiri.
Ketuat yang muncul akibat virus HPV ini cenderung untuk tumbuh dalam persekitaran yang hangat dan lembap.
Untuk mengelakkan risiko daripada dijangkiti, anda disyorkan untuk gunakan kasut yang lebih terbuka seperti sandal terutamanya apabila anda pergi ke tempat yang basah seperti bilik persalinan dan kolam renang.
Senaman Untuk Mengatasinya
Memetik portal My Health, individu dengan masalah sakit tapak kaki boleh praktikkan beberapa senaman seperti berikut.
Senaman yang dicadangkan ini dapat membantu meringankan kesakitan dan mencegah kecederaan pada masa akan datang.
Regangan Otot Betis
- Mulakan dengan posisi duduk dengan melunjurkan kaki.
- Seterusnya ambil, theraband, tuala atau tali pinggang dan lilit di bawah tapak kaki.
- Dengan perlahan, tarik jari kaki dan tapak kaki ke arah anda sehingga anda berasa regangan di belakang betis serta tapak kaki.
- Tahan regangan selama dalam masa tidak kurang daripada 30 saat.
- Seterusnya, ulangi langkah ini sebanyak 5 hingga 10 kali dengan regangan yang sederhana dan tanpa rasa sakit.
Regangan Tapak Kaki
- Duduk di atas kerusi dan silangki kaki atas lutut anda yang lain.
- Seterusnya, bengkokkan pangkal jari dan tarik ia ke arah badan sehingga anda rasa regangan yang selesa.
- Tahan posisi ini tidak kurang daripada 30 saat.
- Kemudian, ulangi langkah ini sebanyak 5 hingga 10 kali dengan regangan yang sederhana dan tanpa rasa sakit.
Senaman Menguatkan Otot Betis
- Duduk sambil lunjurkan kaki secara lurus
- Gunakan theraband dan lilit di hujung tapak kai.
- Dengan perlahan-lahan, gerakkan kaki serta tapak kaki ke bawah dengan rintangan pada theraband dan ketatkan otot betis anda.
- Tahan selama 10 saat.
- Ulangi latihan ini sebanyak 10 hingga 20 kali asalkan senaman ini tidak mengakibatkan kesakitan.
Nota : Otot anda mungkin akan berasa sakit dalam tempoh 2 minggu. Namun, ia akan pulih dalam tempoh lebih kurang 4 hingga 6 minggu.
Beberapa senaman ini boleh membantu untuk mengurangkan risiko untuk mendapat radang plantar fascia ini. Jadi, jangan lupa cuba sebelum tidur.
Pada kebanyakan masa, sakit tapak kaki ini boleh diatasi dengan rawatan dari rumah.
Namun, jika ia masih berlarutan dan sakit tidak berkurang, segeralah berjumpa doktor untuk dapatkan nasihat serta rawatan lanjut.
Sumber : Hello Doktor