Punca Pencemaran Air: Contoh Karangan & Isi Penting
Bagi murid yang memilih untuk menjawab soalan penulisan mengenai punca pencemaran air, berikut adalah isi penting dan contoh karangan.
Murid boleh menjadikan isi penting dan contoh karangan ini sebagai rujukan.
Isi Penting
1) Pembuangan Sampah Sarap ke dalam Sungai
- Kesan yang sangat buruk kepada sungai apabila semua sisa buangan domestik dan sampah sarap dibuang ke dalamnya.
- Menyebabkan sungai akan dipenuhi bahan-bahan terbuang dan plastik sampah yang terapung pada permukaan air sungai.
- Warna air sungai akan betukar kepada kehijau-hijauan dan kehitam-hitaman daripada warna asalnya iaitu jernih.
- Contohnya, sisa-sisa sampah yang terampai di permukaan sungai mengakibatkan air sungai tersebut bertukar warna.
2. Pembuangan Sisa-Sisa daripada Kilang
- Perbuatan pihak-pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan periuk nasi sendiri.
- Sisa-sisa daripada kilang yang dibina berhampiran sungai akan dialirkan terus ke dalam sungai untuk melupuskan sisa buangan dengan cara yang lebih mudah.
- Bahan-bahan kimia dan sisa-sisa toksik akan mencemarkan sungai.
- Merendahkan kualiti air dan hidupan-hidupan akuatik sudah tidak sesuai untuk mendiami sungai tersebut.
3. Kegiatan Pembalakan
- Penebangan pokok-pokok mengakibatkan kelonggaran ikatan zarah tanah disebabkan matinya akar yang mengikat struktur tanah tersebut.
- Hakisan tanah akan berlaku dengan lebih mudah dan menyebabkan tanah tersebut akan mencemari sungai tersebut.
- Pembuangan kayu-kayu dan ranting-ranting pokok juga akan menyebabkan aliran sungai-sungai tersekat.
- Natijah yang paling ketara adalah berlakunya bencana alam seperti banjir kilat dan wabak penyakit seperti denggi, chikugunya dan lain-lain lagi akan berlaku.
4. Aktiviti Pertanian yang Menggunakan Bahan Kimia
- Pengilangan hasil-hasil pertanian banyak menghasilkan bahan kimia cecair yang disalurkan ke dalam sungai-sungai.
- Hampas-hampas organik yang menjadi bahan buangan pemprosesan dibuang ke dalam sungai.
- Contohnya penggunaan baja, pestisid dan insektisid.
- Menghalang penembusan cahaya ke bawah permukaan air dan mengakibatkan kematian tumbuh-tumbuhan dan haiwan-harwan akuatik.
Contoh Karangan Punca Pencemaran Air
i) PENDAHULUAN
Alam semesta dan sekitar yang terbentang luas dan terpampang luas ini merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Namun, oleh kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia, manusia semakin lupa dan leka akan tanggungjawab mereka untuk menjaga alam sekitar. Antara yang terjejas teruk akibat perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab ini adalah sungai. Oleh yang demikian, punca-punca yang menyebabkan terjadinya pencemaran ini perlulah dikenal pasti dan ditangani bagi mengelakkan sungai dan air kita semakin tercemar.
ii) ISI 1: PEMBUANGAN SAMPAH SARAP KE DALAM SUNGAI
Pembuangan sampah sarap ke dalam sungai adalah antara punca pencemaran sungai. la akan mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada sungai apabila semua sisa buangan domestik dan sampah sarap dibuang ke dalamnya. Ini akan menyebabkan sungai akan dipenuhi bahan-bahan terbuang dan plastik sampah yang terapung pada permukaan air sungai. Selain itu, warna air sungai akan betukar kepada kehijau-hijauan dan kehitam-hitaman daripada warna asalnya iaitu jernih. Sebagai contoh yang dapat dilihat, sisa-sisa sampah yang terampai di permukaan sungai mengakibatkan air sungai tersebut bertukar warna. Natijahnya, sumber air manusia akan tercemar dan hidupan akuatik akan musnah serta menyebabkan bau yang busuk yang kurang menyenangkan.
iii) ISI 2: PEMBUANGAN SISA-SISA DARIPADA KILANG
Tambahan pula, pencemaran sungai juga boleh berlaku akibat daripada pembuangan sisa-sisa daripada kilang. Lazimnya, ini berlaku kerana perbuatan pihak-pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan periuk nasi sendiri tanpa memikirkan kesan kepada sungai-sungai di Malaysia. Kebiasaannya, sisa-sisa daripada kilang yang dibina berhampiran sungai akan dialirkan terus ke dalam sungai untuk melupuskan sisa buangan dengan cara yang lebih mudah. Ini dilakukan bagi menjimatkan kos pelupusan sisa tersebut. Sikap pengusaha kilang yang terbabit dapat diibaratkan seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.” Kesannya, bahan-bahan kimia dan sisa-sisa toksik akan mencemarkan sungai dan sekaligus akan merendahkan kualiti air dan hidupan-hidupan akuatik sudah tidak sesuai untuk mendiami sungai tersebut.
iv) ISI 3: KEGIATAN PEMBALAKAN
Di samping itu, kegiatan pembalakan juga antara punca pencemaran sungai. Kegiatan penebangan pokok-pokok akan mengakibatkan pencemaran sungai akibat daripada kelonggaran ikatan zarah tanah disebabkan matinya akar yang mengikat struktur tanah tersebut. Hakisan tanah akan berlaku dengan lebih mudah dan menyebabkan tanah tersebut akan mencemari sungai tersebut. Selain itu, pembuangan kayu-kayu dan ranting-ranting pokok juga akan menyebabkan aliran sungai-sungai tersekat. Natijah yang paling ketara adalah berlakunya bencana alam seperti banjir kilat dan wabak penyakit seperti denggi, chikugunya dan lain-lain lagi akan berlaku. Kualiti air bagi tujuan domestik akan semakin berkurang berikutan pemendapan tanah yang banyak di dalam air sungai.
v) ISI 4: AKTIVITI PERTANIAN YANG MENGGUNAKAN BAHAN KIMIA
Aktiviti pertanian juga dikenal pasti sebagai punca pencemaran air. Pengilangan hasil-hasil pertanian banyak menghasilkan bahan kimia cecair yang disalurkan ke dalam sungai-sungai. Hampas-hampas organik yang menjadi bahan buangan pemprosesan dibuang ke dalam sungai. Selain itu, penggunaan baja, pestisid dan insektisid untuk membunuh haiwan perosak juga turut mencemarkan sumber air. lni menghalang penembusan cahaya ke bawah permukaan air dan mengakibatkan kematian tumbuh-tumbuhan dan haiwan-harwan akuatik.
vi) PENUTUP
Kesimpulannya, langkah yang proaktif seharusnya diambil oleh pihak kerajaan dengan menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai. Malah denda yang lebih tinggi boleh dikenakan oleh pihak yang berwajib kepada pihak-pihak yang melakukan aktiviti pencemaran sungai serta pemantauan terhadap kuliti air sungai di negara kita hendaklah kerap dilakukan. Ini perlu dilakukan agar pencemaran sungai dapat ditangani dengan kadar segera supaya generasi pada masa hadapan dapat merasai dan menikmati alam sekitar yang diwarisi daripada kita tanpa sebarang pencemaran.