Perhimpunan Agung Umno (PAU 2022) 11-14 Januari 2023

perhimpunan agung umno 2022
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 kini sedang berlangsung 11 – 14 Januari di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 ini sepatutnya diadakan pada 21 Disember yang lalu namun oleh kerana 21 hingga 24 Disember 2022 adalah waktu cuti sekolah dan ramai perwakilan yang ingin bercuti hujung tahun ke merata tempat, maka Perhimpunan Agung UMNO adalah ditangguh.

PAU 2022 pada asalnya ingin dianjurkan pada hujung tahun apabila mengambil kira Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang lalu.

Kehadiran dan Jemputan

PAU 2022 kali ini dihadiri 6,198 perwakilan dan pemerhati.

Seramai 2,822 perwakilan dan pemerhati akan ke Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung sehingga Sabtu ini, sementara 1,117 perwakilan akan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 1,146 Pemuda dan 1,113 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

Ini menyaksikan menyaksikan jumlah perwakilan dan pemerhati yang bertambah apabila ia turut melibatkan ketua penerangan bahagian dan sayap parti.

Buat julung kalinya juga, perhimpunan kali ini tidak akan menjemput perwakilan asing dan tiada sebarang jemputan dikeluarkan kepada parti politik selain komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN untuk menghadirinya bagi memberi laluan kepada parti itu menyelesaikan semua perkara yang berhubung kait dengan isu dalaman parti dan BN.

Tradisi PAU

Perhimpunan tahunan ini penuh dengan tradisi yang dikekalkan sejak dahulu lagi.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 bermula pada 11 Januari dengan mengekalkan tradisi mengibar bendera parti, ‘Sang Saka Bangsa’ di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pagi ini.

Bendera UMNO dinaikkan sambil diiringi lagu Pergerakan Wanita, diikuti Pemuda dan Puteri UMNO. Wanita UMNO diketuai Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Pemuda oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, manakala Datuk Zahida Zarik Khan bagi Puteri.

Majlis disusuli dengan nyanyian lagu parti, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dan ‘Sang Saka Bangsa’ sempurna dikibarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang mengiri presiden di atas pentas adalah Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Agenda PAU 2022

Setiap Perhimpunan Agung UMNO akan mempunyai agenda-agenda tertentu bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan UMNO.

Agenda memperkukuh semula UMNO, yang merupakan parti tunjang dalam BN, perlu diutamakan setelah ‘terpukul’ pada PRU15 berbanding melayani kehendak individu yang bersifat ‘gunting dalam lipatan.

Penolakan terhadap UMNO dan BN yang banyak dikaitkan dengan persepsi rasuah kalangan pemimpin turut penting untuk diteliti secara mendalam susulan BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi pada PRU15.

Antara yang turut menjadi tumpuan pada perhimpunan kali ini ialah perhimpunan agung khas yang diadakan pada Jumaat bagi membuat pindaan pada dua fasal perlembagaan, termasuk Fasal 20.11 yang menyebut seseorang ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan pada pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya, untuk disesuaikan dengan Akta Anti Lompat Parti.

Satu lagi fasal perlembagaan parti yang dicadang untuk dipinda ialah Fasal 8.4 iaitu untuk meletakkan ketua penerangan bahagian, wanita, pemuda dan puteri secara automatik menjadi perwakilan dalam perhimpunan agung tahunan pada setiap tahun.

Dua Jawatan Tertinggi UMNO Tidak Dipertandingkan

Dua jawatan tertinggi UMNO melibatkan Presiden dan Timbalan sah tidak dipertandingkan pada Pemilihan UMNO akan datang.

Ketua Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara itu dicapai dan mendapat persetujuan majoriti daripada perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022).

Katanya, keputusan dimuktamadkan selepas perwakilan bangun dan mengangkat tangan pada sesi pengundian agar dua jawatan berkenaan tidak dipertandingkan.

“Bahagian UMNO lebih 90 peratus sokong kepada usul ini supaya tidak diadakan ada pemilihan dan solidariti untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang,” beliau berkata demikian dalam sidang media di Laman Media.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dalam kemas kini di laman Facebook turut mengesahkan perkara sama.

“Alhamdulillah setelah dicadang dan dibahas, semua usul yang dibawa oleh perwakilan-perwakilan UMNO dari negeri-negeri di seluruh Malaysia termasuk usul tambahan (supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini) telah diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan dalam Dewan Merdeka petang ini,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.

Ahmad Zahid menang jawatan Presiden untuk tempoh 2018-2021 pada Pemilihan UMNO 2018.

Beliau menewaskan pencabarnya termasuk Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, Khairy (51 undi), manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.

Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pula menang dengan 75 undi menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagi saingan jawatan Timbalan Presiden.

Sumber:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut