Otot Kejang : Punca, Cara Atasi Kejang dan Kaedah Rawatan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Otot kejang merupakan salah satu masalah kesihatan yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja.

Biasanya, ia melibatkan otot kaki seperti betis dan peha yang tiba-tiba menegang dan menjadi sakit.

Masalah ini juga boleh terjadi secara tiba-tiba pada waktu malam terutama apabila sedang tidur atau cuaca sejuk.

Walaupun keadaan ini boleh berlarutan antara beberapa saat sehingga 10 minit, rasa sakit mungkin boleh berterusan selama beberapa jam selepas kekejangan berkurangan.

Ia juga merupakan isu yang tidak asing dalam kalangan ibu hamil.

Apakah punca dan kaedah rawatan bagi kekejangan otot? Ayuh ikuti perkongsian dari kami.

Punca Kekejangan Otot

Otot kejang boleh berlaku tanpa sebab yang jelas (kejang kaki idiopatik) atau disebabkan oleh simptom atau komplikasi keadaan (kejang kaki sekunder).

Punca bagi kekejangan kaki idiopatik adalah :

  • Penggunaan otot kaki yang berlebihan (keletihan otot)
  • Aktiviti saraf yang tidak normal
  • Sekatan bekalan darah ke otot yang terjejas secara tiba-tiba

Punca bagi kekejangan kaki sekunder pula adalah :

  • Penurunan paras garam kerana kandungan air yang rendah dalam badan (dehidrasi).
  • Berat tambahan semasa mengandung sehinggga mengakibatkan ketegangan otot
  • Masalah neurologi seperti penyakit neuron motor
  • Senaman atau aktiviti fizikal yang berlebihan
  • Penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti diuretik dan statin

Pada masa yang sama, kekurangan nutrient dan garam seperti kalsium dan magnesium juga boleh mengakibatkan kekejangan otot.

Cara Hilangkan Kaki Kejang Ketika Tidur

Apabila kekejangan otot berlaku pada waktu malam, lakukan regangan serta merta.

Caranya ialah dengan menegakkan hujung kaki sehingga kesakitan hilang kemudian gerakkan tapak kaki perlahan-lahan.

Anda juga boleh lakukan urutan ringan pada kawasan yang sakit.

Sekiranya kaki masih berasa sakit, anda boleh merendam kaki dalam air suam atau gunakan alat tuaman panas.

otot kejang
Sumber : centerforvain.com

Diet Yang Boleh Membantu Masalah Otot Kejang

Salah satu punca utama seseorang sering mengalami otot kejang adalah disebabkan oleh kekurangan nutrisi penting dalam tubuh.

Berdasarkan perkongsian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, berikut merupakan beberapa jenis diet yang dapat membantu mengatasi masalah kekejangan otot :

  • Tembikai
  • Tomato
  • Lemak ikan atau vitamin minyak ikan
  • Kekacang
  • Sayuran hijau
  • Pengambilan air kosong yang mencukupi

Untuk ibu hamil yang sering mengalami kejang kaki, amalkan diet kaya kalsium dan magnesium seperti susu, sayuran hijau dan kekacang.

otot kejang
Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Dalam kebanyakan masa, kekejangan kaki tidak berbahaya pada individu. Namun, anda perlulah perhatikan beberapa simptom yang memerlukan anda mendapatkan rawatan perubatan segera.

1.Kesakitan Yang Teruk

    Sekiranya kekejangan kaki berlarutan dalam tempoh yang lama sehingga mengganggu aktiviti harian, ia boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang lebih serius seperti trombosis urat dalam atau pembekuan darah.

    2. Bengkak

    Kekejangan otot yang disertai dengan bengkak perlulah dirawat segera

    3. Sesak Nafas

    Kekejangan kaki yang disertai dengan sesak nafas boleh menjadi tanda pembekuan darah di dalam paru-paru.

    4. Sejarah Pembekuan Darah

    Sekiranya anda mempunyai sejarah pembekuan darah atau masalah kesihatan lain yang meningkatkan risiko pembekuan darah, adalah penting untuk anda mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

    Rawatan Untuk Otot Kejang

    Untuk kekejangan kaki idiopatik, anda boleh lakukan rawatan otot kejang di rumah dengan :

    Latihan Regangan

    Luruskan kaki dan angkat kaki anda sambil bengkokkan pada buku lali supaya jari kaki anda menghala ke tulang kering anda.

    Luangkan beberapa minit berjalan di atas tumit anda.

    Ubat-Ubatan

    Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) seperti ibuprofen dapat melegakan kesakitan atau kekejangan otot.

    Dalam kebanyakan masa, otot kejang bukanlah masalah kesihatan yang serius.

    Rawatan di rumah seperti urutan dan regangan otot biasanya boleh meredakan masalah ini.

    Anda juga digalakkan untuk amalkan diet yang baik untuk kesihatan otot seperti sayuran berdaun hijau, kekacang dan lemak ikan.

    Meskipun begitu, anda perlulah dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya kekejangan otot disertai dengan simptom lain seperti bengkak, sesak nafas dan sakit yang berlarutan.

    Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, gleneagles.com.my

    Baca Juga : Sakit Tumit Kaki : Punca dan Cara Atasinya

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut