Muzium Automobil Nasional, Sepang – Masuk adalah PERCUMA!
Buat para pencinta kereta, atau ibu bapa yang sedang mencari destinasi menarik sekitar Lembah Klang, Muzium Automobil Nasional adalah pilihan yang tepat untuk dikunjungi.
Menempatkan pelbagai koleksi kenderaan klasik dan moden, muzium ini bukan sekadar pameran visual semata-mata, tetapi anda juga berpeluang untuk memahami sejarah industri permotoran tanah air dengan lebih dekat.
Sangat sesuai untuk lawatan pendek bagi mengisi masa hujung minggu. Menariknya lagi, kemasukan ke Muzium Automobil Nasional adalah percuma sahaja!
Jom baca lebih lanjut apa yang menarik di muzium ini.
BACA JUGA: 10+ Muzium dan Galeri di KL 2025 – Weekend Getaway!
Muzium Automobil Nasional
Muzium Automobil Nasional, yang terletak di dalam Pusat Selamat Datang Litar Antarabangsa Sepang (SIC), adalah sebuah institusi yang didedikasikan untuk memaparkan perkembangan industri automotif Malaysia.
Ditubuhkan pada 19 Mac 2004 bersempena Perlumbaan Petronas Grand Prix, muzium dua tingkat ini menjadi saksi bisu kepada titik permulaan Malaysia dalam bidang perindustrian berat.
Sejak penubuhannya, ia telah memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan dan memelihara sejarah kenderaan yang telah membentuk lanskap pengangkutan negara.
Dari kereta nasional pertama kita, Proton Saga, hinggalah kepada model-model kenderaan moden dan klasik dari serata dunia, semuanya anda dapat lihat di sini. Muzium ini menawarkan perjalanan masa yang menarik bagi setiap pengunjung.
Ia bukan sekadar tempat pameran, tetapi juga pusat pendidikan yang menghidupkan semula semangat inovasi dan pencapaian automotif Malaysia.
Lokasi & Waktu Operasi
- Alamat: PETRONAS Sepang International Circuit, 27, Sepang F1 Circuit, 64000 Sepang, Selangor, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 9 AM–5 PM
Muzium Automobil Nasional terletak di Welcome Centre, Litar Antarabangsa Sepang, Jalan Pekeliling, 64000 KLIA, Sepang, Selangor Darul Ehsan.
Lokasinya yang strategik, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2), menjadikan ia mudah diakses oleh pelancong tempatan dan antarabangsa.
Anda boleh ke muzium ini dengan menaiki teksi bermeter dari KLIA, KLIA2 atau Stesen Komuter Nilai. Selain itu, kawasan sekitar turut menawarkan pelbagai tarikan lain seperti Mitsui Outlet Park, Sepang Gold Coast, dan Paya Indah Wetlands.
Harga Tiket Masuk
Masuk adalah PERCUMA.
Muzium Automobil Nasional adalah di bawah Jabatan Muzium Malaysia. Kebanyakan muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia menawarkan masuk percuma, dan Muzium Automobil Nasional adalah salah satu daripadanya.
Apa yang Menarik di Muzium Automobil Nasional?
Muzium Automobil Nasional menawarkan pelbagai tarikan yang sesuai untuki semua peringkat umur Antaranya ialah:
1. Koleksi Kereta Klasik dan Vintaj
Di muzium ini, pengunjung dapat melihat sendiri pelbagai model kereta klasik dan vintaj yang jarang ditemui di tempat lain. Setiap kenderaan dipamerkan dengan maklumat sejarah bagi membolehkan anda memahami evolusi teknologi automotif dari zaman dahulu hingga kini.
Untuk kanak-kanak pula, inilah peluang untuk mereka melihat rekaan model kereta zaman dahulu yang popular dan pernah digunakan.
2. Pameran Sejarah Automotif Malaysia
Muzium ini memaparkan perjalanan industri automotif negara, bermula dari penubuhan HICOM, PROTON, PERODUA, hingga MODENAS.
Anda dapat melihat bagaimana syarikat tempatan membina nama dalam industri automotif serta pencapaian mereka di peringkat antarabangsa.
3. Galeri Sukan Permotoran
Terdapat satu segmen khas di muzium ini yang menampilkan sejarah perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, termasuk perlumbaan F1, MotoGP, dan Superbike World Championship.
Ini sangat menarik untuk peminat sukan permotoran yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kejayaan Malaysia dalam arena perlumbaan dunia.
4. Model Kereta dan Motosikal Tempatan
Selain kereta klasik, terdapat juga pameran model-model kereta dan motosikal keluaran tempatan seperti PROTON, PERODUA, MODENAS, dan BUFORI.
5. Aktiviti Interaktif dan Pendidikan
Muzium ini turut menyediakan maklumat interaktif dan pendidikan, sesuai untuk pelajar dan keluarga yang ingin menimba ilmu mengenai teknologi, inovasi, dan sejarah automotif. Setiap pameran disusun dengan penerangan yang mudah difahami.
Tarikan Berdekatan Muzium Automobil Nasional
Jika anda berkunjung ke Muzium Automobil Nasional di Sepang, terdapat pelbagai tarikan menarik lain yang boleh anda lawati di kawasan sekitarnya, contohnya seperti:
- Sepang International Circuit (SIC)
- Kuala Lumpur International Airport (KLIA)
- Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA2)
- Mitsui Outlet Park
- Pusat Komersil Nilai 3
- Medan Ikan Bakar Bagan Lalang
- Pantai Morib
- Sepang Gold Coast
- RUD Karting Sepang (GO-KART)
- Paya Indah Wetlands
- HL Dragon Fruit Eco Farm
- Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA
- KLIA Jungle Boardwalk
- Avani Sepang Goldcoast Resort
- Anjung Spotter Observation Deck
- Bukit Melati, Nilai
- BBST Walk
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai Muzium Automobil Nasional, anda boleh layari laman sesawang Jabatan Muzium Malaysia.
Jangan lupa ikuti Facebook Muzium Automobil Nasional untuk sebarang info terkini. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh hubungi:
- Telefon: 03-8787 1499 / 4759
- Emel: [email protected]