Maksud Vertigo, Punca, Gejala dan Kaedah Rawatan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Adakah anda sedang mencari maksud vertigo kerana khuatir mengalaminya? Vertigo merupakan sensasi palsu yang biasanya disertai dengan hilang keseimbangan. Namun, ia boleh berlaku disebabkan beberapa punca.

Kebarangkalian untuk seseorang alami kondisi akan meningkat seiring dengan usia dan penyakit ini dua hingga tiga kali lebih tinggi dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Ia juga sering dialami oleh individu berusia lebih 65 tahun dan ke atas.

Maksud Vertigo

Maksud vertigo adalah sensasi palsu di mana diri sendiri, persekitaran, atau kedua-duanya berpusing atau bergerak. Ia juga biasanya disertai dengan rasa loya dan hilang keseimbangan.

maksud vertigo

Punca Vertigo

Vertigo boleh terjadi daripada punca periferal atau berpusat/central atau gabungan kedua-duanya sekali.

1. Punca Periferal

Vertigo berlaku disebabkan oleh gangguan dalam telinga atau sistem vestibular.

Punca utama gangguan vestibular periferal adalah disebabkan oleh kondisi Benign paroxysmal positional vertigo (BPPV), yang melibatkan 32% daripada semua vertigo periferal.

Selain itu, vertigo periferal juga boleh disebabkan oleh penyakit lain seperti Meniere, Labryrinthitis, neuronitis.

2. Punca Berpusat/ Central

Vertigo ini pula disebabkan oleh kecederaan pada brainstem atau cerebellum.

Punca utama gangguan Vestibular central adalah transience ischaemic attack, vestibular schwannoma / cerebellar tumours, cervical spine disorder, sakit kepala akibat migrain, multiple sclerosis sertagangguan fungsi otak.

Gejala / Tanda

Antara gejala yang boleh dialami oleh pesakit vertigo adalah :

  • Rasa berpusing
  • Pening
  • Loya
  • Muntah
  • Ketidakseimbangan badan
  • Penglihatan jadi kabur
  • Sukar berjalan
maksud vertigo

Ubat-Ubatan Tertentu

Sesetengah ubat boleh memberikan kesan sampingan dan menyebabkan vertigo. Antara ubat yang boleh dikenalpasti adalah :

• Antibiotik – kumpulan aminoglikosida, makrolida dan sulfamethoxazole.
Antikonvulsan – levetiracetam dan phenytoin.
• Antiradang – celecoxib, naproxen dan prednisolone.
• Antiviral – oseltamivir.
• Ubat kardiovaskular – nifedipine, frusemide dan glyceryl trinitrate.

Sekiranya anda mengalami vertigo setelah mengambil ubat-ubatan ini, jangan terus berhenti makan tanpa nasihat doktor atau ahli farmasi.

Sebaliknya, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut dan dapatkan nasihat serta pemilihan ubat yang lebih sesuai.

Kaedah Rawatan

Doktor dan ahli fisioterapi akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi menetukan punca yang menyebabkan pesakit merasa pening atau rasa berpusing.

Ini bagi memberikan rawatan vertigo sesuai dengan punca dan gejala yang dialami pesakit. Terdapat tiga kaedah utama bagi rawatan vertigo iaitu :

Rehabilitasi/ Fisioterapi

Antara rawatan fisioterapi yang boleh diberikan adalah :

  • Senaman adaptasi vestibular bagi meningkatkan penglihatan dan pergerakan kepala
  • Senaman Brandt daroff untuk mengurangkan pening
  • Teknik posisi canalith / Epley’s maneuver untuk kurangkan rasa pening.
  • Senaman postur kestabilan bagi meningkatkan strategi keseimbangan.
Sumber : Conceptual Physiotherapy

Ubat-ubatan

Ubat biasanya akan diberikan kepada pesakit vertigo periferal dan ia bergantung kepada gejala pesakit.

Antara ubat yang digunakan adalah :

  • Ubat perencat vestibular (antihistamin,benzodiazepine)
  • Ubat antiemetik
  • Ubat diuretik atau ubat betahistine bagi pesakit Meniere’s (masalah bahagian telinga dalam)

Pembedahan

Prosedur yang dimaksudkan adalah canalith repositioning khusus bagi meredakan simptom BPPV.

Ia melibatkan pengeluaran sebatian yang menyebabkan gejala daripada bahagian semicircular canals yang terletak di dalam telinga.

Rawatan Kecemasan

Pesakit juga boleh lakukan rawatan kecemasan sekiranya merasakan vertigo akan terjadi atau ia berlaku secara tiba-tiba. Antara langkah kecemasan yang boleh diambil adalah :

  • Tarik nafas dan jangan panik
  • Cari tempat untuk duduk atau baring dan tunggu sehingga gejala hilang
  • Jangan pejamkan mata, sebaliknya fokus pada satu objek
  • Jangan tidur dalam keadaan terlalu gelap pada waktu malam
  • Dapatkan rawatan sekiranya berlaku serangan untuk kali kedua

Nota :

Jangan memandu atau berhenti memandu ketika mengalami gejala atau khuatir akan alami vertigo.

Pastikan anda berteman dan tidak keseorangan.

Setelah anda fahami maksud vertigo serta puncanya, kini anda boleh kenalpasti sama ada anda atau keluarga alaminya atau tidak.

Sekiranya masih ragu, anda boleh dapatkan nasihat daripada doktor. Seeloknya, lakukan pemeriksaan menyeluruh bagi mengenalpasti punca atau gejala yang mungkin anda tidak sedari.

Sumber : myhealth.gov.my, mayoclinic.org, Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (1), (2)

Baca Juga : Sakit Telinga Berdesing: Gejala & Punca Serta Cara Mengubatinya

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut