Seiring dengan peredaran zaman, semakin banyak generasi baru yang terlahir. Anda juga pasti pernah dengar beberapa istilah seperti baby boomers, Generasi X, Y, Z dan sebagainya.
Jika dahulu anda pernah merasai kehidupan sebagai generasi yang paling muda, kini mungkin sudah tidak lagi.
Inilah hakikat yang perlu dihadapi oleh Generasi Y atau Gen Y yang sekarang perlahan-lahan memasuki usia 30an. Begitu cepat masa berlalu, ya!
Persoalannya, apakah maksud Gen Y dan apakah ciri-ciri yang boleh dikenalpasti bagi golongan ini?
Maksud Gen Y
Juga dikenali sebagai Generasi Milenium (Milennials), Gen Y adalah golongan individu yang dilahirkan antara tahun 1981 hingga 1996.
Terdapat juga sesetengah sumber yang mendefinisikan Gen Y dengan perbezaan julat umur dengan perbezaan beberapa tahun.
Membesar pada masa peralihan teknologi dari analog ke digital, kemunculan internet dan media sosial, golongan millennials dilihat cekap dalam beradaptasi, kreatif dan berani mengambil risiko.
Pada masa yang sama, Gen Y juga dilihat ekspresif dan berfikiran terbuka berbanding generasi yang terdahulu dengan pemikiran yang agak tertutup dan tegas.
Masyarakat dalam generasi ini juga cenderung untuk lebih berani dalam menyuarakan pendapat dan mempunyai kemampuan untuk berfikir di luar kotak.
Maka, tidak hairanlah jika ibu bapa dari Generasi X atau baby boomers merasakan anak-anak mereka dari Generasi Y lebih sering melanggar peraturan atau tidak mendengar kata.
Jika dibandingkan dengan generasi yang lebih tua, golongan millennials juga lebih bersikap terbuka dalam perkembangan diri serta tidak kisah untuk bertukar minat atau pekerjaan demi kepuasan diri.
Ciri-Ciri Gen Y (Milennials)
Anda mungkin boleh fahami maksud Gen Y dengan lebih mudah dengan melihat pada setiap aspek secara terperinci.
Berdasarkan perkongsian daripada Universiti Muhammadiyah Sumatera Barat, Generasi Y juga cenderung untuk menunjukkan ciri-ciri tertentu mengikut aspek berikut :
Penerimaan Teknologi : Dilahirkan pada era peralihan teknologi yang pesat, Gen Y mempunyai pendedahan dan adaptasi teknologi yang tinggi.
Pendidikan dan Karier : Pendidikan tinggi dianggap penting bagi kebanyakan Generasi Y. Mereka memasuki alam pekerjaan ketika teknologi sedang berkembang dan sekaligus mempengaruhi cara kerja mereka.
Kreativiti dan Ekspresi Diri : Memiliki kemampuan adaptasi yang baik, Generasi Y cenderung untuk dikenali sebagai generasi yang kreatif. Mereka juga lebih gemar untuk melibatkan diri dalam pekerjaan dan aktiviti yang membolehkan mereka mengekspresikan kreativiti dan berkongsi pendapat.
Sikap Terhadap Kerja : Di samping mementingkan kepuasan dalam karier, Generasi Y juga cenderung untuk mengutamakan kesimbangan dalam hidup dan karier (work-life balance).
Pendirian Mengenai Kepelbagaian Sosial : Generasi Y bersikap lebih terbuka dan tiada masalah untuk bersosial dalam golongan yang pelbagai. Mereka juga dikenali sebagai golongan yang menyokong keadilan sosial.
Perkahwinan dan Keluarga : Dalam aspek ini, sesetengah Generasi Y memilih untuk tangguhkan perkahwinan atas sebab tertentu antaranya ingin fokus pada karier atau perkembangan peribadi.
Ada juga yang memilih untuk tidak berkahwin demi menjaga keseimbangan antara tanggungjawab dalam keluarga dan kehidupan peribadi.
Tabiat Membeli : Gen Y juga merupakan antara golongan yang aktif mengikut trend pembelian terkini termasuk melalui pembelian atas talian dan e-commerce.
Namun, mereka lebih berhati-hati ketika dengan mencari informasi dan membandingkan produk sebelum membuat sesuatu pembelian.
Meskipun tidak lagi dianggap sebagai generasi baharu akibat perubahan zaman, namun Generasi Y tetap memainkan peranan penting dalam membentuk dinamik sosial yang lancar dan seimbang.
Dengan latar belakang teknologi yang kuat serta sikap yang progresif, sumbangan Generasi Y bagi perkembangan masyarakat moden kekal signifikan sehingga ke hari ini.
Sumber : Britannica, UM Sumatera Barat, gramedia.com
Baca Juga : Maksud Gen X: Tahun Lahir & Ciri-Ciri Umum