10 Makanan Tradisional Cina Yang Terkenal di Malaysia

Negara kita kaya dengan kepelbagaian warisan. Selain hidangan Melayu dan India, makanan tradisional Cina juga tak kurang hebatnya.

Hidangan masyarakat Cina unik dan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Jom kita kenali makanan warisan kaum Cina di negara kita.

10 Makanan Tradisional Cina Yang Terkenal di Malaysia

1. Bak Kwa

Juga dikenali sebagai Rou Gan, Bak Kwa merupakan hirisan daging nipis yang manis rasanya.

Ia dihasilkan menggunakan daging yang dihiris dan disaluti dengan madu. Ia kemudiannya dipanggang bagi mendapatkan aroma yang enak.

Kini, bak kwa halal juga mudah didapati di pasaran.

Makanan Tradisional Cina

2. Yee Sang

Yee Sang adalah makanan yang tidak asing lagi tatkala tibanya Tahun Baru Cina.

Ia terdiri daripada aneka salad, ikan, kekacang dan sos plum. Restoran biasanya menggunakan abalone atau ikan salmon bagi hidangan ini.

Masyarakat Cina mempercayai Yee Sang membawa lambang kepada kemewahan dan kemakmuran.

Semasa hendak menikmati hidangan yee sang, ia akan digaulkan dan diangkat tinggi menggunakan kayu penyepit.

Semakin tinggi ia dilambung, ia memberi maksud rezeki yang semakin mewah.

Makanan Tradisional Cina

3. Dim Sum

Enak dimakan pada bila-bila masa sahaja, dim sum merupakan makanan tradisional Cina yang sangat terkenal dan juga digemari oleh rakyat Malaysia.

Ia diperbuat daripada tepung gandum serta tepung jagung. Isinya pula biasanya diletakkan sayur, isi udang, daging atau ayam.

4. Kuih Cang / Bak Cang

Kuih cang adalah pulut yang dibungkus dalam daun buluh, berbentuk tiga segi dan diikat dengan tali.

Boleh dijadikan versi manis atau savoury, kuih cang boleh disediakan dengan pelbagai jenis inti termasuk buah berangan, kekacang, cendawan, telur masin, rendang atau sambal udang kering.

Ada juga kuih cang yang tidak mempunyai inti. Ia dikenali sebagai kee chang dan biasanya dimakan bersama gula merah yang telah dicairkan.

Ia juga boleh disimpan sehingga sebulan jika disejukbekukan.

Sumber : sjecho.com.my

5. Kuih Bakul

Juga dikenali sebagai Nian Gao, kuih bakul merupakan kuih tradisional yang cukup popular pada Tahun Baru Cina.

Diperbuat daripada pulut, kuih ini dipercayai boleh membawa tuah kepada si pemakan pada hari perayaan kerana Nian Gao membawa maksud ‘makin tahun makin tinggi’.

Kuih ini juga telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009.

6. Mantou

Mantou adalah sejenis roti kukus yang berasal dari China Utara. Ia diperbuat daripada tepung gandum.

Terdapat dua jenis mantou iaitu mantou berinti dan tanpa inti.

Biasanya ia mengandungi inti kacang merah, manakala yang kosong pula dimakan bersama susu pekat.

Sumber : momentsdimsum.com.my

7. Kuih Bulan

Kuih bulan atau mooncake merupakan kuih yang boleh didapati menjelang musim perayaan pertengahan musim luruh.

Kuih ini biasanya berbentuk bulat atau segi empat. Selain mempunyai kuning telur masin, kuih bulan juga mempunyai pelbagai inti di dalamnya seperti kacang merah, biji labu, bijan dan pes biji teratai.

Seiring dengan peredaran zaman, kuih bulan juga boleh didapati dalam pelbagai perisa seperti pandan, coklat, durian dan sebagainya.

Sumber : thezonghan.com

8. Chee Cheong Fun

Chee Cheong Fun adalah hidangan sampingan yang diperbuat daripada gulungan tepung, udang, dagung serta daun bawang.

Disajikan bersama sos kicap, ia biasanya dinikmati sebagai makanan ringan atau ketika sarapan pagi.

Sumber : eatwhattonight.com

9. Tang Yuan

Tang Yuan merupakan sejenis manisan yang diperbuat daripada tepung pulut. Ada kalanya, ia mengandungi inti seperti pes kacang merah, kacang tanah atau bijan hitam.

Biasanya, Tang Yuan akan dinikmati ketika perayaan khususnya pada Festival Tanglung, musim perayaan pertengahan musim luruh dan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan.

Bentuk manisan ini yang dibentuk bulat-bulat kecil dan dimakan dalam mangkuk melambangkan kebersamaan keluarga.

Sumber : Rasa Malaysia

10. Ding Bian Hu

Sesuai dinikmati pada waktu pagi atau lewat malam, Ding Bian Hu merupakan hidangan tradisional yang telah dinikmati selama beberapa generasi.

Ding Bian Hu diperbuat daripada tepung beras yang dimasak di dalam air rebusan makanan laut.

Ketika air mendidih, lapisan kanji yang melekat di tepi periuk akan dikikis dan sekaligus menjadi sebahaguan daripada sup.

Ia juga mengandungi pelbagai ramuan lain seperti fungus, halia, bawang putih, makanan laut dan daging.

Sebagai rakyat negara yang berbilang bangsa, kita beruntung kerana dapat nikmati kepelbagaian warisan daripada kaum berbeza.

makanan tradisional cina
Sumber : ikanmas.in

Meskipun kebanyakan makanan tradisional Cina ini sudah wujud selama beberapa generasi, namun ia masih popular sehingga ke hari ini.

Kebanyakan hidangan tradisional yang popular juga boleh didapati dalam versi halal di pasaran membuatkan ramai lagi boleh mencubanya sendiri.

Sumber : saji.my, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

Baca Juga : 21 Makanan Tradisional Yang Diwartakan Sebagai Warisan Negara

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!