Bermula Januari 2024, setiap pemilik kenderaan boleh berkongsi Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM @ roadtax) dengan fungsi “Kongsi LKM” yang baru diperkenalkan dalam aplikasi MyJPJ.
Ini bermaksud, kalau suami / isteri / sesiapa sahaja yang nak pakai kereta kita, bolehlah kita kongsikan roadtax kita untuk memudahkan perjalanannya, mana tahu kalau ada polis kan – sebab sekarang ni roadtax dah tak perlu lekat di cermin lagi. Yang penting pemandu tu mesti Ada apps MyJPJ.
Pertambahan fungsi ini adalah satu lagi penambahbaikan ke arah Fasa pertama pendigitalan yang dilakukan pada 10 Februari 2023 dengan pemilik kenderaan persendirian warganegara boleh menggunakan mod paparan e-LKM dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi MyJPJ.
Sebelum kewujudan fungsi ini, pemandu yang tidak memandu kenderaan sendiri seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau penyewa kereta menghadapi kesukaran untuk memaparkan e-LKM mereka apabila melalui sekatan jalan raya.
Sebelum ini orang awam dibenarkan mencetak e-LKM berkenaan, namun pelbagai persoalan timbul yang menyebabkan penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna.
Artikel berkaitan: Cara Renew Roadtax e-LKM Melalui MyJPJ
Fungsi Kongsi LKM @ Roadtax JPJ
Melalui fungsi baharu yang dinamakan “Kongsi LKM” ini, pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM kepada ahli keluarga, rakan atau individu lain yang dibenarkan pemilik kenderaan.
Pemilik hanya perlu klik nombor pendaftaran kenderaan, seterusnya tekan butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.
Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM terbabit untuk mengaktifkan perkongsian.
Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian jika tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam.
Cara Kongsi Roadtax / e-LKM
Mari lihat panduan di bawah untuk mengetahui cara berkongsi e-LKM dengan mudah terus melalui aplikasi MyJPJ:
- Sila buka dan log masuk akaun MyJPJ anda
- Klik pada ‘Profil’
- Klik ‘Lesen Kenderaan Motor’
- Pilih ‘No. Pendaftaran Kenderaan’
- Klik butang ‘Kongsi LKM’
- Klik simbol ‘+’ untuk menambah penerima baru
- Masukkan Nombor Kad Pengenalan Penerima dan Tempoh
- Pengesahan Nombor Kad Pengenalan Penerima dan Tempoh
- Nombor kod keselamatan akan dipaparkan untuk diberikan kepada penerima
- Klik pada ‘Profil’
- Klik ‘Jana Semula’
- Klik ‘No. Pendaftaran Kenderaan’
- Masukkan ‘Kod Keselamatan’ – Kod hanya aktif untuk 24 jam sahaja
- LKM berjaya diaktifkan
- LKM berjaya dikongsikan
Muat turun aplikasi MyJPJ
Bagi anda yang belum memuat turun aplikasi MyJPJ, anda boleh berbuat demikian dengan mengklik salah satu pautan di bawah untuk memuat turun dan memasang aplikasi MyJPJ ini terus ke dalam peranti mudah alih anda:
Pertanyaan Lanjut Tentang Kongsi e-LKM / Roadtax JPJ
Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan dan pertanyaan lanjut mengenai fungsi Kongsi e-LKM, sila berhubung dengan pegawai yang bertugas melalui salah satu kaedah berikut:
- Emel: [email protected]
- No. Tel: 03-27242522