Khasiat Kobis Bunga Untuk Kesihatan Tubuh

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Adakah anda penggemar hidangan kobis bunga? Walaupun rasanya tawar dan berwarna pucat, namun sayuran ini terkandung pelbagai khasiat penting untuk tubuh.

Ia juga sangat mudah untuk dijumpai di pasaran dan mudah untuk diolah menjadi hidangan sihat.

Tanpa melengahkan masa, ayuh kita kenali sayuran ini dengan lebih dekat.

Sumber : Real Simple

Nama Saintifik Kobis Bunga dan Asal-Usulnya Yang Unik

Jika anda lakukan carian di internet, anda akan dapati kobis bunga mempunyai nama saintifik yang sama dengan sayuran lain seperti kobis, brokoli dan kailan.

Apa yang membezakannya adalah nama variasi yang terletak di belakang nama saintifik.

Seperti contoh, kobis bunga mempunyai nama saintifik Brassica oleracea var. botrytis. Manakala brokoli pula mempunyai nama saintifik Brassica oleracea var. italica.

Kalau anda nak tahu, sebenarnya kobis bunga dan beberapa sayuran lain ini berasal daripada tumbuhan yang sama iaitu Brassica oleracea, yang lebih dikenali sebagai wild mustard.

Sebenarnya kobis bunga, sayur brokoli dan sayuran daripada wild mustard ini merupakan hasil variasi yang telah dikembangkan selama beratus-ratus tahun oleh petani zaman lampau.

Aktiviti pemilihan tanaman dengan mempunyai ciri-ciri tertentu ini dipercayai dimulakan oleh masyarakat Roman dan Yunani kuno.

Tujuan asal mereka adalah untuk memaksimakan hasil penanaman agar sesuai dengan persekitaran dan keperluan mereka.

Kaedah ini secara tidak langsung melibatkan proses pemilihan artifisial (artificial selection).

Ada petani yang mengembangkan wild mustard dengan varian tunas berdaun lebar sehingga terhasilnya kobis yang kita kenali sekarang.

Ada juga yang mengembangkan variasi wild mustard jenis berbunga sehingga terhasilnya brokoli dan kobis bunga.

kobis bunga
Sumber : Facebook Ini Sains Beb!

Khasiat Kobis Bunga

Ini menjadikan sayuran ini sesuai untuk dijadikan sumber karbohidrat alternatif terutamanya bagi yang mahu amalkan diet keto (diet rendah karbohidrat). 

Padat Dengan Nutrisi 

Siapa sangka bahawa secawan sayuran ini mampu membekalkan sehingga 75% keperluan vitamin C harian?

Seperti yang kita tahu, vitamin C adalah khasiat yang penting untuk meningkatkan sistem pertahanan tubuh, menghasilkan kolagen serta sel darah merah. 

Selain itu, kobis bunga juga kaya dengan kebaikan vitamin K yang penting untuk mengekalkan kesihatan tulang dan serta choline yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan fungsi memori, pembelajaran dan pergerakan otot. 

Pada masa yang sama, sayuran ini juga padat dengan nutrisi penting lain seperti vitamin B, magnesium, fosforus, kalium dan manganese. 

Membantu Menurunkan Berat Badan

Secawan sayuran ini mengandungi sehingga 2.14 gram serat. Dengan pengambilan serat harian yang mencukupi, ia dapat membantu membuatkan seseorang berasa lebih kenyang pada tempoh yang lama. 

Diet tinggi serat juga dapat membantu seseorang mencegah beberapa masalah kesihatan seperti sembelit, kolesterol dan baik untuk sistem penghadaman.

Lebih menarik lagi, secawan kobis bunga hanya mengandungi 30 kalori dan 5 gram karbohidrat.

Membantu Mencegah Penyakit Kronik 

Khasiat yang terkandung dalam sayuran ini didapati berpotensi dalam mencegah risiko beberapa penyakit seperti sakit jantung, kanser dan sebagainya.

Kobis bunga mengandungi komponen semulajadi yang melindungi salur darah daripada keradangan.

Kobis bunga yang tergolong sebagai salah satu sayuran cruciferous didapati berpotensi mencegah kerosakan salur darah. 

Beberapa kajian turut mencadangkan bahawa sayuran sebegini juga berpotensi membantu melindungi tubuh daripada kanser kolon. 

Berpotensi Mencegah Penuaan

Sayuran yang turut dikenali sebagai cauliflower ini juga mengandungi sejenis antioksidan yang unik iaitu sulforaphane.

Kajian juga mendapati sulforaphane berpotensi dalam memperlahankan proses penuaan, mengurangkan keradangan dan meneutralkan toksin.

Sebuah penyelidikan pada 2017 juga mendedahkan bahawa sulforaphane memiliki potensi untuk melindungi kemahiran kognitif dan kerosakan akibat faktor penuaan.

kobis bunga
Sumber : marthastewart.com

Dengan pelbagai khasiat yang terkandung dalam sayuran ini, maka memang wajarlah ia dijadikan sebahagian daripada hidangan harian.

Tambahan pula, ia rendah kalori dan tinggi dengan mineral dan vitamin penting untuk tubuh. Sangat sesuai untuk menjadi penambah khasiat dalam diet seisi keluarga.

Sumber : health.com, healthline.com, Facebook Ini Sains Beb

Baca Juga : Kandungan Nutrisi Dalam Sayur dan Keistimewaannya Mengikut Warna

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut