Khalid Al-Walid merupakan salah seorang panglima perang yang sangat mahir dalam taktik peperangan. Beliau yang pada asalnya merupakan tentera ulung Musyrikin, telah memeluk Islam setelah melihat pimpinan Rasulullah S.A.W dalam peperangan Uhud.
Beliau yang turut dikenali dengan gelarannya, “Saifullah” yang membawa maksud “Pedang Allah” ini, telah banyak menyertai peperangan besar dalam melindung dan menyebarkan agama Islam.
Untuk mengetahui lebih lagi tentang sosok yang betul-betul hebat ini, pastikan anda terus membaca artikel ini sehingga ke penghujung.
Latar Belakang Khalid Al-Walid
Khalid bin al-Walid atau nama sebenarnya Khalid bin al-Walid bin al-Mughirah telah dilahirkan pada tahun 585 masihi, juga dikenali sebagai Saifullah (Pedang Allah), adalah seorang panglima tentera Arab yang terkenal.
Untuk pengetahuan anda, Saidina Khalid al-Walid adalah sepupu kepada Saidina Umar bin Khattab, dan kedua-duanya mempunyai wajah yang mirip. Tubuh Khalid sangat tinggi, dengan badan yang kuat, bahu yang lebar, dan berjanggut tebal. Sejak kecil lagi Saidina Khalid telah menunjukkan kekuatannya. Beliau pernah bergusti dengan Saidina Umar sehingga mematahkan kaki sepupunya itu.
Selain itu, sejak masih kecil lagi beliau sudah mempelajari cara menunggang kuda dan merperkasa kemahiran bersenjata seperti tombak, lembing busur dan juga pedang. Perkara-perkara ini telah menjadikan beliau seorang panglima perang yang sangat dihormati oleh kaum Quraisy pada ketika itu.
Sebelum beliau memasuki Islam, Saidina Khalid juga merupaka antara orang yang menentang Rasulullah S.A.W. Beliau mula tertarik akan Islam apabila melihat pimpinan Rasulullah S.A.W dalam peperangan Uhud. Selepas kewafatan Nabi Muhammad, beliau telah dilantik sebagai panglima perang dan mengetuai ekspedisi menentang tentera Sasan Parsi dan Empayar Byzantine (Rom). Kedua-dua pertempuran ini telah dimenangi oleh umat Islam dibawah pimpinan beliau.
Gelaran “Saifullah al-Maslul”
Gelaran “Saifullah Al-Maslul“ yang membawa maksud “Pedang Allah S.W.T yang terhunus” telah diberikan kepada Khalid al-Walid oleh Rasulullah S.A.W sendiri setelah kemenangan umat Islam dalam peperangan Mut’ah.
Pada awalnya pertempuran ini telah dipimpin oleh Zaid bin Harithah, Ja’afar bin Abu Talib, dan Abdullah bin Rawahah. Namun begitu, ketiga-tiga mereka telah syahid dalam pertempuran melawan 300,000 tentera Rom, dan “Saifullah” ini mengambil alih sebagai jeneral perang pada waktu itu.
Beliau telah menunjukkan kebijaksanaan beliau dalam menyusun strategi perang. Dengan strategi peperangan tersebut beliau berjaya mematahkan sembilan pedang dalam pertempuran dan mengelirukan tentera Rom.
Dengan cara tersebut, Khalid al-Walid dapat memastikan keselamatan 3,000 askar Islam dan membawa mereka pulang ke Madinah. Keberanian dan kepintaran Khalid inilah yang menjadikannya digelar sebagai “Pedang Allah S.W.T”
Perang yang disertai “Saifullah”
Sejak beliau memasuki Islam, Saidina Khalid Al-Walid telah menyertai lebih 50 peperangan bagi memperluaskan penyebaran agama Islam ini. Berikut merupakan antara perang yang pernah disertai atau dipimpin beliau:
- Perang Mu’tah
- Perang Buzakhah (11H)
- Perang Zat as-Salasil (12H)
- Perang Walajah (12H)
- Perang al-Mazar (12H)
- Perang Ullais (12H)
- Perang Amghishiyah (12H)
- Perang al-Maqr (12H)
- Perang Anbar (12H)
- Perang Ain at-Tamar (12H)
- Perang Dumah al-Jandal (12H)
- Perang az-Zumail ar-Radab (13H)
- Perang al-Ghassan (13H)
- Perang Ajnadain (13H)
- Perang Marj as-Suffar (13H)
- Perang Fahl Baisan (13H)
- Penaklukan Damsyik (14H)
- Penaklukan Balbek (15H)
- Penaklukan Homs (15H)
- Perang Yarmuk (15H).
Sumber: HarakahDaily
Kematian Khalid Al-Walid
Khalid al-Walid meninggal dunia pada tahun 642 M ketika berusia 55 tahun. Ironinya, beliau meninggal dunia akibat penyakit dan tidak di medan peperangan, walaupun sepanjang hidupnya, beliau tidak pernah tewas dalam peperangan.
Perkara ini turut dipersoalkan oleh Saidina Khalid sendiri kepada sahabatnya, dan jawapan sahabat beliau adalah seperti berikut:
“Kau harus tahu, Khalid, ketika junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W., memberikan gelaran ‘Pedang Allah’ kepadamu, itu bermakna jika kau dibunuh oleh musuh Allah S.W.T, maka seolah-olah pedang Allah S.W.T telah dirosakkan oleh musuhnya. Allah S.W.T tidak akan membenarkan perkara itu terjadi.”
Kematian beliau mengakhiri era kegemilangan seorang pahlawan yang sangat dihormati. Walaupun telah tiada, legasi beliau sebagai “Saifullah” terus dikenang sebagai simbol keberanian dan kepimpinan yang unggul dalam sejarah Islam.
Baca juga: 10 Sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang Dijamin Syurga