Kata Penegas merupakan salah satu pembelajaran penting yang perlu dikuasai oleh murid di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Berikut merupakan takrifan mengenai kata ini, jenis, dan contoh ayat yang boleh dijadikan panduan.
Takrifan Kata Penegas
Kata ini yang juga disebut partikel ialah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian- bahagian tertentu dalam ayat.
Antara contoh kata ini yang lazimnya digunakan adalah:
Antaranya adalah sebagaimana berikut:
- -kah
- -tah
- -lah
- juga/jua
- pun
- sahaja
- lagi
- hanya
- memang
Jenis Kata Penegas
Kata ini terbahagi kepada 2 jenis iaitu:
- Menegaskan frasa predikat atau bahagiannya.
- Menegaskan frasa nama sebagai subjek atau bahagiannya dan frasa predikat atau bahagiannya.
Menegaskan Frasa Predikat Atau Bahagiannya
Jenis ini melibatkan kehadiran -kah, -lah, dan -tah hanya berlaku apabila frasa predikat atau bahagian-bahagiannya yang ditegaskan itu di kedepankan dalam ayat.
Ketiga-tiga kata penegas ini dirangkaikan dengan perkataan yang mendahuluinya.
Contoh ayat bagi jenis ini adalah seperti berikut:
Kata Penegas | Contoh Ayat |
-kah | – Berapakah usia kamu sekarang, Devi? – Adakah dia masih belajar di kolej itu? – Siapakah guru Bahasa Malaysia kamu? |
-lah | -Bangunan itulah yang paling tinggi di bandar ini. – Itulah kasut baharu yang saya beli semalam. – Dialah yang mendermakan wang kepada mangsa banjir itu. |
-tah | – Manatah barang-barang lain yang dibeli itu? -Bilatah nasib mereka akan berubah? – Apatah daya kita yang daif ini? |
Menegaskan Frasa Nama Sebagai Subjek Atau Bahagiannya Dan Frasa Predikat Atau Bahagiannya
Kata ini bersifat bebas dari segi kehadirannya dalam ayat, sama ada dalam subjek atau predikat.
Contoh ayat adalah seperti di bawah:
Kata Penegas | Contoh Ayat |
pun | – Murid-murid perempuan pun mengambil bahagian dalam acara itu. – Borang penyertaan yang tidak lengkap pun diterima oleh pihak penganjur. |
juga | – Adik saya juga ingin mengikut saya ke perpustakaan. – Murid itu ingin juga menyertai Persatuan Bahasa Inggeris. |
hanya | – Pertunjukan itu hanya diadakan pada waktu malam. – Hanya warganegara Malaysia berhak menyertai peraduan itu. |
memang | – Kanak-kanak memang suka makan aiskrim. – Memang Encik Lim akan menjadi pengurus syarikat. |
lagi | – Kereta api dari Singapura belum tiba lagi. – Hujan turun lagi pada sebelah malam. |
Dapatkan buku pembelajaran ini dengan klik Di Sini.