Kata Bilangan: Takrifan & Contoh Ayat

Kata bilangan merupakan salah satu pembelajaran yang mesti dikuasai murid dalam subjek Bahasa Melayu.

Berikut merupakan takrifan mengenai kata ini serta contoh-contohnya.

Takrifan Kata Bilangan

Kata bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung sesuatu frasa nama seperti orang, bintang, benda dan perkara.

Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata ini merujuk kepada sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah pada frasa nama.

Dalam erti kata lain, kata ini menerangkan bilangan atau jumlah.

Jenis Kata Bilangan

Terdapat 6 jenis kata ini iaitu:

  • Himpunan
  • Tak Tentu
  • Tingkat
  • Pecahan
  • Pisahan
  • Tanya

i) Himpunan

Kata bilangan ini menunjukkan bilangan yang tertentu secara himpunan.

Ia juga boleh diikuti dengan penjodoh bilangan.

Contoh ayat jenis ini adalah seperti berikut:

  • “Abu mempunyai dua ekor kambing”: Perkataan dua merupakan kata bagi jenis himpunan bagi merujuk kepada kambing.
  • “Kebun Pak Abu menghasilkan berbakul-bakul durian setiap tahun”: Perkataan berbakul-bakul adalah himpunan kepada perkataan durian dalam ayat tersebut.

ii) Tak Tentu

Jenis kata bilangan ini menunjukan bilangan yang tidak tentu.

Contohnya adalah seperti di bawah:

  • Segala maklumat akan dikumpulkan”: Perkataan segala merupakan perkataan tak tentu merujuk kepada perkataan maklumat.

iii) Tingkat

Jenis ini merujuk kepada giliran atau urutan dalam sesuatu jumlah.

Contohnya adalah seperti berikut:

  • “Abu mendapat tempat ketiga sahaja dalam peraduan melukis”: Perkataan ketiga adalah giliran atau urutan yang merujuk kepada kedudukan yang diperoleh dalam peraduan tersebut.

iv) Pecahan

Jenis kata ini menunjukkan bilangan berbentuk pecahan.

Contohnya adalah seperti di bawah:

  • “Hanya sepertiga ibu bapa murid Tahun Enam yang hadir ke majlis itu”: Perkataan sepertiga menunjukkan bentuk pecahan bagi kehadiran ibu bapa yang hadir di dalam ayat tersebut.

v) Pisahan

Jenis ini berkaitan menyatakan sesuatu secara satu per satu atau berasingan.

Contoh ayat adalah seperti di bawah:

  • Setiap orang dikehendaki membayar yuran sekolah dengan segera”: Perkataan setiap merujuk perkara secara per satu bagi orang.

vi) Tanya

Jenis kata ini merujuk kepada mengetahui ukuran ataupun pengiraan sesuatu dalam ayat tanya.

Contohnya adalah seperti berikut:

  • Berapakah harga baju ini?”: Perkataan berapakah digunakan untuk mengetahui ukuran baju dalam ayat tersebut.

    Sumber: Pandai

    Bantu kami share artikel ini: