Kain Sutera – Jenis, Cara Penjagaan & Hukum Memakainya

KAIN SUTERA
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Kain Sutera – Jenis, Cara Penjagaan & Hukum Memakainya

Kain sutera telah lama menjadi simbol kemewahan dan keanggunan dalam dunia tekstil. Dengan kilauan semula jadi, kelembutan luar biasa, dan sejarahnya yang kaya, kain sutera tetap menjadi pilihan utama mereka yang ingin tampil elegan dengan sentuhan yang mewah.

Artikel kali ini akan membawa anda menyelami dunia kain sutera, menjelaskan apa itu kain sutera, jenis-jenisnya, kegunaannya, serta hukum pemakaiannya untuk lelaki. 

Jom baca.

BACA JUGA: Kain Batik Malaysia – Keunikan dan Perbezaan dengan Batik Indonesia

Apa Itu Kain Sutera?

Kain sutera atau dalam bahasa Inggeris disebut “silk” adalah sejenis kain yang diperbuat daripada serat protein semula jadi yang dihasilkan oleh larva ulat sutera, terutamanya spesies Bombyx mori. Serat ini dihasilkan melalui proses pembentukan kepompong oleh ulat sutera. 

 Apa yang menjadikan kain sutera istimewa adalah kehalusannya yang luar biasa, serta kilauan semula jadi yang menjadikannya satu daripada kain paling premium di dunia. 

Kilauan kain sutera tercipta kerana struktur prisma segitiga dalam gentian yang membias cahaya pada pelbagai sudut, menjadikannya unik berbanding fabrik lain.

Selain itu, sutera juga terkenal dengan sifat penyerapan kelembapan yang baik, menjadikannya selesa dipakai dalam pelbagai cuaca. Kain sutera telah digunakan sejak zaman dahulu kala, menjadi simbol status sosial dan keanggunan. 

Sehingga kini, ia masih menjadi pilihan utama dalam industri fesyen dan seni jahitan, menawarkan pesona yang tidak lapuk oleh zaman.

Jenis-jenis dan Bahan Asal

Kain sutera terdiri daripada pelbagai jenis, setiap satunya mempunyai ciri-ciri unik tersendiri yang mempengaruhi kegunaannya dalam industri fesyen dan tekstil. Pemilihan jenis sutera bergantung kepada tujuan penggunaan dan kesan akhir yang diinginkan.

Berikut adalah beberapa jenis sutera yang popular:

1. Sutera Mulberry

Sutera mulberry memang merupakan jenis sutera yang paling premium dan terkenal. Ia dihasilkan daripada ulat sutera Bombyx mori yang memakan daun pokok mulberi. 

Ciri-cirinya termasuk serat yang panjang, licin, dan sangat lembut. Kilauan semula jadinya yang luar biasa menjadikannya pilihan utama untuk pakaian mewah. 

2. Sutera Tussah

KAIN SUTERA

Juga dikenali sebagai sutera liar, sutera tussah dihasilkan oleh ulat sutera liar yang memakan pelbagai jenis daun seperti oak dan juniper. Teksturnya lebih kasar berbanding sutera mulberry, tetapi masih memberikan rasa mewah. Warnanya cenderung keemasan atau kecoklatan. 

3. Sutera Eri

KAIN SUTERA

Sutera eri dihasilkan daripada ulat sutera Samia ricini yang memakan daun pokok castor. Ia lebih tebal dan tahan lama berbanding jenis sutera lain. Sutera eri sering digunakan untuk pakaian kasual dan aksesori kerana sifatnya yang lebih kuat. 

4. Sutera Ahimsa

KAIN SUTERA

Dikenali juga sebagai “sutera tanpa kekejaman” atau “sutera perdamaian”, sutera ahimsa dihasilkan tanpa membunuh ulat sutera. Proses ini menghasilkan kain yang lebih lembut dan mesra alam, walaupun seratnya lebih pendek. 

5. Sutera Taffeta

KAIN SUTERA

Jenis sutera ini mempunyai permukaan yang mengkilap dan tekstur yang lembut. Ia sering digunakan untuk pakaian formal seperti gaun malam. 

6. Sutera Mentah (Raw Silk)

KAIN SUTERA

Raw silk memiliki permukaan mengkilap dengan tekstur yang tidak rata atau berserat. Ia terbuat daripada 100% serat sutera, menjadikannya sangat mewah dan mahal. 

7. Sutera Dupioni

KAIN SUTERA

Dupioni silk mempunyai permukaan yang kusut dengan corak seperti hujan gerimis. Ia lebih tebal dan harganya lebih mahal berbanding beberapa jenis sutera yang lain.

8. Thai Silk

KAIN SUTERA

Thai silk terkenal dengan kilauan mewah dan tekstur lembut yang tidak kaku, menjadikannya sangat selesa dipakai. 

Kegunaan Kain Sutera

Kain sutera bukan sahaja terkenal dalam dunia fesyen, tetapi juga mempunyai pelbagai kegunaan yang menjadikannya bahan pilihan dalam banyak industri. 

Berikut adalah beberapa kegunaan utama sutera:

1. Pakaian dan Aksesori
Sutera sering digunakan dalam pembuatan pakaian mewah seperti gaun malam, pakaian perkahwinan, dan pakaian tradisional. 

KAIN SUTERA

Kehalusan dan kilauan kain sutera menjadikannya pilihan utama untuk pakaian yang memerlukan penampilan elegan dan sofistikated. Selain itu, sutera juga digunakan untuk membuat aksesori seperti selendang, tali leher, dan tudung.

2. Perabot dan Dekorasi Rumah
Kain sutera digunakan dalam pembuatan perabot seperti langsir, sarung kusyen, dan penutup tilam. Ia memberikan sentuhan mewah dan elegan kepada ruang tamu dan bilik tidur, serta memberikan kilauan yang menarik dalam pencahayaan.

Selain itu, sutera juga sering digunakan untuk membuat sarung bantal yang dipercayai membantu menjaga kelembapan kulit dan mengurangkan kekusutan rambut semasa tidur.

3. Perubatan Tradisional
Dalam perubatan tradisional, kain sutera kadang-kadang digunakan untuk tujuan terapeutik, terutama dalam rawatan yang melibatkan sifat anti-alergi dan kelembutannya yang sesuai untuk kulit sensitif.

4. Perhiasan dan Barang Kraf
Kain sutera sering digunakan dalam pembuatan barang kraf seperti sulaman, beg tangan, dan hiasan dinding. Keupayaan sutera untuk disulam dengan corak yang indah menjadikannya bahan yang sangat dicari dalam seni dan kraf tangan.

5. Hadiah dan Cenderahati
Kain sutera juga sering dijadikan hadiah atau cenderahati kerana nilainya yang tinggi dan sifatnya yang eksklusif. Pembalut hadiah dari sutera atau sapu tangan sutera adalah pilihan popular dalam budaya-budaya tertentu.

Hukum Memakai Sutera untuk Lelaki

Merujuk kepada penjelasan Mufti WP, secara asasnya, hukum lelaki memakai sutera adalah HARAM. 

Hal ini berdasarkan  sabda Nabi SAW yang bermaksud:  “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya”. –  Riwayat al-Nasa’ie (5163)

Pengecualian untuk Lelaki yang Mempunyai Penyakit Kulit

Pengecualian bagi kaum lelaki  untuk  membolehkan memakai  kain sutera  disebabkan penyakit kulit berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik R.A: 

رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلزُّبَيْرِ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ فِي لُبْسِ الْحَرِيرِ لِحِكَّةٍ بِهِمَا

Maksudnya: Nabi  SAW memberikan kelonggaran untuk Zubair dan Abd Rahman untuk memakai sutera karana penyakit gatal yang mereka derita (Riwayat al-Bukhari  5829 Muslim 2076)

Tidak Boleh Melebihi 50% 

Sekiranya t-shirt yang dipakainya bercampur dengan kain sutera pada kadar 50%  sama banyak dengan kadar material kain lain atau campuran sutera kurang 50% maka pakaian tersebut dibenarkan bagi kaum lelaki memakainya. 

Sebaliknya, sekiranya kadar campuran kain sutera lebih banyak atau kadarnya melebihi 50%, daripada ,material lain, maka  pakaian t-shirt tersebut HARAM dipakai. 

Justeru,  para pengguna terutamanya kaum lelaki perlu mengambil cakna  dan memastikan pakaian dibeli  tidak bercampur sutera  melebihi 50%.

BACA JUGA: Majlis Aqiqah – Hukum, Syarat Sah, Aturcara Majlis & Doa

Penggunaan Sutera Selain daripada Pakaian 

Apakah hukum mengambil sutera sebagai alas untuk solat atau duduk dan sebagainya?

Hukum menggunakan sutera sebagai selimut, cadar atau alas untuk solat adalah seperti hukum memakai sutera iaitu diharamkan bagi lelaki dan diharuskan bagi wanita. 

Ini adalah pandangan jumhur ulama’ daripada mazhab Syafi’e, Maliki dan Hanbali. (Rujuk: Umdah Al-Qari’ Syarh Sahih Al-Bukhari, 22/13-14; Al-Iqna’, 1/198, Kasysyaf al-Qina’, 1/273).

Bagi lelaki yang memakai sutera atau menggunakannya sebagai alas untuk solat, dia menanggung dosa kerana melakukan perbuatan yang haram tetapi solatnya tetap sah di sisi jumhur ulama’. Hal ini kerana perkara tersebut tidak memberi apa-apa kesan dari sudut sah dan batalnya solat mengikut hukum syarak. 

Allah menjanjikan kenikmatan di syurga yang lebih abadi bagi kaum lelaki yang meninggalkan larangan tersebut di dunia, sebagaimana firman Allah S.W.T:

عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُندُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِن فِضَّةٍ وَسَقَاهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا

Maksudnya: “Mereka di dalam syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat daripada sutera halus dan sutera tebal (yang bertekap), serta mereka dihiasi dengan gelang tangan daripada perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih dan suci.” – (Surah al-Insan: 21)

Cara Penjagaan Kain Sutera

Kain sutera memerlukan penjagaan yang teliti kerana kehalusan dan sifat semula jadinya yang istimewa. Untuk memastikan kain sutera tetap tahan lama dan tidak rosak, berikut adalah beberapa tips penjagaan yang perlu diambil perhatian:

1. Cucian yang Betul
Kain sutera perlu dicuci dengan teliti untuk mengelakkan kerosakan pada seratnya. Sebaiknya, cuci dengan tangan menggunakan air sejuk dan sabun lembut yang khas untuk kain halus.

Jika menggunakan mesin basuh, pastikan memilih mode pencucian lembut dan gunakan beg cucian untuk melindungi kain. Elakkan mencuci sutera dengan air panas kerana ia boleh merosakkan seratnya.

2. Pengeringan dengan Cara yang Betul
Jangan sesekali memerah kain sutera dengan kuat atau menggunakan pengering mesin. Sebaliknya, biarkan kain ditapis air secara perlahan dan kemudian lap dengan tuala bersih.

Jemur kain sutera di tempat yang teduh dan jauh dari sinar matahari langsung untuk mengelakkan warna kain pudar dan serat menjadi rapuh.

3. Guna Produk Khas
Untuk mengekalkan keindahan kain sutera, elakkan daripada menggunakan produk pembersih yang keras atau peluntur. Sebaliknya, gunakan produk yang direka khusus untuk bahan halus. Ini akan membantu mengekalkan kelembutan dan kilauan semula jadi sutera.

4. Penyimpanan dengan Betul
Apabila tidak digunakan, simpan kain sutera di dalam beg kain atau sarung pelindung yang membenarkan kain bernafas. Jangan simpan kain sutera dalam plastik kerana ini boleh menyebabkan kain terperangkap kelembapan dan menyebabkan pertumbuhan kulat. Letakkan kain sutera di tempat yang kering dan sejuk untuk mengelakkan kerosakan akibat kelembapan.

5. Pengilapan dan Seterika
Jika perlu untuk menyeterika kain sutera, pastikan seterika berada pada suhu rendah. Gunakan kain penutup atau kain pelindung di antara seterika dan sutera untuk mengelakkan permukaan kain terbakar atau kilauannya hilang. Sebaiknya, seterika kain sutera ketika kain sedikit lembap untuk menghasilkan hasil yang lebih baik.

BACA JUGA: Bagaimanakah Cara Kira Umur Kucing?

Penutup

Kehalusan, kilauan, dan keselesaan yang ditawarkan kain sutera membuatkan kain ini kekal menjadi simbol kemewahan yang tak lapuk dek zaman. Dalam memilih kain sutera, pastikan anda memilih jenis yang tepat untuk kegunaan anda, dan hargailah nilai sejarah serta budaya yang terkandung dalam setiap helaiannya. 

Rujukan:

  1. AL-KAFI # 1752 : HUKUM LELAKI MEMAKAI PAKAIAN BERCAMPUR SUTERA
  2. Tekstil ID
  3. Wawantailor
  4. Wikipedia
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut