8 Jenis Kain Cotton Yang Popular di Pasaran

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Kain cotton merupakan pilihan fabrik yang sangat popular di Malaysia. Berasal dari serat kapas, jenis fabrik ini mempunyai pengudaraan yang baik dan sangat sesuai untuk dipakai dengan iklim cuaca yang panas dan lembap seperti di Malaysia.

Selesa dan mudah menyerap peluh, kain ini juga sering menjadi pilihan untuk dijadikan pakaian tradisional sehari-harian antaranya baju kurung Kedah, baju kurung dan Kebaya.

Sumber : Carousell

Walaupun cirinya sedikit keras, kain yang mudah untuk dicuci ini turut sesuai untuk dijadikan blaus, jubah, selimut, cadar dan sebagainya.

Selain kain cotton asli, terdapat juga beberapa jenis kain cotton dan kain yang mengandungi dihasilkan dengan campuran cotton.

Ia juga boleh dijumpai dalam pelbagai rekaan corak dari yang ringkas seperti petak dan jalur sehinggalah ke corak bunga-bungaan kecil dan sebagainya.

Mungkin ada yang keliru untuk memilih jenis fabrik cotton apa yang sesuai mengikut keperluan.

Jadi, ayuh kita kenali beberapa jenis kain cotton lain.

1. Cotton Jepun

Sumber : bajusedondon.com

Merupakan jenis kain cotton yang paling eksklusif, Cotton Jepun mempunyai sifat yang lebih halus dan ringan.

Sekilas pandang, ia mungkin nampak seperti kain cotton biasa, namun jika diperhatikan dengan teliti, ia mempunyai ciri khusus seperti bahagian sisi hujung yang ditulis ‘Japan Design’ atau terdapat kod warna pada kain tersebut.

Cotton Jepun juga berharga lebih tinggi berbanding fabrik berasaskan cotton lain di pasaran, mempunyai warna yang lebih awet serta tahan lama.

Ia juga selesa untuk dipakai kerana mampu menyerap peluh dengan baik.

Cotton Jepun sesuai untuk dijadikan blaus, gaun, jubah, telekung dan sebagainya.

2. English Cotton  

Sumber : Shopee

Kain English cotton adalah sederhana tebal namun tidak mudah berkedut dan senang digosok. Ia turut menjadi pilihan ramai kerana tidak berbulu walaupun setelah dibasuh berkali-kali.

3. Crepe Cotton

kain cotton
Sumber : Amazon

Juga memiliki ketebalan yang sederhana, Crepe Cotton sesuai untuk penggemar pakaian ringkas kerana ia mudah dijaga dan sukar berkedut.

4. Cotton Paris

Sumber : Shopee

Cotton Paris pula mempunyai ciri yang hampir sama dengan Cotton Jepun namun lebih nipis. Fabrik ringan dan mudah menggerbang ini biasanya digunakan untuk tudung, jubah dan blaus wanita.

5. Cotton Silk

kain cotton
Sumber : Andaaz Fashion Malaysia

Cotton Silk hadir dalam 2 variasi iaitu nipis dan tebal. Kain ini boleh dikenalpasti melalui beberapa ciri-ciri seperti permukaan kain yang lebih berkilat dan tahan lama walaupun sering dicuci.

Harganya pula sedikit mahal berbanding cotton biasa.

Walau bagaimanapun, kain ini masih tidak boleh menandingi harga Cotton Jepun.

6. Cotton Minyak

Kain jenis ini mempunyai permukaan yang agak berkilap seakan minyak. Kilapnya pula berbeza dengan Cotton Silk.

Walau bagaimanapun, kilapnya akan berkurang setelah kain dicuci beberapa kali. Ia juga mempunyai daya serapan peluh yang baik dan mempunyai harga yang sama dengan cotton biasa.

7. Cotton Chiffon

kain cotton
Sumber : Amazon

Kain cotton chiffon diperbuat daripada campuran kapas dan sintetik fiber. Memiliki tekstur yang lembut, beralun dan ringan, fabrik ini sesuai untuk dibuat gaun, pakaian dalam serta pakaian tradisional serta moden.

Cirinya yang nipis juga membuatkan kain ini tidak panas dan selesa buat si pemakai.

8. Swiss Cotton

Sumber : Saroj Fabrics

Swiss Cotton juga mempunyai ramai penggemarnya kerana material fabrik yang lembut tetapi tebal. Ia juga tahan lasak dan tidak kecut walaupun setelah dibasuh.

Ia juga tidak mudah renyuk dan senang diseterika.

Setiap jenis kain cotton mempunyai kelebihan tersendiri. Dengan panduan ini, anda bolehlah memilih mengikut keperluan dan bajet.

Anda juga boleh bertanyakan pada orang yang lebih arif dalam bab fabrik seperti tukang jahit dan pengedar kain bagi mendapatkan kain yang paling sesuai.

Sumber : VinusaK Cehrolina, Dhia Cotton, Harian Metro

Baca Juga : Kain Batik Malaysia : Keunikan dan Perbezaan dengan Batik Indonesia

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut