Kain batik seni warisan tempatan yang tidak asing lagi di Malaysia. Ia merujuk kepada seni hasil kraf kerja tangan sepenuhnya atau sebahagiannya dengan warna, corak serta motif yang pelbagai di permukaannya.
Proses pembuatan batik biasanya melibatkan penggunaan lilin batik atau bahan serta teknik halangan warna bagi menghasilkan corak yang menarik.
Asal Usul Batik Malaysia
Berdasarkan perkongsian daripada Jabatan Warisan Negara, batik merupakan busana yang berasal dari Indonesia.
Namun, ia dipercayai telah pun wujud sejak 2000 tahun dahulu di Mesir dan Parsi.
Seiring dengan peralihan masa, budaya ini telah diserap ke dalam masyarakat Melayu pada sekitar abad ke-19 apabila Perusahaan batik dimulakan oleh Perusahaan Batik Minah Pelangi yang terletak di Kuala Tererengganu.
Perusahaan ini kemudiannya telah dikembangkan ke Kelantan oleh Haji Che Su bin Ishak yang memulakannya sekitar 1911.
Awalnya, batik di Malaysia hanya berwarna biru dan hitam serta dihasilkan melalui teknik ikat dan celup yang dikenali sebagai “Batik Pelangi”.
Walau bagaimanapun, corak batik semakin berkembang kepada motif organik, geometrik serta rekaan moden yang indah.
Motif organik yang dimaksudkan adalah berasaskan bunga-bungaan, dedaun, ungags dan sebagainya.
Sementara itu, motif geometrik pula merujuk kepada kisi-kisi, jalur-jalur dan sebagainya.
Kini, batik turut dihasilkan dalam pelbagai bentuk seperti batik tulis, batik celup, batik terap dan batik skrin.
Proses penghasilannya yang tersendiri menjadikan setiap kain batik Malaysia cukup unik sehingga mendapat tumpuan dalam dunia tekstil dan fesyen masa kini.
Kini kain batik tidak sahaja dipakai oleh wanita, malah rekaannya turut dipelbagaikan untuk kesesuaian pengguna lelaki.
Perbezaan Batik Lelaki dan Perempuan Serta Kegunaannya
Batik Lelaki
Batik lelaki biasanya boleh dilihat menerusi pakaian kemeja yang sering digayakan dalam majlis formal dan majlis keramaian.
Biasanya, corak geometri dengan motif dan warna yang sederhana sering dipilih untuk diolah menjadi busana batik lelaki.
Pekerja di sektor awam turut diwajibkan untuk memakainya pada setiap hari Khamis.
Batik Perempuan
Selain boleh ditemui dalam rekaan geometri, batik perempuan juga biasanya mempunyai rekaan corak flora yang lebih besar dan jelas.
Gabungan warnanya pula lebih menyerlah dan pelbagai berbanding batik lelaki.
Untuk para wanita, kain batik biasanya digunakan sebagai kain sarung dan basahan di rumah.
Namun, kini terdapat pelbagai rekaan kain batik yang sesuai untuk diolah kepada baju seperti baju kurung dan kebaya.
Kain Batik Malaysia vs Indonesia
Sesetengah orang mungkin sukar untuk membezakan batik tempatan dan batik dari negara jiran iaitu Indonesia.
Ayuh kita semak beberapa perbezaannya.
Batik Malaysia | Batik Indonesia |
Banyak menggunakan unsur bunga dan geometri. | Banyak menggunakan unsur berkaitan kebudayaan dan tradisi warisan. |
Menggunakan rangka khas untuk mencanting batik | Tidak menggunakan rangka khas untuk hasilkan corak yang lebih halus |
Corak batik lebih besar dan berwarna lebih terang | Corak batik lebih tradisional, halus dan banyak menggunakan warna gelap seakan warna tanah (hitam, emas, perang). |
Memang tak dinafikan bahawa kain batik sama ada dari Malaysia mahupun Indonesia mempunyai keindahan dan keunikannya tersendiri.
Namun, siapa lagi yang seharusnya menyokong industri batik tempatan selain kita sendiri?
Tambahan pula, adalah tanggungjawab rakyat Malaysia untuk menghargai serta memartabatkan batik sebagai seni warisan tempatan.
Sumber : Jabatan Warisan Negara, Omar Ali, The Patriots, Dewan Budaya