IUCD: Pilihan Perancang Kehamilan Paling Efektif dan Tahan Lama

iucd
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

IUCD atau Intrauterine Contraceptive Device merupakan salah satu kaedah perancang kehamilan yang paling berkesan dan praktikal digunakan oleh wanita di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Dengan kadar kelahiran yang masih aktif dalam kalangan pasangan muda, semakin ramai wanita mencari alternatif perancangan keluarga yang tahan lama, tidak memerlukan rutin harian, dan selamat digunakan untuk jangka masa panjang.

Artikel ini akan mengupas segala yang anda perlu tahu tentang kelebihan, cara penggunaan, dan risiko yang berkaitan dengan IUCD.

Baca juga: Cara Memakai Kondom Dengan Betul – Elak Tertanggal atau Terkoyak!

Apa itu IUCD

IUCD atau perantai kontraseptif dalam rahim (juga dikenali sebagai IUD) ialah satu kaedah pencegahan kehamilan yang sangat berkesan dan bersifat jangka panjang.

Ia melibatkan pemasangan sejenis alat kecil berbentuk T, yang diperbuat daripada plastik atau kuprum, ke dalam rahim bagi menghalang kehamilan.

Kaedah ini sesuai digunakan sebagai perlindungan jangka panjang kerana keberkesannnya boleh bertahan antara 5 hingga 10 tahun, bergantung kepada jenis IUCD yang digunakan.

Jenis-jenis IUCD

Terdapat dua jenis IUCD yang boleh dipilih mengikut keperluan individu, iaitu:

  • IUD hormon (Levonorgestrel)
  • IUD kuprum
iucd
Kredit: Women’s Health Specialist

IUD hormon (Levonorgestrel) melepaskan hormon progestin secara perlahan-lahan ke dalam rahim.

Hormon ini bertindak dengan menebalkan mukus serviks bagi menghalang kemasukan sperma dan menipiskan lapisan dinding rahim ahar tidak sesuai untukk penempelan telur yang disenyawakan.

Sementara itu, IUD kuprum tidak mengandungi hormon dan sesuai untuk individu yang memilih kaedah tanpa hormon atas sebab peribadi atau kesihatan.

Kuprum yang dileapskan daripada alat ini mengubah mukus serviks dan persekitaran rahim, sekaligus menyukarkan sperma untuk menyuburkan telur.

IUCD menawarkan pilihan kontraseptif yang praktikal, berkesan dan tahan lama bagi wanita yang ingin merancang kehamilan tanpa penggunaan harian.

Fahami Fungsi IUCD

  • Mencegah kehamilan: Menghalang persenyawaan telur oleh sperma.
  • Memberi perlindungan jangka panjang: Boleh bertahan antara 5 hingga 10 tahun bergantung kepada jenis IUCD.
  • Mengubah mukus serviks: Menjadikan mukus lebih tebal dan sukar ditembusi sperma.
  • Menipiskan lapisan dinding rahim: Menghalang penempelan telur yang telah disenyawakan (untuk IUCD hormon).
  • Membunuh atau menghalang pergerakan sperma: Kuprum dalam IUCD mencipta persekitaran yang tidak sesuai untuk sperma.
  • Tidak mengganggu kesuburan secara kekal: Kesuburan kembali pulih sejurus selepas ia dikeluarkan.
  • Alternatif kepada kontraseptif harian atau berkala: Tidak memerlukan pengguna mengingatinya setiap hari seperti pil perancang.
  • Tidak mengandungi hormon (untuk IUCD kuprum): Sesuai untuk wanita yang sensitif terhadap hormon.

Baca juga: Ambil Pil Perancang Untuk Elak Hamil? Ini Cara Makan Yang Betul

Cara Menggunakan IUCD

iucd

Menurut Your Guide to The IUD, cara menggunakan IUD adalah seperti berikut:

1. Semasa Prosedur Pemasangan

    Prosedur pemasangan dilakukan oleh doktor atau jururawat terlatih di klinik atau hospital.

    Pesakit perlu membuka pakaian dari pinggang ke bawah dan berbaring dalam posisi terlentang dengan kaki disandarkan pada penyangga (stirrups).

    Bagi menjaga keselesaan dan privasi, selimut kecil akan diberikan untuk menutup bahagian paha. Doktor akan memulakan dengan pemeriksaan pelvis menggunakan larutan antiseptik.

    Seterusnya, spekulum akan dimasukkan ke dalam faraj bagi memisahkan dindingnya supaya doktor dapat melihat serviks dengan lebih jelas.

    IUCD akan dimasukkan perlahan-lahan ke dalam rahim melalui bukaan kecil pada serviks menggunakan alat khas.

    Semasa proses ini, sesetengah wanita mungkin akan mengalami kekejangan seperti senggugut, dan sekiranya rasa sakit terlalu kuat, pesakit digalakkan memaklumkan kepada doktor segera.

    Keseluruhan prosedut biasanya hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.

    2. Selepas Prosedur Pemasangan

    Selepas IUCD dipasang, sesetengah wanita mungkin berasa pening atau ingin pitam jadi adalah disarankan untuk ditemani oleh seseorang ketika pulang ke rumah.

    Walaupun kebanyakkan orang boleh kembali bekerja seperti biasa selepas prosedur, jika anda berasa tidak selesa atau mengalami kekejangan kuat. anda boleh berehat di rumah untuk sehari.

    Normal jika anda mengalami sedikit pendarahan atau tompokan darah (spotting) selama beberapa hari hingga beberapa bulan selepas pemasangan.

    Menurut Planned Parenthood, tompokan ini boleh berlarutan sehingga 3–6 bulan. Pesakit juga perlu bertanya kepada doktor mengenai bila sesuai untuk mula melakukan hubungan seks tanpa perlindungan.

    IUCD tidak melindungi daripada jangkitan kelamin (STI), jadi penggunaan kondom dengan pasangan baru masih diperlukan untuk perlindungan tambahan.

    3. Penjagaan Selepas IUCD Dipasang

    Selepas ia dipasang, penjagaan yang diperlukan adalah sangat minimum, menjadikannya salah satu pilihan kontraseptif yang praktikal.

    Namun, penting untuk mengetahui apa yang normal dan apa yang perlu diawasi selepas prosedur. Berikut ialah panduan penjagaan selepas pemasangan IUCD:

    • Kekejangan ringan dan spotting (tompokan darah) adalah normal dalam beberapa hari hingga minggu selepas pemasangan.
    • Ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen boleh diambil untuk mengurangkan ketidakselesaan.
    • IUCD mempunyai benang halus yang tergantung dalam faraj – digunakan oleh doktor untuk mengeluarkannya kelak.
    • Elakkan menarik atau menyentuh benang kerana ia boleh mengganggu kedudukan IUCD atau menyebabkan ia tertanggal.
    • Sesetengah wanita boleh merasai benang tersebut dengan jari, tetapi biarkan sahaja selagi tiada ketidakselesaan.
    • Jika pasangan anda boleh rasa benang semasa hubungan seks atau ia mengganggu, doktor boleh potong benang lebih pendek.
    • IUCD boleh tertanggal sendiri dalam kes yang jarang berlaku – risiko ini lebih tinggi dalam beberapa bulan pertama.
    • Jika IUCD tertanggal, jangan lakukan hubungan seks tanpa perlindungan dan hubungi doktor segera.

    Baca juga: 23 Tanda Tanda Awal Kehamilan Paling Umum, Bakal Ibu Perlu Tahu

    Keberkesanan IUCD pada Wanita

    IUCD merupakan antara kaedah perancangan kehamilan yang paling berkesan di dunia. Dengan kadar keberkesanan melebihi 99%, hanya 1 daripada 100 wanita yang menggunakan IUCD akan hamil dalam setahun.

    Keberkesanan ini jauh lebih tinggi berbanding kaedah lain seperti pil perancang atau kondom, kerana penggunaannya tidak bergantung kepada rutin harian atau cara penggunaan yang betul.

    Kelebihan vs Kekurangan IUCD

    Kelebihan IUCDKekurangan IUCD
    Keberkesanan tinggi – lebih 99%Boleh menyebabkan kekejangan dan sakit semasa atau selepas pemasangan
    Perlindungan jangka panjang (3–12 tahun)Mungkin menyebabkan tompokan darah, haid tidak teratur atau lebih banyak (terutama IUCD kuprum)
    Tidak perlu diingati setiap hariTidak melindungi daripada jangkitan kelamin (STI)
    Tidak mengganggu kesuburan – boleh hamil semula selepas dikeluarkanRisiko kecil IUCD tertanggal atau berganjak dari tempat asal
    Sesuai untuk wanita yang tidak boleh atau tidak mahu guna hormon (IUCD kuprum)Prosedur pemasangan memerlukan doktor dan boleh jadi tidak selesa
    Boleh digunakan semasa menyusuRisiko kecil komplikasi seperti jangkitan atau kerosakan rahim
    Tiada interaksi dengan ubat lainTidak semua wanita serasi – sesetengah mungkin mengalami kesan sampingan hormon atau fizikal
    Kaedah senyap – tidak mengganggu aktiviti harian atau hubungan seksPerlu pemeriksaan jika berlaku masalah seperti benang terlalu panjang atau tidak dapat dirasai

    Risiko dan Bahaya

    IUCD jenis kuprum dan hormon boleh menyebabkan kesan sampingan, namun kebanyakannya akan hilang selepas beberapa bulan.

    Kesan sampingan IUCD hormon termasuk:

    • Tompokan darah (spotting)
    • Haid tidak teratur, terlepas haid, atau tiada haid langsung
    • Sakit kepala
    • Perut kembung
    • Loya
    • Payudara berasa sakit
    • Perubahan saiz payudara
    • Perubahan emosi atau mood swings
    • Rasa murung atau kemurungan
    • Kurang nafsu seks
    • Peningkatan berat badan

    Namun, tidak semua wanita akan mengalami kesan sampingan ini, dan sesetengahnya mungkin tidak mengalami apa-apa kesan langsung.

    Kesan sampingan IUCD kuprum termasuk:

    • Sakit atau kekejangan di perut
    • Sakit belakang
    • Haid yang lebih panjang dan banyak
    • Kitaran haid tidak teratur
    • Tompokan darah di luar waktu haid

    Komplikasi yang jarang berlaku:

    • IUCD tertanggal dari rahim secara sendiri
    • Masalah akibat IUCD hormon seperti tekanan darah berubah atau risiko darah beku
    • Kehamilan luar rahim (ectopic pregnancy)
    • Jangkitan selepas pemasangan IUCD
    • Penyakit radang pelvis (PID), jika sudah ada jangkitan sebelum IUCD dipasang
    • Kerosakan pada dinding rahim

    Orang yang mempunyai sejarah penyakit jantung, merokok, atau berumur lebih 35 tahun berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi daripada IUCD hormon.

    Bila Perlu Jumpa Doktor

    Selepas pemasangan IUCD, penting untuk pantau keadaan tubuh dan mengenal pasti tanda-tanda yang memerlukan perhatian perubatan segera.

    Walaupun kebanyakkan wanita hanya mengalami kesan sampingan ringan, terdapat beberapa situasi di mana seseorang perlu berjumpa dengan segera.

    Jika anda mengalami demam melebihi 101°F (sekitar 38.3°C), menggigil, kekejangan yang sangat kuat atau tidak tertanggung, sakit tajam di bahagian perut, atau pendarahan yang sangat banyak dalam tempoh terdekat selepas IUCD dipasang, ini mungkin petanda jangkitan atau komplikasi serius dan perlu rawatan segera.

    Selain itu, terdapat beberapa gejala lain yang boleh muncul bila-bila masa selepas pemasangan IUCD dan juga memerlukan pemeriksaan doktor, antaranya:

    • Haid terlepas atau tidak datang seperti biasa, terutamanya jika anda menggunakan IUCD kuprum (yang sepatutnya tidak mengganggu kitaran haid).
    • Keputusan ujian kehamilan di rumah yang positif – ini boleh jadi tanda kehamilan luar rahim.
    • IUCD tertanggal atau kelihatan keluar dari serviks – jika anda dapat rasa alat itu berada di luar kedudukan

    Pemantauan awal dan tindakan pantas penting bagi mengelakkan komplikasi lanjut dan memastikan ia kekal berfungsi dengan selamat.

    Kesimpulan

    Kesimpulannya, IUCD merupakan merupakan pilihan perancang kehamilan yang sangat berkesan, tahan lama dan mudah digunakan tanpa perlu komitmen harian.

    Ia sesuai untuk wanita yang inginkan perlindungan jangka panjang serta mahu merancang keluarga dengan lebih fleksibel.

    Namun, seperti kaedah lain, penting untuk memahami kelebihan dan risikonya sebelum membuat keputusan.

    Dapatkan nasihat daripada doktor untuk memastikan IUCD sesuai dengan keperluan dan kesihatan anda.

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut