Anda suka makan ikan tenggiri? Isi ikan ini lembut, berderai dan agak berminyak berbanding ikan laut lain.
Ia juga sesuai untuk dijadikan ramuan utama bagi hidangan lazat seperti asam pedas, kari, laksa dan sebagainya.
Ikan yang turut dikenali dengan nama Spanish Mackerel ini mengandungi pelbagai khasiat, vitamin serta mineral untuk kesihatan tubuh.
Ayuh kita semak kelebihannya bersama-sama.
Khasiat Ikan Tenggiri Untuk Kesihatan
1. Padat Dengan Lemak Sihat
Ikan tenggiri tergolong dalam kategori ikan yang kaya dengan khasiat lemak asid omega-3.
The American Heart Association mencadangkan pengambilan ikan yang kaya dengan lemak sihat ini sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Lemak sihat ini juga didapati berpotensi untuk mengurangkan tekanan darah serta menurunkan paras kolesterol secara berkesan.
Di samping itu, diet yang kaya dengan asid lemak omega-3 ini juga dapat membantu mengekalkan kesihatan jantung seseorang dalam jangka masa panjang.
2. Menyokong Kesihatan Otak
Selain baik untuk jantung, kandungan omega-3 dalam ikan seperti tenggiri juga memainkan peranan penting bagi perkembangan otak.
Sebuah kajian turut menunjukkan bahawa pengambilan ikan dengan khasiat omega-3 dapat mengurangkan risiko bagi masalah mental seperti kemurungan, bipolar disorder dan autisme.
3. Sumber Protein Yang Baik
Memetik Dietitian KKM, setiap 100 gram ikan tenggiri mampu membekalkan sehingga 21.5 g protein.
Khasiat protein ini dilihat agak tinggi sedikit daripada beberapa jenis ikan laut lain yang popular seperti ikan kembung (20.9 gram protein per 100 gram) dan ikan parang (20.4 gram protein per 100 gram).
4. Baik Untuk Kekuatan Tulang
Khasiat yang terkandung dalam ikan ini seperti vitamin D, selenium dan kuprum memainkan peranan yang penting bagi kesihatan tulang.
Kekurangan vitamin D sebaliknya boleh mengakibatkan masalah tulang rapuh.
Selenium dan kuprum pula adalah mineral yang penting bagi mengekalkan ketumpatan tulang.
5. Berpotensi Untuk Turunkan Berat Badan
Dengan kadar protein dan lemak sihat yang tinggi, ikan tenggiri didapati berpotensi dalam menurunkan kadar ghrelin iaitu hormon yang membuatkan seseorang cenderung untuk rasa lapar.
Pada masa yang sama, diet yang tinggi kandungan protein dapat membantu seseorang untuk berasa kenyang lebih lama dan sekaligus mengurangkan keinginan untuk makan.
Betulkah Ikan Tenggiri Tak Boleh Dimakan Selalu?
Tidak kiralah betapa banyak kebaikannya, setiap sumber makanan mestilah dimakan pada kadar yang sederhana termasuklah.
Meskipun padat dengan pelbagai khasiat, namun anda tidak digalakkan untuk makan ikan tenggiri terlalu kerap.
Ini disebabkan oleh kandungan merkuri yang tinggi dalam ikan ini.
Berdasarkan Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat (EPA), dua spesis ikan tenggiri iaitu Spanish Mackerel dan King Mackerel tergolong sebagai hidupan laut yang tinggi kandungan merkuri dan perlu dielakkan oleh kanak-kanak, ibu hamil serta ibu yang sedang menyusukan anak.
Bagi yang belum tahu, merkuri ini berpunca daripada pencemaran alam. Dalam kuantiti yang tinggi, bahan kimia ini boleh menyebabkan keracunan pada sistem saraf manusia.
Ikan yang lebih besar dan hidup lebih lama juga didapati mengandungi kandungan merkuri yang lebih tinggi.
Bahan kimia ini juga tidak boleh diasingkan daripada ikan kerana ia sudah sebati di dalam daging mereka.
Oleh itu, anda dinasihatkan untuk makan ikan tenggiri hanya beberapa kali setiap bulan.
Pastikan pilih ikan yang kecil saja ya kerana kandungan merkurinya lebih rendah. Jangan lupa untuk jauhinya daripada ibu hamil, menyusu badan dan kanak-kanak.
Sumber : WebMD, Dietitian KKM, Public Health Malaysia
Baca Juga : Khasiat Ikan Bilis Untuk Kesihatan