Ayuh! Rakyat Malaysia, mari kita raikan bersama-sama Sambutan Hari Malaysia tahun 2024 pada 16 September ini.
Pada tahun ini, sambutan Hari Malaysia akan dilakukan di di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.
Sambutlah Hari Malaysia ini dengan penuh kebanggaan dan jiwa yang penuh semangat patriotisme!
Pengenalan
Tanggal 16 September 1963 adalah merupakan tarikh keramat bagi Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Ini kerana pada tarikh 16 September 1963 telah berlakunya satu peristiwa penting di mana berlakunya pembentukan, pengisytiharan penubuhan Malaysia menjadi sebuah negara baharu.
Bagi mengingati sejarah peristiwa 16 September 1963, rakyat Malaysia akan menyambut Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun.
Pembentukan Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuk tentangan daripada Indonesia dan Filipina, yang memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar misi ke Borneo Utara pada 1963 yang mendapati majoriti rakyat Borneo Utara (kini Sabah) menyokong penubuhan Malaysia.
Sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun perlu dijadikan asas untuk memperingati, menghayati dan memahami sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan Malaysia sebagai negara berdaulat.
Tema Sambutan 2024
Tema Sambutan Hari Malaysia 2024 juga menggunakan tema sama dengan Hari Kebangsaan 2024 iaitu “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”, yang membawa maksud seperti berikut:
Malaysia Madani:
- Merupakan tunjang kepada kemakmuran dan kemajuan negara Malaysia.
- Disokong oleh enam nilai teras utama.
Jiwa Merdeka:
- Menggambarkan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif.
- Menekankan semangat patriotisme dan cinta negara.
- Melibatkan aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi.
- Membentuk satu kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni, dan progresif.
Secara keseluruhannya, Malaysia Madani: Jiwa Merdeka:
- Merupakan perlambangan kesejahteraan secara holistik.
- Menekankan kemajuan dan progresif untuk rakyat berbilang kaum.
- Menyatukan hati dan teguh pada jati diri negara.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.
Sambutan ini akan bermula pada pukul 7 malam, hari Isnin (16 September 2024).
Logo Hari Malaysia 2024
Untuk pengetahuan anda, logo Hari Malaysia yang akan digunapakai pada tahun ini, ialah logo yang sama yang dipakai pada tahun 2023.
Reka bentuk logo ini berteraskan Malaysia Madani ia juga mempunyai corak simbolik disebaliknya. Corak simbolik ini menunjukkan tangan yang sedang diangkat untuk melafazkan ikrar Rukun Negara.
Logo ini juga mengandungi warna-warna asas Jalur Gemilang iaitu warna merah, biru, putih, dan kuning, yang selaras dengan jati diri serta semangat patriotik rakyat Malaysia yang berbilang bangsa hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa
Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan
Seperti yang dinyatakan pada bahagian sebelum ini, sambutan Hari Malaysia ini akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.
Sambutan ini akan bermula pada pukul 7 malam, hari Isnin (16 September 2024).
Acara Sambutan Hari Malaysia 2024
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, dijangkakan 30,000 hingga 40,000 orang dijangka menghadiri sambutan Hari Malaysia 2024 yang akan berlangsung di Padang Merdeka di sini pada 16 Sept ini.
Terdapat pelbagai aktiviti yang bakal diadakan bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2024 ini, antaranya ialah pertunjukan bunga api, persembahan artis tempatan dan sebagainya.
Selain itu, terdapat aktiviti lain di peringkat kebangsaan sebelum hari sambutan ini, contohnya seperti:
- Kembara Riuh Sabah (Riuh Bah! 2024) – 14 & 15 September 2024
- Pertandingan Teka Silang Kata Jiwa Merdeka – 29 Ogos hingga 16 September 2024
Sambutan Hari Malaysia @ KL 2024
Selain sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Sabah, Sambutan Hari Malaysia turut diadakan di Kuala Lumpur.
Terdapat banyak aktiviti menarik diadakan mulai 13 September hingga 16 September 2024.
Antara aktiviti yang diadakan ialah:
- Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur: 13 hingga 16 September (7.00 pagi hingga 11.00 malam)
- Festival Gendang dan Tari Kuala Lumpur 2024 (KL GENTA 2024): 14 September (8.30 malam)
- Gema Selawat Kuala Lumpur: 15 September (8.00 malam)
Semua program ini akan diadakan di Dataran Merdeka.
Maklumat Lanjut
Dapatkan maklumat tambahan berkenaan sambutan ini di laman web Merdeka360.
Baca juga: