Gunung Rinjani yang terletak di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan cabaran pendakian yang menarik.
Namun begitu, beberapa bulan yang lepas negara kita dikejutkan dengan kematian seorang pendaki Malaysia di gunung tersebut, dan baru-baru ini perkara yang sama terjadi ke atas seorang warga negara Brazil di tempat yang sama.
Oleh itu, bagi anda yang ingin mendaki gunung ini, pastikan anda tahu langkah-langkah keselamatan yang perlu anda ambil sebelum anda memulakan perjalanan anda. Berikut kami kongsikan langkah-langkah tersebut dan penerangan serba sedikit tentang gunung ini.
Gunung Rinjani
Untuk pengetahuan anda, Gunung Rinjani ini terletak di Taman Nasional Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Indonesia, dan merupakan gunung berapi kedua tertinggi di negara itu dengan ketinggian sekitar 3,726 meter dari paras laut.
Di puncak gunung ini terdapat satu tasik kawah yang besar yang dinamakan Danau Segara Anak. Menurut sejarah geologi gunung ini, danau ini muncul akibat letusan besar yang telah direkodkan berlaku yang dikenali sebagai letusan Samalas.
Gunung ini juga kaya dengan flora dan fauna seperti Celepuk Rinjani, Monyet, Elang Flores dan Bunga Anggrek, menyebabkan gunung ini menjadi salah satu tempat di Indonesia yang menjadi tarikan orang ramai tidak kira warga Indonesia sendiri ataupun warga luar.
Harga Tiket
Bagi anda yang berminat untuk mendaki gunung renjani ini, anda perlu membeli tiket terlebih dahulu. Berikut merupakan harga tiket:
- Warga Indonesia : Rp. 5.000 (RM 1.3±)
- Warganegara Luar : Rp. 150.000 (RM39 ±)
*NOTA: Jika anda merupakan rakyat luar, pastikan anda membawa passport dan slip bukti kesihatan sewaktu anda di sana nanti.
Laluan Pendaki Gunung Rinjani
Bagi anda yang ingin mendaki gunung ini, terdapat tiga laluan utama yang boleh anda pilih. Selain daripada tiga laluan ini anda tidak dibenarkan sama sekali mencari atau menggunakan jalan pintas. Tiga laluan tersebut ialah:
- Sembalun Route (Timur)
- Ketinggian mula: 1,156m
- Kelebihan:
- Laluan lebih landai di awal (sesuai untuk pemanasan badan)
- Pemandangan terbuka dan luas.
- Pendaki sampai ke puncak (summit) lebih awal berbanding laluan Senaru
- Cabaran:
- Cerun terakhir ke puncak sangat mencabar (curam dan berpasir)
- Tahap kesukaran: Agak Tinggi (8/10), terutama pada bahagian akhir (summit attack)
- Senaru Route (Utara)
- Ketinggian mula: 601m
- Kelebihan: Sesuai untuk pendaki yang ingin ke Segara Anak (tasik kawah) tanpa ke puncak.
- Cabaran: Lebih memenatkan berbanding Sembalun kerana mula dari ketinggian lebih rendah.
- Tahap kesukaran: Tinggi, terutama jika mahu sampai summit dari arah ini
- Torean Route (Alternatif, Barat Laut)
- Ketinggian mula: 700m
- Kelebihan:
- Laluan ini digunakan untuk turun dari Segara Anak ke kampung Torean
- Pemandangan luar biasa: air terjun, sungai panas, batu gunung berwarna
- Cabaran: Curam dan berbahaya ketika hujan
- Tahap kesukaran: Sederhana ke tinggi, bergantung pada cuaca.
Sumber: Edi Arjuna Pencerit
Persediaan Mendaki
Pendakian ke Gunung Rinjani biasanya mengambil masa antara 2 hingga 4 hari, dan berikut merupakan langkah persediaan awal yang perlu anda lakukan sebelum memulakan pendakian anda:
- Persiapan Fizikal
- Pastikan anda berada dalam keadaan fizikal yang baik kerana pendakian memerlukan stamina yang tinggi.
- Peralatan
- Bawa pakaian hangat, kasut mendaki yang sesuai, dan bekalan air yang mencukupi.
- Pemandu dan Porter
- Anda tidak dibenarkan mendaki gunung ini tanpa pemandu dan porter tempatan. Jadi pastikan anda sudah mempunyai pemandu dan porter sebelum memulakan perjalanan anda.
- Masa Pendakian
- Bulan April hingga Oktober adalah bulan terbaik untuk mendaki gunung ini kerana cuaca lebih stabil.
Panduan Keselamatan
Untuk memastikan pendakian yang selamat sewaktu mendaki Gunung Rinjani ini, berikut adalah beberapa panduan keselamatan yang perlu anda patuhi:
- Semak Status Gunung
- Sebelum mendaki, pastikan gunung tidak ditutup akibat aktiviti gunung berapi atau cuaca buruk.
- Maklumat terkini berkenaan status semasa gunung boleh diperoleh daripada pihak Taman Nasional Gunung Rinjani.
- Bawa Peralatan Keselamatan
- Sediakan peralatan keselamatan seperti lampu suluh, peti pertolongan cemas, dan peta laluan sebelum anda memulakan pendakian.
- Ikut Laluan Rasmi
- Jangan cuba mencari laluan pintas kerana ini boleh meningkatkan risiko tersesat atau kecederaan.
- Kekal Hidrasi dan Bertenaga
- Bawa air dan makanan berkalori tinggi untuk mengekalkan tenaga.
- Beritahu Pihak Berkuasa
- Daftar dengan pihak pengurusan taman nasional sebelum memulakan pendakian dan beritahu mereka tentang rancangan anda.
Baca juga: Wajib Tahu! Ini 11 Gunung Tertinggi di Asia Tenggara