Gula merah merupakan antara ramuan yang cukup popular dalam masakan dan manisan. Namun begitu, sesetengah orang mungkin sukar untuk membezakannya dengan jenis gula lain yang mirip seperti gula Melaka, gula perang dan sebagainya.
Gula merah turut dikenali dengan nama lain iaitu gula timbang. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai Muscovado sugar.
Cara Kenali Gula Merah
Mungkin ramai yang keliru untuk membezakan gula ini dengan gula Melaka.
Jika diamati dengan betul, gula merah mempunyai warna coklat kemerahan yang lebih gelap. Gula Melaka pula warnanya lebih terang.
Di samping itu, gula Melaka lebih mudah dikenali di pasaran dengan bentuk silinder.
Sementara itu, gula merah biasanya ditemui dalam bentuk serbuk gula dan sebilangan kecil dijual dalam bentuk bongkah.
Satu lagi perbezaannya adalah gula Melaka diperbuat daripada air nira kelapa, manakala gula timbang boleh dihasilkan daripada tebu atau air nira kelapa.
Untuk menjelaskan rasa gula merah juga agak sukar, pendek kata yang biasa menggunakan gula ini pasti sudah kenal dengan rasanya.
Ia dikatakan mempunyai rasa yang agak pekat, sedikit pahit yang disertai rasa karamel yang kuat.
Disebabkan kandungan molassesnya tinggi, gula timbang juga memiliki tekstur serbuk yang melekit. Sesetengah orang turut menyamakan tekstur gula ini dengan pasir yang lembap.
Bentuk kristalnya juga dilihat lebih kasar berbantuk gula perang dan gula pasir yang berpasir halus.
Gula merah digunakan dalam pembuatan pelbagai kuih tradisional seperti lepat, apam, keria, kuih denderam, kuih kaswi, kuih sarang semut, kuih talam dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, kebanyakan resepi kuih muih ini tetap menggunakan gula pasir bagi mencapai rasa manis dengan lebih mudah.
Memiliki rasa yang lebih kuat berbanding gula lain, gula merah juga sesuai untuk dijadikan pengimbang rasa dalam lauk pauk dan pelbagai jenih kuah dan sos.
Berbanding gula perang dan gula pasir yang mempunyai tekstur yang ringan dan halus, gula ini kurang sesuai untuk digunakan dalam resepi biskut dan kek yang dibakar kerana ia mempunyai kelembapan yang lebih tinggi.
Ini boleh membuatkan adunan sukar untuk mencapai kelikatan yang optimum.
Khasiat Gula Merah
Disebabkan gula ini tidak diproses, ia mengandungi beberapa mineral seperti kalsium, kalium, magnesium dan manganese
Di samping itu, gula timbang yang tinggi kandungan molasses ini turut mengandungi sedikit kebaikan antioksida.
Walaupun gula ini sering dijadikan pengganti gula yang lebih baik disebabkan kandungan mineral serta antioksida, namun ia masih dikira sebagai gula tambahan.
Oleh itu, anda masih perlu berpada-pada ketika menggunakannya dalam penghasilan makanan atau minuman.
Tambahan pula, kandungan kalori bagi gula timbang tidak banyak bezanya berbanding gula pasir.
Menurut data daripada United States Department of Agriculture (USDA), kandungan kalori bagi sesudu gula pasir adalah 16 kalori, manakala gula merah memiliki 15 kalori.
Sumber : WebMD, Twitter Amirul Kalif Syde, blitarkota.co.id
Baca Juga : Gula Nisan Diperbuat Dari Apa? Ini Cara Kenalpasti Yang Asli