Apa Itu Gula Apong Sarawak dan Kegunaannya?

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Beberapa negeri di Malaysia mempunyai gula tempatan yang cukup dibanggakan.

Seperti contoh, Melaka terkenal dengan gula Melaka, gula apong pula merupakan gula yang cukup terkenal dari Sarawak.

Ia dikatakan mempunyai kemanisan yang tersendiri dan mempunyai permintaan yang tinggi dari serata Malaysia.

Berbanding gula Melaka yang sering dijumpai dalam bentuk silinder dan keras, gula apong biasanya dijual dalam bentuk cecair.

Ia boleh ditemui dalam pelbagai jenis bungkusan seperti botol, plastik dan bekas kedap udara.

Ayuh kita kenali produk terkenal dari bumi Kenyalang ini dengan lebih dekat.

Sumber : Lazada

Gula Apong Dari Apa?

Jika gula Melaka dihasilkan daripada air nira kelapa, gula apong pula diperoleh daripada nira pokok nipah.

Ada yang mempercayai bahawa gula ini terhasil daripada ilham orang zaman dahulu sebagai alternatif kepada gula pasir.

Terma ‘apong’ pula merujuk kepada gelaran pokok nipah dalam dialek Melayu Sarawak. Pokok ini boleh dijumpai di sepanjang Sungai Rajang.

gula apong
Sumber : Youtube TV Sarawak

Setelah nira daripada pokok nipah dikumpul, ia perlu dididihkan selama 6 ke 8 jam. Ia juga perlu dikacau secara berterusan untuk mengelakkan daripada hangus.

Gula Sarawak yang berkualiti tinggi dikatakan terhasil daripada cara lama iaitu menggunakan kayu api dan dapur tanah liat.

Gula ini dikatakan mempunyai rasa yang manis, berlemak dan sedikit masin. Jika dicampur dengan gula pasir, rasa manisnya tajam dan terus.

Oleh itu, para pengguna perlu berhati-hati ketika menggunakannya dalam hidangan.

Sebaik sahaja gula ini semakin likat, ia akan dituang ke dalam bekas dan dibiarkan sejuk.

Orang tempatan dan pelancong pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan gula ini di pasar serta kawasan tumpuan pelancong.

Sesetengah orang turut menjadikan gula ini sebagai alternatif kepada gula pasir kerana ia kaya dengan mineral seperti magnesium, zat besi, kalsium dan natrium.

Kegunaan

Di Sarawak, anda boleh nikmati keunikan rasa gula apong dengan memesan air teh tarik berlapis yang dikenali sebagai Teh C.

gula apong
Sumber : Instagram Grealeaf TT Malaysia

Gula apong juga sering digunakan oleh penduduk tempatan bagi menghasilkan manisan dan kuih muih seperti denderam, kuih beras pulut, kuih cincin dan bubur.

Pada masa yang sama, ada juga yang menggunakan gula ini sebagai pengganti kepada gula biasa untuk memaniskan minuman seperti kopi atau teh.

gula apong
Sumber : Instagram Mokti’s Bangi

Kini, gula kebanggaan Sarawak ini semakin terkenal menerusi aiskrim gula apong yang mudah didapati termasuk di Semenanjung Malaysia.

Sumber : Mashable SE Asia, NTV7Malaysia

Baca Juga : Gula Melaka : Khasiat dan Kegunaannya dalam Masakan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut